SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Perintah Pofma terhadap Editor, penerbit TOC susulan artikel penglibatan warga S’pura dalam IDF

Perintah Pofma terhadap Editor, penerbit TOC susulan artikel penglibatan warga S’pura dalam IDF

Shanmugam: Tiada maklumat kukuh sahkan 2 warga S’pura bertempur di Gaza
Mar 26, 2026 | 6:49 PM

Perintah Pofma terhadap Editor, penerbit TOC susulan artikel penglibatan warga S’pura dalam IDF

Pejabat Pofma diarahkan supaya mengeluarkan arahan pembetulan kepada Ketua Editor, ‘The Online Citizen’ (TOC), Encik Terry Xu, dan syarikat di Taiwan yang menerbitkan TOC, Miao Yi Infotech.
Pejabat Pofma diarahkan supaya mengeluarkan arahan pembetulan kepada Ketua Editor, ‘The Online Citizen’ (TOC), Encik Terry Xu, dan syarikat di Taiwan yang menerbitkan TOC, Miao Yi Infotech. - Foto fail

Arahan pembetulan telah dikeluarkan terhadap Ketua Editor dan Penerbit, ‘The Online Citizen’ (TOC), berhubung kenyataan palsu dalam sebuah artikel mengenai respons pemerintah terhadap dua warga Singapura yang didakwa berkhidmat dalam Angkatan Pertahanan Israel (IDF) semasa konflik di Gaza.

Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Encik K. Shanmugam, telah mengarahkan Pejabat Pofma supaya mengeluarkan arahan pembetulan kepada Encik Terry Xu, dan syarikat di Taiwan yang menerbitkan TOC, Miao Yi Infotech.

Pejabat Pofma menguruskan Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian (Pofma).

Demikian kata Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dalam satu kenyataan akhbar pada 26 Mac.

MHA berkata polis turut menyiasat perkara itu bagi menentukan sama ada terdapat sebarang kesalahan jenayah yang mungkin timbul daripada kenyataan yang dibuat dalam artikel tersebut.

Artikel itu diterbitkan pada 5 Mac di laman web dan akaun media sosial TOC serta wadah media berasas kecerdasan buatan (AI), ‘Heidoh’.

Menurut MHA, artikel tersebut mengandungi kenyataan palsu berhubung jawapan Encik Shanmugam kepada soalan Parlimen pada 5 Mac, mengenai warga Singapura yang didakwa berkhidmat dalam IDF semasa konflik di Gaza. 

Soalan itu timbul menyusuli laporan di portal kewartawanan penyiasatan Britain, Declassified UK, yang diterbitkan pada 11 Februari.

Encik Shanmugam, yang juga Menteri Ehwal Dalam Negeri, berkata tiada maklumat kukuh untuk mengesahkan dua warga Singapura telah bertempur di Gaza untuk IDF. 

Pemerintah juga telah meminta pemerintah Israel agar mengesahkan dakwaan dalam laporan tersebut, namun belum menerima sebarang jawapan, tambahnya.

MHA berkata pada 26 Mac bahawa artikel TOC itu mengandungi beberapa kenyataan palsu.

Ia termasuk dakwaan bahawa Encik Shanmugam dengan sengaja memberi jawapan tidak lengkap kepada soalan yang diajukan Anggota Parlimen (AP), di samping dakwaan pemerintah mempunyai maklumat untuk bertindak selain maklumat dalam artikel Declassified UK itu.

Ini termasuk maklumat mengenai identiti kedua-dua warga Singapura itu, seperti terbukti melalui permintaan rasmi pemerintah kepada Israel.

Antara lain, Encik Xu mendakwa Encik Shanmugam telah “menggunakan kepakaran dalam pengurusan bahasa forensik” di Parlimen, dan dengan berbuat demikian telah menjawab soalan AP itu “tanpa benar-benar menjawabnya”.

MHA menegaskan pemerintah buat masa ini tiada maklumat ada warga Singapura yang telah berkhidmat dalam IDF semasa konflik Gaza, selain maklumat yang dilaporkan Declassified UK itu.

Menurut MHA, pemerintah juga tidak mempunyai maklumat mengenai kesahihan dakwaan itu, mahupun mengenai identiti kedua-dua individu tersebut, maka ia telah meminta maklumat daripada pemerintah Israel.

“Oleh itu, adalah tidak benar untuk mendakwa menteri berkenaan sengaja memberi jawapan tidak lengkap kepada soalan Parlimen.

“Jawapannya kepada soalan Parlimen itu diberikan berdasarkan semua maklumat yang tersedia kepada beliau,” tambahnya.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg