Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

Tabah, sabar harungi cabaran jadi usahawan sejak 1998

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Tabah, sabar harungi cabaran jadi usahawan sejak 1998

Pemilik butik Munawwarah dan agensi pelancongan Al Munawwarah Travel & Tours kongsi pasang surut niaga
Apr 02, 2024 | 03:03 PM



Ketabahan, kesabaran dan sifat murah hati adalah kunci bagi Cik Rasidah Mohamad Din untuk kekal berniaga setelah bertahun-tahun lamanya.

Pemilik butik Munawwarah itu tidak pernah berputus asa meskipun terpaksa mengharungi pelbagai cabaran ketika mula berkecimpung dalam bidang keusahawanan.

Beliau mula berniaga secara kecil-kecilan, dengan menjual kain kepada rakan-rakan.

Daripada situ, beliau menyimpan wang dan akhirnya mendapat modal yang mencukupi untuk berjualan di bazar Geylang Serai pada 1998.

Namun, beliau menghadapi cabaran apabila pembekal baju Melayu yang awalnya berjanji untuk hanya menjual kepadanya, ternyata turut menjual pakaian itu kepada beberapa peniaga lain.

Beliau rasa amat kecewa apabila melihat baju yang sama dijual di serata bazar.

Pada tahun berikutnya, beliau sekali lagi berdepan ujian mencabar apabila pesanan bajunya antara 1,000 dengan 1,500 pasang tidak dapat dipenuhi.

Beliau hanya menerima 60 pasang untuk dijual pada hari pertama di bazar Geylang Serai.

Meskipun demikian, Cik Rasidah enggan duduk diam. Beliau sebaliknya berusaha mencari pembekal lain serta tukang jahit yang berupaya memenuhi keperluannya.

Masalah timbul apabila beliau menemui tukang jahit dari Indonesia sekitar lima tahun sejak beliau mula berniaga dan mendapati mereka tidak mempunyai kelengkapan seperti alat menjahit dan ruang yang sesuai.

Oleh itu, Cik Rasidah membelanjakan $10,000 agar mereka dapat menjalankan tugas sebaik mungkin dan beliau masih menerima bakti daripada penjahit yang sama sehingga sekarang.

Apabila ditanya Berita Harian (BH) mengenai perbezaan baju Melayu dan jubah jualan butik Munawwarah dengan yang terdapat di butik-butik lain, Cik Rasidah berkata:


“Yang berbeza adalah ukuran baju kami. Saya telah mengambil masa untuk membuat kajian saya sendiri serta menerima maklum balas daripada pelanggan saya bagi memastikan ukuran baju adalah tepat dan khas buat warga Singapura.

“Selalunya pelanggan lelaki suka jikalau seluar mereka labuh sedikit berbanding baju,” ujar Cik Rasidah.

Beliau, yang juga merupakan pemilik Al Munawwarah Travel & Tours Pte Ltd, sebetulnya memendam minat mendalam dalam industri pelancongan dan berhasrat membuka agensi pelancongan lebih awal.

Akan tetapi, melandanya wabak Sars atau Sindrom Pernafasan Akut Teruk pada 2003 telah membantutkan impiannya disebabkan sekatan perjalanan.

“Oleh kerana sangat berminat, saya ambil diploma dalam jurusan pelancongan.

“Saya orangnya sangat suka berdikari, jadi saya tidak gemar ikut rombongan atau tour group... saya lebih suka membuat kajian sendiri mengikut cita rasa saya.


“Minat saya untuk melancong dan segala kajian yang telah saya lakukan membolehkan saya untuk pelajari apa yang industri ini inginkan,” kongsi beliau.

Al Munawwarah Travel & Tours Pte Ltd akhirnya berjaya ditubuhkan oleh Cik Rasidah pada 2017.

Agensi tersebut, yang terletak di unit berlainan di Golden Landmark, menyediakan pakej umrah dan pakej pelancongan.

Ia mempunyai cabarannya yang tersendiri, menurut Cik Rasidah.

“Setiap anggota jemaah perlukan layanan berbeza... dan selalu saya akan galakkan anak perempuan untuk menemani ibu bapa yang tunaikan umrah kerana mereka dapat menjaga dan lebih tahu keperluan orang tua mereka.

“Kalau anak lelaki sukar sedikit kerana ada tempat, mereka tidak boleh pergi.

“Lagipun, jika saya mendapati kumpulan jemaah itu majoriti perempuan, saya akan ikut serta untuk menjaga dan menemani mereka,” kongsi Cik Rasidah yang baru sahaja menunaikan umrah bersama jemaah yang memilih agensi pelancongan beliau pada Februari 2024.

Air pun ada pasang surutnya dan begitu juga pengalaman Cik Rasidah sebagai usahawan.

Pada satu pihak, sebagai pemilik butik, beliau amat teliti dan tidak boleh bertolak ansur dari segi mutu kain, jahitan dan ukuran baju-baju rekaannya sendiri.

Pada pihak yang lain pula, sebagai pemilik agensi pelancongan, beliau perlukan kesabaran bagi mengatasi pelbagai ragam dan kerenah manusia.

Sebagai kata-kata perangsang beliau kepada mereka yang ingin menceburi bidang perniagaan, Cik Rasidah menasihati agar sering menolong golongan yang memerlukan.

“Jangan lupa orang susah dan banyaklah menderma.

“Jangan terlalu gopoh-gapah dan jangan berputus asa.

“Biar sedikit pun kita derma, insya-Allah hidup kita akan berkat,” kata Cik Rasidah lagi, yang butiknya tampil sebagai antara penaja majlis berbuka puasa anjuran BH bersama 30 kanak-kanak Rumah Kebajikan Muhammadiyah (RKM) baru-baru ini.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >