SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

UOL lancar pameran inklusif baru, papar artis pelbagai latar belakang

UOL lancar pameran inklusif baru, papar artis pelbagai latar belakang

Pameran ‘More Art. Made Inclusive’ tampil 17 karya hasil seni individu kurang upaya, golongan kurang bernasib baik
Apr 7, 2026 | 1:44 PM

UOL lancar pameran inklusif baru, papar artis pelbagai latar belakang

Singapore, UOL, OpenHeart, More Art. Made Inclusive
Sebuah arca mozek berbentuk hati, ‘OpenHeart’, didedahkan kepada pengunjung dalam majlis pelancaran pameran ‘More Art. Made Inclusive’. - Foto BT

Pemaju hartanah UOL melancarkan pameran terangkum di Perpustakaan Daerah Punggol pada 4 April, mempamerkan hasil seni individu kurang upaya dan golongan kurang bernasib baik.

Pameran bertajuk More Art. Made Inclusive ini berlangsung hingga 3 Mei, menampilkan 17 karya seni.

Ia termasuk lapan karya pemenang Hadiah Seni UOL X Art:Dis 2025, serta lima karya daripada program Artability Pusat Rainbow, yang disokong UOL.

Empat karya selebihnya adalah ciptaan Emily Silvester, artis muda berusia 11 tahun yang juga benefisiari Program Pembangunan Masyarakat UOL dan Pan Pacific Hotels Group (PPHG) melalui sokongan ComLink+.

ComLink+ ialah inisiatif nasional yang bertujuan meningkatkan mobiliti sosial.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan UOL, Encik Liam Wee Sin, berkata:

More Art. Made Inclusive ialah usaha menjadikan seni wadah inklusif, merangkumi artis Art:Dis, Pusat Rainbow dan ComLink+. Kami percaya seni memiliki kekuatan mengubah naratif dan persepsi (masyarakat).”

Karya seni tersebut merangkumi pelbagai tema dekat di hati artis, daripada haiwan dan alam semula jadi sehingga warisan Singapura.

Pada majlis pelancaran itu, arca mozek berbentuk hati, OpenHeart, turut diperkenalkan.

Ia dibina daripada 240 jubin yang dihias oleh 250 peserta daripada empat agensi perkhidmatan sosial sokongan UOL, serta kakitangan UOL sendiri.

Agensi tersebut ialah Pusat Rainbow, Art:Dis, Rumah Masyarakat Warga Emas Awwa dan Care Corner Singapore.

Ini kali pertama syarikat itu menyatukan penerima manfaat keempat-empat agensi khidmat sosial tersebut, jelas Encik Liam.

“Acara hari ini turut menzahirkan penekanan kami terhadap penglibatan silang penerima manfaat, dengan mempertemukan rakan kongsi masyarakat kami seperti Rumah Masyarakat Warga Emas Awwa dan Pusat Jagaan Pelajar Care Corner.

“Ini mewujudkan pengalaman lebih menyeluruh antara golongan muda dengan warga emas, di samping membolehkan mereka menghayati dan menghargai seni bersama.”

Menurut beliau, daya usaha sedemikian memberi peluang kepada artis kurang upaya untuk membina keyakinan diri, terutama apabila karya mereka dipamerkan di ruang terbuka seperti perpustakaan daerah.

UOL berhasrat agar acara ini kekal dan meluas ke ruang awam lain.

“Menerusi More Art. Made Inclusive, kami ingin membuka peluang dan ruang agar suara mereka dihargai masyarakat luas, sambil memupuk perkembangan artistik mereka secara berterusan,” tambahnya.

UOL telah menyokong seni terangkum sejak 2014 melalui pelbagai program dan inisiatif, mempamerkan karya artis kurang upaya di pusat beli-belah, hotel dan flat pameran kediaman miliknya.

“Seni penting untuk meningkatkan taraf kehidupan dan kesejahteraan artis kami – ia memastikan mereka terus aktif serta menyediakan wadah bermakna untuk ekspresi diri dan menjana rezeki,” kata Encik Liam.

Beliau menambah bahawa UOL menumpukan perhatian kepada perjalanan peribadi setiap artis.

Hadiah Seni UOL X Art:Dis yang diadakan dua tahun sekali mengiktiraf artis kurang upaya daripada semua peringkat artistik.

Pemenang 2025, Encik Christian Tan, yang karyanya turut dipamerkan, telah menerima S$20,000 serta peluang untuk mengadakan pameran solo.

Sementara itu, UOL telah menyokong program Artability milik Pusat Rainbow sejak 2024, membolehkannya diluaskan kepada penerima manfaat yang lebih muda.

Program ini menyediakan latihan seni visual kepada pelajar berusia 10 hingga 18 tahun dan setakat ini, telah memanfaatkan lebih 200 pelajar.

Ketua perkhidmatan daya kerja di Rainbow Centre, Cik Goh Ting Ying, berkata: 

“Matlamat utama program ini adalah untuk membantu mereka membentuk karya seni unik dan identiti artis mereka yang tersendiri.

“Ia bermula dengan memberi mereka pendedahan, kemudian memperdalamkan kemahiran mereka.”

Selepas menamatkan program Artability, para artis digalakkan untuk terus mengasah kemahiran mereka melalui program Artist-in-Training (Artis di bawah Latihan), anjuran Art:Dis, yang menawarkan pembelajaran sepanjang hayat, pendedahan industri serta peluang pekerjaan.

More Art. Made Inclusive ialah usaha menjadikan seni wadah inklusif, merangkumi artis Art:Dis, Pusat Rainbow dan ComLink+. Kami percaya seni memiliki kekuatan mengubah naratif dan persepsi (masyarakat).”
Encik Liam Wee Sin, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan UOL.
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg