Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

Warga S’pura jadi pendidik sukarela bagi kanak-kanak pelarian di Palestin

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Ajar bahasa Inggeris di kem pelarian Tebing Barat dari Mac hingga Mei

Warga S’pura jadi pendidik sukarela bagi kanak-kanak pelarian di Palestin

Dec 11, 2023 | 05:30 AM



Tangan terketar-ketar dan rasa gemuruh meruntun jiwa.

Demikianlah yang Cik Atikah Syarah Ismail lalui tatkala mengimbas detik beliau pertama kali berdiri di hadapan kelas untuk mengajar bahasa Inggeris kepada sekitar 30 kanak-kanak pelarian Palestin di Kem Pelarian Al-Fawwar di Hebron, Tebing Barat, Palestin.

Kem tersebut diselenggara Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) bagi pelarian Palestin.

Daripada perangkaan terkini melalui laman web rasmi UNRWA, terdapat 12,452 pelarian Palestin yang berdaftar.

Pereka grafik secara bebas berusia 33 tahun itu tiba di sana pada penghujung Mac untuk menabur bakti sebagai sukarelawan bersama The Excellence Centre in Palestine – pertubuhan perkhidmatan pembangunan yang diasaskan di Hebron pada 2011.

Beliau mengajar di kem tersebut selama tiga bulan hingga Mei sebelum berpindah ke Beirut, Lebanon.

Di Lebanon, beliau menyertai Persatuan Pembangunan dan Komunikasi Lebanon (LADC) – sebuah badan bukan pemerintah – dari Jun hingga Oktober sebagai penyelaras sukarelawan bagi sebahagian masanya ketika di sana.

Ketika ditemui baru-baru ini, Cik Atikah berkata beliau hampir pulang semula ke Singapura selepas seminggu berada di sana kerana sukar memahami dialek Arab yang digunakan warga Palestin, meskipun beliau boleh bertutur bahasa Arab.

Anak kedua lima beradik itu berkata beliau berpengalaman mengajar di sini tetapi tidak pernah mengajar di luar negara.

Cabarannya juga berbeza – mengajar pelajar yang anda tak pasti sama ada mereka faham bahasa asing.

“Ada kalanya apabila saya tutur sesuatu perkataan (dalam Bahasa Arab), ada yang tak faham jadi saya persoalkan sama ada saya tersalah kata,” singkap beliau.







Namun kecekalan pelajar sedemikian dalam menuntut ilmu menjadi pendorong kepadanya agar meneruskan misi mengajar.

Apatah lagi wujudnya keramahan warga tempatan secara umum terhadapnya.

Menurut Cik Atikah, beliau membuat perancangan sejak 2022 dan berjaya meyakinkan ibu bapa mahu melaksanakan kerja sukarela itu. Ia juga kali pertama beliau melakukan perjalanan ke luar negara sendirian.

Cik Atikah berkata hasrat menjadi sukarelawan di arena antarabangsa terpateri semasa beliau memburu ijazah Sarjana dalam Kerja Sosial di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) secara sambilan dari 2021 hingga 2022.

Ketika itu, beliau masih berkhidmat sebagai pekerja sosial bersama AMP Singapura.

Beliau telah mengetepikan wang simpanan sekitar $23,000 selama setahun bagi memenuhi hasratnya itu, dan meletak jawatan pada Februari selepas bersama AMP selama lapan tahun.

Berbekalkan ijazah dan kemahiran yang diraih, beliau ingin membantu seberapa ramai pelarian yang mampu.

“Saya sedar saya tidak tahu apa-apa (perihal membantu pelarian). Jadi saya perlu raih pengalaman lebih dahulu.

“Saya percaya jika saya ingin lakukan usaha membantu pelarian tetapi tidak memahami apa-apa, tidak wajar bagi saya untuk menyumbang... saya tidak mahu menjadi pekerja sosial yang tidak cekap,” ujarnya.

Sedar tentang konflik Israel-Palestin, Cik Atikah berkata beliau ingin “belajar tentang situasi yang berlaku”.

Beliau berkongsi beberapa aspek pengalamannya sebagai pekerja sosial yang selari dengan nilai yang harus ada dalam diri pendidik, terutama kemahiran bersosial – merangkumi sifat saling memahami, sensitif terhadap budaya dan pendekatan kepada individu.

Ini sekali gus membantunya dalam berinteraksi dengan penduduk tempatan dan pelajar, tambahnya.







Memberi analogi mengupas bawang, dengan setiap lapisan dikupas sebelum isi bawang terdedah, Cik Atikah berkata begitulah pendekatannya terhadap insan.

“Dari segi cara saya memberi reaksi atau berinteraksi dengan mereka, pendekatan yang saya ambil adalah sama, iaitu aplikasikan apa yang saya pelajari daripada pekerjaan sebelum ini.

“Saya juga lebih empati dan sensitif, misalnya jenis soalan yang saya tanya atau ajukan soalan kepada mereka (pelajar dan masyarakat tempatan di sana) pada masa yang sesuai,” jelasnya.

Cik Atikah berkata pelajar pelarian mempunyai dorongan belajar yang tinggi kerana mereka cenderung menimba seberapa banyak ilmu yang dapat diperolehi.

Bahkan ibu bapa pelajar juga mahu ambil tahu sekiranya ada kelas yang bakal diadakan supaya dapat menghantar anak mereka.

“Mengajar pelajar yang begitu ghairah untuk belajar membuat pekerjaan anda lebih mudah. Bahkan bagi peringkat pemula yang tak tahu bahasa Inggeris sekalipun, mereka begitu bersungguh-sungguh.

“Ada juga yang akan hadir ke kelas satu atau dua jam sebelum kelas bermula, hanya untuk berinteraksi dengan saya,” kata Cik Atikah.







Justeru apabila sampai masa untuk pulang ke Singapura, beliau diselubungi perasaan berbelah bagi, mentelah situasi geopolitik di Timur Tengah masih tegang.

Beliau kini sedang meneroka peluang melakukan khidmat sukarela di kawasan Balkans di Timur Eropah, merangkumi negara seperti Romania dan Serbia.

Namun, beliau belum ada rancangan kukuh dan masih bergantung pada wang simpanannya, di samping pendapatan yang diraih sebagai pereka grafik bebas.

“Saya gemar bekerjasama dengan pelarian. Saya tidak pasti sebabnya. Mungkin pada Januari saya akan lanjutkan kerja sukarela atau cari pekerjaan yang saya suka,” tambah Cik Atikah.

Beliau berkata, pengalamannya melakukan kerja sukarelawan di luar negara adalah cerminan rasa syukur terhadap anugerah nikmat yang ada.

“Saya percaya seseorang akan lebih mudah berasa bersyukur apabila melihat kesusahan yang dilalui orang lain.

“Beberapa perkara dalam kehidupan seperti kebendaan tidak lagi menjadi begitu penting,” ujar beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >