Topic followed successfully
Go to BHkuZaqy: Pemerintah sokong syarikat pembekal makanan harungi konflik Timur Tengah
Zaqy: Pemerintah sokong syarikat pembekal makanan harungi konflik Timur Tengah
Beliau jamin bekalan makanan mencukupi; pemerintah sedia aktifkan sumber gantian
Zaqy: Pemerintah sokong syarikat pembekal makanan harungi konflik Timur Tengah
Singapura mahu menyokong pembekal makanan tempatan bagi mengharungi krisis masa kini, kata Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad.
Ini di samping membantu mereka meningkatkan bahagian pasaran bagi jenis makanan tertentu, yang akan memperkukuh daya tahan makanan Singapura dalam jangka masa panjang.
Beliau menambah pemerintah akan meneruskan usaha kepelbagaian, perkongsian sejagat, pengeluaran tempatan dan usaha simpanan stok mengikut keperluan.
Berucap di Parlimen pada 7 April, Encik Zaqy menambah:
“Sejak permulaan konflik Timur Tengah, Agensi Makanan Singapura (SFA) juga telah mempertingkatkan proses pendampingan dengan pengimport serta peruncit untuk berkongsi maklumat mengenai kemungkinan risiko terhadap bekalan makanan supaya mereka dapat mengaktifkan sumber gantian lebih awal dan apabila diperlukan.
“Kami bersedia mengaktifkan pengaturan sedia ada dengan negara-negara rakan kongsi bagi memastikan bekalan makanan terus disalurkan mengikut keperluan.”
Beliau menambah ia bukanlah sesuatu yang sentiasa mustahil untuk menyediakan makanan atau jenama kegemaran setiap orang ketika setiap gangguan berlaku, namun apa yang boleh dilakukan oleh pemerintah ialah memberi jaminan bekalan makanan pada waktu yang paling diperlukan, kata Encik Zaqy.
Pemerintah sedang memantau rapat perkembangan di Timur Tengah serta kesannya terhadap bekalan makanan Singapura, kata beliau ketika menjawab soalan Cik Poh Li San (Sembawang West) mengenai penilaian pemerintah terhadap situasi bekalan makanan secara keseluruhan dan bagaimana ia akan menstabilkan harga barangan makanan asas serta mengekang pengambilan untung berlebihan.
Encik Zaqy menjelaskan Singapura mengimport sebahagian besar makanannya daripada pelbagai sumber yang berbeza, dan Timur Tengah menyumbang kurang daripada 1 peratus daripada jumlah keseluruhan import makanan.
“Dalam jangka masa terdekat, tiada risiko gangguan bekalan makanan yang mendesak bagi Singapura.
“Walau demikian, memandangkan rantaian bekalan makanan sejagat saling berkaitan, kita tidak boleh menolak kemungkinan berlakunya gangguan terhadap bekalan makanan kita sekiranya konflik ini berterusan,” ujar beliau.
Di samping itu, gangguan terhadap tenaga sedang memberikan kesan rantaian kepada ekonomi sejagat, kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, pada sidang Parlimen yang sama.
Kos bahan api dan bahan mentah yang lebih tinggi dijangka akan meningkatkan kos perniagaan dan pengangkutan secara sejagat.
Ini akhirnya akan membawa kepada kos yang lebih tinggi bagi pengguna melalui harga barangan lain, termasuk bekalan makanan dan barangan runcit.
Beliau, yang juga merupakan Penasihat bagi Jawatankuasa Menteri Krisis Dalam Negeri (HCMC), menambah: “Harga tenaga yang lebih tinggi juga telah meningkatkan kos pengangkutan dan penghantaran.
“Kadar tambang udara antara Asia dan Eropah telah meningkat hampir dua kali ganda sejak konflik bermula.
“Peningkatan kos perniagaan dan harga pengguna seterusnya akan menjejas permintaan, serta memperlahankan ekonomi sejagat.”
Banyak mata wang Asia telah menyusut nilai berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) yang lebih kukuh, sekali gus memburukkan lagi risiko inflasi dan pertumbuhan di negara-negara ini, kata Encik Gan.
Beliau menambah semua tekanan itu berkemungkinan akan bertambah sengit dalam minggu-minggu mendatang.
Pengerusi HCMC, Encik K. Shanmugam, berkata rakyat Singapura harus bersedia menghadapi kemungkinan bekalan makanan tertentu dari sesetengah negara tidak tersedia, dan harus mengamalkan fleksibiliti dalam memilih makanan gantian.
Beliau menambah Singapura hanya mampu mengekalkan simpanan stok bagi jenis makanan asas dan sedang berusaha memperkukuh rantaian bekalannya.
Kebimbangan utama ialah kesan inflasi terhadap produk makanan, kata beliau.
Gas asli, yang merupakan bahan mentah utama bagi baja, sedang menghadapi gangguan bekalan, sekali gus melonjakkan harga baja.
Ini meningkatkan harga tanaman makanan, makanan haiwan, dan produk makanan import.
Kos bahan api yang lebih tinggi juga akan meningkatkan perbelanjaan bagi pengangkutan dan penyimpanan produk makanan.
Beliau yang juga merupakan Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, menambah Singapura tidak mendedahkan tahap simpanan bahan api dan stok simpanan makanannya.
“Sebagai dasar, kami tidak mendedahkan perkara ini.
“Ia dilakukan dengan sengaja. Mendedahkan butiran sedemikian akan mendedahkan di mana had keupayaan kita, dan perkara itu boleh digunakan terhadap Singapura semasa krisis.
“Apa yang penting adalah kita mempunyai penimbal yang mencukupi dan pelan luar jangka yang sedia ada,” kata beliau.

