‘Makanan Jepun, kawan?’

Mereka bersahabat karib dari maktab rendah lagi, kemudian sama-sama menceburi arena perniagaan menjadi rakan kongsi.

Mereka juga mempunyai makanan kegemaran yang sama iaitu makanan Jepun.

Jadi tidak hairanlah jika Encik Mohamed Aowtab Khan dan Encik Muhammad Kamil Ishak, kededuanya berumur 48 tahun, membuka sebuah kafe makanan Jepun di White Sands Mall dan menamakan kafe mereka Tomodachi yang ertinya ‘kawan’ dalam bahasa Melayu.

Lokasi restoran ini dahulunya ialah restoran francais Mad Jack Café.

Walaupun terdapat beberapa restoran makanan Jepun halal yang lain di Singapura, ini tidak melemahkan semangat mereka.

Sebaliknya Encik Mohamed Aowtab dan Encik Muhammad Kamil mahu menjadikan Tomodachi restoran yang dapat memenuhi cita rasa semua bangsa, khususnya orang Melayu, walaupun yang tidak gemar memakan makanan Jepun sekali pun.

Demi mencapai matlamat ini, beberapa hidangan di restoran ini diubahsuai tanpa mengkompromi rasa asas makanan dari negara matahari terbit ini.

Umpamanya, pilihan dari Tomo Fusion Delight yang merangkumi Sup Tom Yam Makanan Laut, Kari Ayam dan Stu Daging Lembu.

Ketiga-tiga sajian yang dihidangkan bersama nasi, memang sesuai bagi orang yang inginkan makanan Asia dengan sedikit sentuhan Jepun.

Ini dilakukan dengan menggunakan salah satu bahan asas masakan Jepun seperti dashi, sejenis stok yang diperbuat daripada agar-agar laut dan katsuo, sejenis ikan tuna.

Bagi mereka yang gemarkan hidangan asli Jepun, Tomodachi tetap menyediakan sajian seperti susyi, tempura, ramen, nabemono dan sashimi.

Walaupun tidak luas pilihan, terdapat juga menu makanan Barat untuk memenuhi cita rasa lebih ramai pelanggan.

Saya telah mencuba dua jenis hidangan – Burger Jepun dan Bento iaitu hidangan set lengkap yang terdiri daripada nasi, pilihan protein seperti makanan laut, daging ayam atau daging lembu, salad campuran, buah-buahan dan sup miso.

Pilihan saya ialah Tempura Bento yang terdiri daripada gorengan udang, ikan, sotong dan beberapa jenis sayur-sayuran menggunakan tepung tempura yang rangup.

Seperti semua makanan bergoreng, lebihan minyak yang menyerap dalam masakan tidak dapat dielakkan.

Salad ubi kentang, potongan dadu yang disertakan, digaul dengan mayones. Dua potong buah – semangka dan oren – menjadi pencuci mulut hidangan ini.

Yang saya dapati cukup memuaskan ialah sup miso (sejenis pes yang mempunyai tekstur halus diperbuat daripada kacang soya, seakan-akan tauco) yang mempunyai rasa lemak, lengkap dengan rumpai laut dan beberapa ketulan kecil tofu.

Harga hidangan Bento $15.90 melainkan Yakiniku Bento yang menggunakan hirisan daging lembu panggang dan harganya ialah $17.90.

Burger Jepun yang saya cuba ialah burger jenis premium atau digelar Emperor Burger.

Burger ini menggunakan 120 gram patti daging lembu disertakan dengan ubi kentang goreng dan salad campuran.

Menggunakan hanya 80 peratus daging dan 20 peratus bahan lain seperti bawang dan serbuk roti, daging ini disalut dengan sos teriyaki dan digril menggunakan Salamander, sejenis gril khas yang mampu mengekalkan kelembapan daging.

Setelah patti daging ini dibakar, ia kemudian dicelup dalam sos teriyaki sekali lagi supaya mendapatkan perisa yang secukupnya sebelum diletakkan antara dua keping roti.

Antara bahan lain yang disertakan dalam roti burger ini ialah bonito, sejenis flos ikan dan sekeping keju.

Saya dapati dengan 120 gram daging patti daging, ia lebih daripada mencukupi dan mengenyangkan.

Namun bagi orang yang mempunyai nafsu makan yang lebih besar ataupun yang ingin makan berkongsi, saya cadangkan Shogun Burger yang mempunyai empat lapis patti daging sama ada daging lembu atau daging ayam – setiap satu seberat 100 gram menjadikan jumlah 400 gram daging dalam satu burger. Emm… sungguh lumayan.

Bahan lain yang terselit antara lapisan daging ini ialah keju dan nanas. Dengan makanan sampingan seperti kentang goreng yang disertakan, hidangan ini sangat memuaskan.

Kafe Tomodachi tidak mengenakan cukai perkhidmatan, cuma GST sahaja.

Promosi bagi pelajar pula diadakan dari Isnin hingga Jumaat (tidak termasuk cuti umum) dari jam 11.30 pagi hingga 6 petang dengan harga $6.90 bagi pilihan beberapa jenis Bento, mi dan hidangan barat seperti spageti dan ayam panggang.

Set promosi ini termasuk minuman teh lemon ais.

Kafe Tomodachi dibuka setiap hari dari jam 11.30 pagi hingga 10 malam. Alamat #02-01 White Sands Mall, 1 Pasir Ris Central Street 3.

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:00
Asar
4:24
Maghrib
7:00
Isyak
8:15
3 HR PSI: 67
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.