Bufet ‘Steamboat’

Restoran Royal Kublai Khan turut sediakan pelbagai jenis makanan Melayu, Cina dan Barat

RESTORANNYA yang pertama dinamakan Kublai Khan. Restoran yang kedua pula dinamakan Royal Kublai Khan.

Jenis makanan yang dihidangkan di kedua-dua restoran ini tidak sama.

Restoran Kublai Khan menyediakan hidangan bufet dan makanan ala-Mongolia manakala di restoran Royal Kublai Khan yang terletak di #01-56 Burlington Square, menyediakan hidangan steamboat dan hidangan bufet pilihan makanan Melayu, Cina dan Barat.

Pertama kali menjejakkan kaki ke restoran Royal Kublai Khan, saya dapati suasananya mempunyai banyak unsur kecinaan.

Bagaimanapun, saya diberitahu oleh Encik Jason Oei, salah seorang pengarah restoran ini, hiasan dalaman restoran itu akan diubah untuk disesuaikan dengan cita rasa orang Melayu. Restoran ini telah mendapat sijil halal dari Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).

Untuk hidangan steamboat, sup menjadi bahan utama. Sup yang sedap dan berperisa akan menambahkan kelazatan hidangan.

Di Royal Kublai Khan, tiga jenis sup disediakan – sup tom yam, sup ayam dan sup herba.

Periuk yang mengandungi sup ini diletakkan di atas meja menggunakan dapur induksi. Semua bahan untuk steamboat juga diletakkan di atas meja. Pelanggan tidak payah bangun duduk untuk mengambil bahan makanan melainkan untuk menambahnya sahaja.

Kira-kira 30 jenis bahan disediakan seperti daging lembu, daging ayam, udang, sayur-sayuran, mi, bebola ikan, bihun, jagung dan tauhu.

Sup tom yam yang saya cuba memang sedap. Sup jernih tanpa cili ini terasa serainya, masamnya dan bau-bauan seperti daun limau purut. Dimasukkan juga cendawan yang menjadi sebahagian isi daripada sup tom yam ini.

Untuk sup ayam pula, bahan-bahan yang dimasukkan dalam sup ialah wolfberi, kurma merah dan hirisan akar teratai yang rasanya sama seperti lobak putih. Orang Cina percaya bahan-bahan ini bukan sahaja menambahkan perisa dalam masakan bahkan baik untuk kesihatan.

Cecahan dan salad yang disediakan untuk dimakan bersama bahan steamboat ada beberapa jenis termasuk kimci, jeruk sejenis sayur kubis yang berasal dari Korea.

Saya telah cuba bermacam-macam jenis kimci, tetapi yang disediakan di restoran Royal Kublai Khan memang enak, tidak terlalu masam dan tidak terlalu manis.

Selain hidangan steamboat, saya juga mencuba makanan daripada hidangan bufet seperti sate, lala sambal petai, kupang keju, rendang, ayam goreng dan tauhu keju.

Daging yang digunakan untuk rendang sama seperti daging untuk hidangan steamboat iaitu dihiris tipis.

Masakan rendangnya pula tidak kelihatan langsung rempahnya, tidak seperti rendang yang biasa kita lihat.

Sate pula ada tiga jenis – daging kambing, lembu dan ayam – yang saya dapati agak liat dan keras, mungkin kerana dibakar terlalu lama atau dibakar semula kerana sudah sejuk. Kuah sate kelihatan menarik dengan kacang dikisar kasar-kasar tetapi tekstur kuah agak cair.

Yang sedap dari pilihan bufet ini ialah tauhu keju, lala sambal petai dan kupang dengan sos keju.

Bagaimanapun, hidangan bufet disediakan untuk makan malam sahaja.

Restoran Royal Kublai Khan ini dibuka setiap hari dari 11.30 pagi hingga 3 petang dan dari 6 petang hingga 10 malam.

Harganya ialah $22+ bagi orang dewasa dan $12+ untuk kanak-kanak bagi hidangan bufet.

Bagi hidangan steamboat pula, harganya ialah $20+ bagi orang dewasa dan $12+ untuk kanak-kanak.

Waktu Solat

Subuh
5:36
Syuruk
7:00
Zuhur
1:02
Asar
4:26
Maghrib
7:03
Isyak
8:18
3 HR PSI: 17
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.