Buka restoran Vietnam kerana ‘mengidam’

APABILA Encik Jumali Johari melawat Vietnam bagi menguruskan perniagaannya di sana, beliau sering menjamu selera di restoran-restoran halal yang menjual pho atau mi Vietnam.

Oleh kerana rindu dan mendapati sukar mendapat makanan Vietnam halal di sini, beliau terdorong membuka sebuah restoran halal yang diberi nama Pho 4A Vietnamese Cuisine bersama rakan kongsinya, Encik Ramly Djamil.

Nombor 4A itu diambil sempena nama sebuah lagi syarikat miliknya, syarikat kejuruteraan 4A Engineering Pte Ltd, yang dibuka 13 tahun lalu.

Dengan pelaburan sebanyak $100,000, restoran Vietnam itu dibuka Jun lalu di Nombor 7 Jalan Pisang, sederet dengan Restoran Hajah Maimunah.

“Beberapa tahun lalu, saya sering ke Vietnam kerana syarikat kejuruteraan saya mendapat satu projek memasang alat hawa dingin di sebuah bangunan komersial di sana. Kerap saya melanggani restoran halal di sana dan memakan mi Vietnam.

“Pelancong Islam dari Singapura dan Malaysia juga ramai. Dah balik Singapura, rasa rindu pula terhadap makanan Vietnam. Melihat tidak ada restoran halal dibuka oleh peniaga Islam di sini, saya memutuskan membawa makanan Vietnam halal ke Singapura,’’ ujar Encik Jumali.

Sebelum ini, terdapat sebuah gerai menjual makanan Vietnam yang halal di Jalan Masjid tetapi ia sudah pun ditutup.

Terdapat sebuah lagi restoran Vietnam halal iaitu Orange Lantern di Harbourfront, tetapi ia tidak dimiliki peniaga Melayu/Islam.

Untuk memastikan ketulenan makanan Vietnam itu, Encik Jumali telah mendapatkan seorang tukang masak kelahiran Vietnam yang bekerja di sebuah hotel di sana mengajar cef-cef Pho 4A masakan Vietnam.

“Tukang masak dari Vietnam itu mengambil masa sebulan mengajar kami. Kami mengekalkan ketulenan masakan Vietnam, cuma bezanya, 100 peratus makanan kami tidak menggunakan ajinomoto.

“Di Vietnam, kebanyakan mi mereka menggunakan ajinomoto. Namun, kami tidak mahu menggunakan ajinomoto kerana kami tahu orang Singapura amat prihatin mengenai kesihatan mereka,’’ jelas beliau.

Sebaliknya, tulang-tulang daging lembu direbus selama 10 jam bagi membuat sup mi daging lembu.

“Apa yang membuat mi daging lembu Vietnam ini sedap ialah adanya daun selasih dan daun kemangi yang membuat juadah itu amat segar semasa dimakan,’’ ujar Encik Jumali.

Selain mi daging lembu, Pho 4A Vietnamese Cuisine juga menyajikan mi ayam, mi bebola daging dan popia Vietnam yang segar dan berinti salad dan udang.

Sementara itu, lebih banyak juadah Vietnam yang akan diperkenalkan, termasuk nasi goreng ala Vietnam.

Berbeza daripada restoran lain yang menggunakan buah longan dalam tin untuk membuat air longan, restoran milik Encik Jumali pula mengimport longan dari Vietnam dan merebus longan itu bagi menghasilkan minuman tersebut.

“Rasa buah longan yang diimport dari Vietnam berbeza daripada rasa longan yang dibeli di Singapura. Rasa airnya juga amat berbeza daripada air longan biasa,’’ ujarnya.

Restoran itu juga menjual kopi Vietnam, air markissa dan buah delima.

Pho 4A Vietnamese Cuisine dibuka setiap hari (kecuali Ahad) dari 11 pagi hingga 9 malam.

Waktu Solat

Subuh
5:33
Syuruk
6:57
Zuhur
12:59
Asar
4:23
Maghrib
7:00
Isyak
8:15
3 HR PSI: 37
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.