Jadi ‘selebriti’ walau tak menang peraduan masak

BELIAU bukan juara peraduan Masterchef Australia 2012. Bahkan beliau tidak terpilih pun untuk menyertai 10 peserta teratas dalam peraduan itu.

Tetapi beliau kini seperti seorang selebriti. Mengapa agaknya?

Cik Amina El Shafei, 29 tahun, merupakan warga Australia dan satu-satunya peserta Muslim yang mengambil bahagian untuk merebut gelaran Masterchef Australia 2012 siri keempat.

Rancangan peraduan memasak ini disiarkan di rancangan Lifetime (StarHub saluran 514) Isnin hingga Jumaat jam 7 dan 11 malam.

Seorang yang peramah, yakin diri dan mempunyai perwatakan yang periang, Cik Amina mempunyai banyak peminat dari dalam dan luar Australia.

Adakah Cik Amina menghadapi masalah sebagai peserta beragama Islam dalam peraduan memasak Masterchef Australia itu?

Ikuti temuramah Berita Minggu dengan Cik Amina yang baru-baru ini diterbangkan ke Singapura untuk mempromosikan saluran Lifetime StarHub dan Masterchef Australia siri kelima.

SOALAN (S): Adakah anda rasa janggal menjadi satu-satunya peserta beragama Islam dalam peraduan memasak Masterchef Australia 2012?

JAWAPAN (J): Saya rasa sangat selesa mengambil bahagian. Tiada diskriminasi dan tiada isu mengenai agama ataupun bangsa. Ia adalah peluang baik bagi saya berinteraksi dengan segenap lapisan masyarkat.Walaupun memasuki peraduan memasak ini memerlukan saya berjauhan daripada keluarga selama lebih kurang lima setengah bulan, saya anggap ia adalah satu pengalaman sepanjang hayat.

S: Anda memasak kebanyakannya makanan Asia khususnya makanan Korea dan juga Timur Tengah. Adakah ini antara penyebab mengapa anda disingkir sebelum anda dapat melayakkan diri ke dalam 10 tempat teratas?

J: Memasak masakan lain daripada masakan Barat bukan penyebab saya disingkirkan. Saya telah memasak makanan Afrika Utara dalam pusingan tersebut.Kami diberi satu jam untuk menyediakan makanan pembuka selera, makanan utama dan pencuci mulut. Sama ada saya terlalu penat, masakan saya kurang rempah-ratus ataupun kekurangan masa, masakan yang saya hasilkan tidak mencapai tahap yang diingini.Semua pengadil bersikap ‘terbuka’, tidak kira jenis masakan apa yang anda masak, hasilnya mestilah memuaskan.

S: Adakah episod di mana anda disuruh memasak menggunakan bahan tidak halal?

J: Dalam satu episod (Invention Test), peserta diberi dua pilihan bahan masakan untuk mereka cipta hidangan terbaharu. Walaupun saya boleh memilih bahan halal, saya telah memilih untuk memasak daging babi kerana saya ingin tahu bagaimana memasak bahan ini.Saya telah menggunakan sarung tangan dan memasak dengan cara melihat dan menyentuh sahaja tanpa merasa.Saya dapat menyiapkan dua hidangan iaitu pork chop dengan kerak perisa herba dan pork belly. Masakan saya diterima para pengadil.

S: Adakah anda berpuas hati dengan pencapaian anda dalam peraduan itu, dan apakah perkara yang paling penting yang anda pelajari?

J: Saya berpuas hati dengan pencapaian saya dalam peraduan Masterchef Australia 2012 meski pun saya tidak dapat melayakkan diri ke peringkat lebih tinggi.Saya tidak menyesal menyertai peraduan ini malah banyak yang saya pelajari dan satu daripadanya ialah menghormati bahan masakan dengan erti kata menggunakan bahan sebagaimana ia harus digunakan, terutama bahan-bahan yang bermutu untuk menghasilkan masakan enak.

S: Adakah pengalaman dan pengetahuan yang anda perolehi memberi anda keyakinan untuk membuka sendiri sebuah kafe atau restoran dalam masa terdekat?

J: Keyakinan itu ada tetapi belum mencukupi. Membuka restoran memerlukan komitmen, tenaga dan perbelanjaan yang banyak. Saya tidak menafikan bahawa satu hari nanti saya ingin juga membuka kafe atau restoran yang menjual makanan Timur Tengah dan makanan Korea.

S: Apakah yang anda buat sekarang ini?

J: Saya masih bekerja sebagai jururawat sambilan. Sekarang ini saya dapat banyak undangan membuat demonstrasi memasak. Selain itu saya juga menyumbang resipi kepada majalah Australian Women's Weekly.Pada masa sama saya sedang dalam proses menerbitkan buku masak yang akan diterbitkan Penguin Books tidak lama lagi.Buku masak ini mengandungi 80 resipi masakan rumah khususnya masakan Timur Tengah dan masakan Korea.Namun tajuk buku masak ini masih belum ditetapkan. 

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:58
Zuhur
1:00
Asar
4:24
Maghrib
7:01
Isyak
8:16
3 HR PSI: 49
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.