JIKA tidak mampu mengawal mutu makanan, menawarkan kepelbagaian pilihan, memberi khidmat baik serta mempunyai kakitangan bertanggungjawab, agak sukar rasanya bertahan dalam industri makanan.
Itulah prinsip pemilik restoran Noor Jannah's Kitchen, Encik Abdul Manap Mustaffa, 65 tahun, demi bertahan lama. Encik Abdul Manap mempunyai lebih 30 tahun pengalaman berniaga. Beliau pernah muncul dalam rancangan televisyen popular Makan Places Lost and Found serta berniaga di Blok 18 Bedok menjual piza, nasi padang dan perata, sebelum berpindah ke Jalan Masjid. Kini, restorannya berada di Blok 5, Changi Village Road.