Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22

Nikmati 'sajian jalanan' P. Pinang

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Resipi
417
0

Nikmati 'sajian jalanan' P. Pinang

Jan 14, 2014 | 02:50 PM



MINGGU lalu, satu rombongan cef dari Persekutuan Kulinari Halal Singapura (SHCF) telah menyediakan logistik dan makanan bagi satu majlis perkahwinan yang turut dihadiri kerabat diraja di Pulau Pinang.


Rombongan diketuai oleh Encik Kalil Rahaman, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Islamic Restaurant.


Oleh kerana kami berada di Pulau Pinang - yang juga terkenal di mata dunia dengan Street Food atau makanan jalanan - kami tidak melepaskan peluang meneroka dan mencuba makanan dan minuman tempatan yang terkenal seperti cendol, asam laksa, char kway teow, sate, nasi lemak, nasi kandar dan pesembur.


Kami sungguh terpesona dengan kelazatan rojak mamak atau lebih dikenali sebagai pesembur di Gurney Drive.


Perbezaan ketara antara pesembur dengan rojak mamak Singapura terletak pada kuahnya yang lebih lazat, pedas dan tidak memuakkan kerana mengandungi jus asam jawa, perahan jus limau yang lebih banyak, taugeh serta mentimun dihiris memanjang.


Kesemua bahan-bahan itu dicampur dengan kuahnya sekali.


Penggemar nasi lemak mesti mencuba nasi lemak cili bilis, juara dalam 'Battle of Penang Hawker Masters 2012' di dalam kategori Nasi Lemak.


Berasnya dimasak dengan santan, halia dan daun pandan, dan dikukus di atas dulang logam besar dalam pengukus gergasi, sekali gus memberikan aroma yang menakjubkan.


Setelah nasi lemak itu dimasak, ia dipindah dan disimpan hangat dalam tab kayu.


Dengan gabungan nasi lemak kukus yang disajikan panas, ikan bilis, kacang tanah yang garing, ayam goreng panas yang ranup, telor yang juga dikukus bersama sambal tumis yang sungguh klasik rasanya, membuat kami semua tersenyum lebar.


Harganya antara RM2.50 ($1) hingga RM5.50 sahaja - memang berbaloi!


Tidak lengkap rasanya di Pulau Pinang jika tidak mencuba makanan yang sungguh terkenal iaitu nasi kandar.


Kebanyakan peniaga nasi kandar berketurunan India Muslim dan menggunakan rempah dan cili yang digiling mereka sendiri.


Apabila kami menanyakan nasi kandar mana yang paling sedap, kebanyakan orang mencadangkan Nasi Kandar Line Clear dan Nasi Kandar Beratur.


Kami bersepakat mencuba Nasi Kandar Line Clear yang terletak di sebuah lorong di simpang Penang Road dan Chulia Street.


Semua pemandu teksi tahu tempat makanan yang terkenal ini yang beroperasi 24 jam sehari.


Aroma yang datang daripada pelbagai jenis lauk seperti kari daging, udang, sotong, telor ikan, telor sotong dan ayam goreng berempah membuat kami tidak sabar untuk mencubanya.


Pelbagai jenis kuah kari akan dicampurkan ke atas nasi putih atau nasi beriani bersama lauk pauk yang dipesan.


Lauk pauknya kaya dengan rempah ratus yang harum dan lazat tetapi jauh lebih pedas daripada kari di Singapura.


Tidak hairanlah kenapa banyak penerbitan majalah seperti Time pernah mengiktirafkan Pulau Pinang sebagai salah sebuah pusat makanan jalanan yang terbaik di dunia sehinggakan ada beberapa restoran di Singapura menawarkan pelbagai variasi makanan Penang.


  • Penulis cef gaya hidup Kulinary Affairs dari Persekutuan Kulinari Halal Singapura. E-mel beliau: kulinaryaffairs@gmail.com.


RESIPI


Laksa Assam Penang


Bahan-bahan


1 kg mi laksa, dicelur


Pes rempah


10 bawang merah


6 ulas bawang putih


15 cili merah segar dan 3 sudu besar cili boh


1 inci lengkuas


2 cm kunyit hidup


2 batang serai, cincang (gunakan bahagian putih sahaja)


1-1/2 sudu besar belacan


Kuah ikan masak :


15 cawan air


3 batang serai, dititik (bahagian putih sahaja)


3 inci lengkuas , dipotong dua


1 bunga kantan , dibelah empat


1-1/2 kg atau kira-kira 15 ikan; ikan kembung segar


1/3 cawan jus asam jawa (campurkan asam jawa dalam air panas selama lima minit sebelum diperah bagi jusnya)


5 asam keping


6 batang daun kesom


3 sudu besar gula


Garam secukup rasa


Hiasan


1 timun, dihiris nipis ke dalam jalur


Salad cina, dihiris


1/2 saiz sederhana nanas segar, dihiris menjadi kepingan kecil


2 bawang merah, dihiris nipis


Segenggam daun pudina


1 putik bunga kantan putik, dihiris halus


3 cili merah, dihiris nipis


2 cili padi hijau, dihiris nipis


Perasa:


limau kasturi


Petis, dicairkan dengan kuah sup laksa atau air


Cara Caranya:


1. Kisar bahan-bahan pes rempah menjadi halus.


2. Panaskan periuk air dan masukkan serai, lengkuas, bunga kantan. Masak hingga mendidih dan kemudian masukkan ikan. Rebus dengan api sederhana selama 15-20 minit atau sehingga ikan masak. Pindahkan ikan yang dimasak ke dalam mangkuk dan biarkan sejuk.


3. Tapiskan kuah, buang segala hampas . Masukkan daun kesum, air asam jawa, asam keping dan terus mendidih dengan api kecil.


4. Ambil kepingan kecil isi ikan, tetapi simpan beberapa dalam ketulan yang lebih besar.


5. Masukkan kepingan ikan kembali ke dalam periuk, bersama-sama dengan pes rempah.


6. Apabila ia sampai mendidih, kecilkan api dan reneh selama 40 minit untuk satu jam. Apabila kuah menggelegak, tambah garam dan gula untuk mengimbangi kepedasan dan rasa masam.


7. Bilas mi laksa dalam air sejuk dan tos. Letakkan satu hidangan mi ke dalam mangkuk, dan tuangkan sup laksa dengan kepingan ikan di atas.


8. Taburkan bahan perasa dan campurkan sedikit petis jika anda suka.


9. Jika anda lebih suka kuah anda kurang masam, kurangkan asam jawa. Jika anda mahu ia menjadi pedas, tambah lebih cili untuk pes rempah anda.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >