Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:06
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

AFF kemuka kenyataan bercanggah soal derma $500,000

Apr 18, 2017 | 02:35 PM



KEJUTAN yang timbul menjelang pemilihan pucuk pimpinan baru bagi pentadbiran Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) yang melibatkan persaingan antara Pasukan LKT dan Pasukan Game Changers, kini menimbulkan tanda tanya.



Ia berikutan kontroversi melibatkan derma berjumlah $500,000 kepada FAS yang disumbangkan Kelab Bola Sepak Tiong Bahru yang disalurkan kepada Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF).



Dalam kenyataan yang dimuatnaikkan ke lamannya pagi ini, AFF kelihatan memberi kenyataan bercanggah dengan apa yang telah dinyatakannya sebelum ini, dengan berkata FAS yang mendermakan wang itu kepada persekutuan tersebut.



Walhal pada Jumaat lalu, AFC telah menyatakan bahawa kelab dari Liga Bola Sepak Nasional (NFL) itu yang menderma bagi gerbang pengurusan bola sepak bagi meningkatkan pentadbiran, teknologi maklumat dan soal kewangan.



Hari ini, AFF berkata: "Ahli Majlis AFF telah dimaklumkan pada Mesyuarat ke-3 Majlis yang diadakan pada 6 Disember 2015, bahawa FA Singapura telah mendermakan sejumlah $500,000 pada 4 November 2015 sebagai bayaran untuk membangunkan Sistem. Pihak Majilis merakamkan ucapan terima kasihnya dan penghargaan buat FA Singapura atas usaha mereka untuk melihat projek ini menjadi kenyataan."



Jumaat lalu, jurucakap AFF telah menyatakan menerusi kenyataan yang dikeluarkan FAS: "Kami berterima kasih kepada para penderma dan rakan kongsi kami yang telah tampil untuk membantu dalam program baru ini, termasuk salah sebuah kelab NFL FAS yang mendermakan $500,000 untuk sistem itu."



Pengerusi Tiong Bahru, Encik Bill Ng, yang memimpin pasukan Game Changers dalam pemilihan kepimpinan baru FAS yang akan berlangsung pada 29 April ini berkata, semasa pembentangan manifesto pasukannya pada Khamis lalu, bahawa kelabnya telah menyumbangkan $500,000 kepada FAS dengan niat untuk memanfaatkan bola sepak Singapura dan beliau tidak tahu bagaimana wang ini telah digunakan.



Encik Ng meminta pihak media untuk mendapatkan kepastian daripada setiausaha agung FAS, Encik Winston Lee, berkenaan wang yang didermakan itu.



Beberapa jam kemudian, FAS dalam kenyataannya berkata: "Pada 2014, FAS telah berhubungan dengan Encik Ng tentang usaha menyokong Sistem Pengurusan Bola Sepak AFF. Encik Ng memberi sokongan bagi projek itu dengan derma berjumlah $500,000 kepada AFF menerusi FAS.



"Beliau mengetahui sepenuhnya tentang keperluan derma itu, dan tiada yang datang dari FAS. Sebagai penjelasan, Encik Ng tahu bahawa wang itu tidak didermakan kepada FAS atau untuk mana-mana kegiatan bola sepak Singapura, dan untuk mendakwa ia telah disumbangkan kepada FAS adalah tidak benar."



Sabtu lalu, FAS menyatakan bahawa mantan presidennya, Encik Zainudin Nordin, telah menemui Encik Ng untuk menyumbang derma kepada AFF yang mahu memperoleh sistem pengurusan bola sepak.



Pasukan Game Changers kekal dengan pendirian mereka bahawa Encik Lee perlu menjelaskan yang mendapatkan sumbangan derma itu untuk AFF adalah setiausaha agung dan bukannya Encik Zainudin



Pasukan Game Changers menambah bahawa cek derma berjumlah $500,000 itu dibayar atas nama FAS dan ia disumbangkan "dengan ketegasan bahawa wang itu digunakan untuk memanfaatkan bola sepak Singapura, terutamanya kelab-kelab tempatan."



Akhbar The Straits Times dalam laporannya menyatakan bahawa Encik Lee tidak dapat dihubungi untuk mengulas atas kenyataan terbaru AFF itu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >