Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

RAGBI 7 SEPASUK S'PURA HSBC

Afrika Selatan azam kekalkan budaya kemenangan

Saingan lebih sengit dijangka dengan Fiji, New Zealand dan Samoa kembali aksi di pusingan SG
Apr 09, 2022 | 07:17 AM



BUDAYA ingin mengekalkan standard tinggi dalam pasukan adalah resipi yang menyumbang kepada kejayaan Afrika Selatan selama ini, dedah kapten Siviwe Soyizwapi.



Rahsia kejayaan itu akan menjadi kunci apabila pasukan bergelar The Blitzboks itu menyasarkan meneruskan rekod hebat kemenangan 34 perlawanan mereka di Tujuh Sepasuk Ragbi Singapura HSBC hujung minggu ini.



Juara bertahan itu belum pernah merasakan kekalahan selama lebih dua tahun sejak Tujuh Sepasuk Canada di Vancouver pada Mac 2020.



Afrika Selatan turut mendominasi saingan musim ini selepas menyapu kejuaraan empat pusingan pertama - dua pusingan di Dubai November dan Disember tahun lalu, diikuti dengan pusingan di Malaga dan Seville Januari lalu.



Mereka mendahului tangga siri dengan 88 mata, di depan penghuni tempat kedua Argentina yang mengutip 70 mata.



Singapura adalah perhentian kelima daripada sembilan pusingan yang dijadualkan musim ini.



Soyizwapi, 29 tahun, berkata: "Budaya kami telah banyak menyumbang kepada kejayaan yang kami raih. Selama bertahun-tahun, kami menetapkan standard (tinggi) dalam diri kami sendiri serta untuk pasukan dan kami terdorong mengekalkan standard ini.



"Saya rasa itulah yang menjadi resipi kejayaan buat kami."



Namun, Afrika Selatan dijangka menerima saingan sengit dari dua pasukan mantap, Fiji dan New Zealand, yang kembali bersaing dalam siri kejohanan itu.



"Tahap fizikal New Zealand dan Fiji, yang turut menawarkan permainan yang agak dinamik dan sukar diramalkan, adalah sesuatu yang amat ketara. Mereka membawa sesuatu yang berbeza berbanding pasukan yang pernah kami lawan… ia benar-benar menarik untuk melihat apa yang akan berlaku," tambah Soyizwapi, yang bermain di posisi sayap dan fullback.



Juara siri empat kali dan pemenang pingat emas Sukan Olimpik, Fiji, terlepas bermain di pusingan di Sepanyol dek kes Covid-19 dalam skuad. Samoa, yang mengalami nasib sama, juga kembali beraksi dalam kejohanan hujung minggu ini.



Pasukan kegemaran ramai, New Zealand, pula bakal membuat penampilan pertama mereka musim ini selepas 25 bulan menyepi daripada litar tujuh sepasuk dunia akibat penutupan sempadan dan sekatan perjalanan yang disebabkan pandemik.



Kemunculan semula tiga pasukan ini bermakna Tujuh Sepasuk Singapura menjadi pusingan pertama untuk menampilkan kesemua 16 pasukan utama dalam kejohanan sejak Tujuh Sepasuk Canada pada Mac 2020.



Kapten All Blacks, Sam Dickson, berkata pasukannya, yang kali ini juga disertai lima wajah baru, tidak sabar untuk akhirnya menunjuk taring di depan penyokong.



"Memang seronok sekali dapat kembali bertanding. Setelah sekian lama berehat daripada pertandingan ini, kami dahagakan kemenangan dan sudah bersedia untuk beraksi.



"Kami juga ada beberapa bakat muda yang ligat di padang dan tak sabar mahu menunjukkan keupayaan mereka."



Tiga edisi pertama Tujuh Sepasuk Singapura, pada 2016 hingga 2018, menarik sejumlah 140,000 peminat, dan edisi lalu pada 2019 menyaksikan 57,000 penonton hadir. Tahun ini, sehingga 12,000 penonton dibenar hadir di stadium setiap hari. Acara itu juga adalah acara besar sukan yang pertama di sini untuk membenarkan penonton makan dan minum di tempat duduk mereka di tengah-tengah pandemik.




SEKILAS KEJOHANAN



Tarikh dan waktu: Hari ini dan esok, 10 pagi hingga 8 malam



Lokasi: Stadium Negara



  • Tiket bagi kejohanan selama dua hari ini bermula pada harga $49 (dewasa) dan $25 (empat hingga 17 tahun), dan boleh dibeli di laman web singapore7s.com.sg/tickets

  • Langkah pengurusan selamat di stadium:

    - Setiap penonton perlu menyerahkan keputusan negatif ujian pantas antigen (ART) dalam talian sebelum dibenar masuk ke stadium

    - Penonton dibenarkan makan dan minum di tempat duduk mereka

    - Semasa berada di tempat duduk penonton, mereka pula dihadkan kepada kumpulan lima orang dan perlu mematuhi langkah jarak selamat




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >