Liga-S

Amin tetapkan matlamat menang

JURULATIH Hougang United, Amin Nasir, meletakkan matlamat mencatat kemenangan dalam perlawanan pertama pasukannya apabila mereka bertemu Woodlands Wellington di padang sendiri malam esok.

Bekas pemain pertahanan nasional itu berharap kejayaan tersebut akan memberikan impak besar ke atas haluan anak didiknya dalam mengharungi musim baru Liga-S Great Eastern-Yeo's yang bermula semalam.

"Ini perlawanan pertama kami dan kami pula berpeluang memulakannya di padang sendiri di Stadium Hougang.

"Jadi saya beritahu pemain saya supaya memberikan persembahan terbaik untuk mencatat kemenangan. Ini penting untuk menampakkan impak bagi menarik lebih ramai peminat datang ke stadium dalam perlawanan akan datang," jelas Amin, yang mengambil alih tugas membimbing Hougang sekitar pertengahan musim lalu.

Tahun lalu, dalam pertandingan tiga pusingan Liga-S Great Eastern-Yeo's, Hougang berjaya mengalahkan Woodlands dua kali dan kalah sekali.

Walaupun beliau rasa anak didiknya dapat mencapai matlamat yang ditetapkan, Amin tidak mahu mereka berasa terlalu yakin.

"Memandangkan ini perlawanan pertama kami dan bagi semua pasukan, saya hanya mahu menumpukan sepenuh perhatian pada anak didik saya," tambah Amin.

Beliau, yang menjelaskan matlamat memimpin Hougang merebut enam tempat teratas dalam Liga-S berbanding tempat ke-10 yang diduduki musim lalu, bercadang menggunakan sepenuhnya keupayaan dua bintang Brazilnya iaitu Diego Gama de Oliveira, 30 tahun, dan Geison De Carvalho Moura, 27 tahun.

Perlawanan antara Hougang dengan Woodlands dijadualkan bermula pada 7.30 malam.

Waktu Solat

Subuh
5:36
Syuruk
7:00
Zuhur
1:02
Asar
4:26
Maghrib
7:03
Isyak
8:18
3 HR PSI: 15
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.