Anak didik Fandi bersinar di Mauritius

SITI AISYAH NORDIN

naisyah@sph.com.sg dari Mauritius

DI hadapan sekitar 3000 penyokong tuan rumah di stadium New George V di Curepipe, anak didik Fandi Ahmad tetap mampu menunjukkan satu persembahan yang meyakinkan meskipun tewas 2-1 semalam.

Para pemain muda Singapura bawah 20 tahun yang menentang pasukan Mauritius bawah 21 tahun, berjaya mengatur serangan bijak sehingga menjaringkan gol pertama perlawanan pada minit ke-17 menerusi pemain tengah, Muhammad Isyraf Zulhilmi Iskandar.

Namun, pada separuh masa kedua pasukan tuan rumah merubah strategi mereka dan telah melancarkan serangan bertubi-tubi terhadap benteng pertahanan Singapura.

Gol penyamaan pasukan Mauritius dijaringkan oleh Alexandro Jolicoeur pada minit ke-55 dan kemudian mereka menambah lagi jaringan 20 minit sebelum akhir perlawanan dengan satu rembatan kencang dari sudut kotak penalti oleh Jason Ferde.

Hasil jaringan Jolicoeur walau bagaimanapun telah menyebabkan kekeliruan di kalangan pemain Singapura setelah mereka menyangkakan bahawa pemain lawan akan mengembalikan bola kepada penjaga gawang Singapura, Kenji Syed Rusydi Al-Asyraf Syed Ali yang juga merupakan kapten pasukan itu.

Sebelum gol tersebut, Kenji telah melontar keluar bola setelah beliau dan Satish Varmaan S/O Ramachandran mengalami kedeceraan dan perlu mendapatkan rawatan.

Rentak permainan anak didik Joe Tshupula terus bertambah agresif dan serangan mereka menguji keutuhan benteng pertahanan skuad belia itu yang akhirnya runtuh pada minit ke-71 hasil rembatan Ferde.

Meskipun ketinggalan dengan hanya satu gol, para pemain Singapura tetap mampu menghasilkan beberapa peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan sebelum tamat perlawanan.

Tandukan Mohammad Fadzly Misawal pada minit ke-90, berjaya ditepis penjaga gawang Christophe Louis yang akhirnya memastikan pasukannya mengecapi kemenangan Yang tidak dapat dilupakan bagi perlawanan sempena sambutan hari kemerdekaaan Mauritius yang ke-49.

Mengulas tentang perlawanan tersebut, Fandi merasakan bahawa para pemain telah menunjukkan komitmen yang luar biasa.

"Pasukan kita telah menunjukkan kerjasama yang baik, walaupun kalah kita tetap berpuas hati kerana telah bermain dengan pasukan yang bersikap keras, tetapi kita masih boleh terima," katanya.

Jurulatih pasukan Mauritius, Tshupula berkata bahawa kededua pasukan telah bermain dengan baik.

"Saya terkejut dengan mutu pemain dari Singapura, dan saya berasa ia akan menjadi pasukan yang baik bagi masa hadapan bola sepak Singapura," katanya.

Galeri Foto

Waktu Solat

Subuh
5:51
Syuruk
7:08
Zuhur
1:12
Asar
4:13
Maghrib
7:15
Isyak
8:23
3 HR PSI: 54
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.
Indeks ST 3,142.900 +15.970