Bekas jurulatih takraw meninggal

BEKAS jurulatih sepak takraw kebangsaan Malaysia, Hassan Sulaiman, atau nama sebenarnya Minhad Sulaiman, meninggal dunia akibat diserang sakit jantung Rabu lalu.

Hassan, yang turut dikenali orang lama dalam Persekutuan Sepak Takraw Singapura (Perses) dan pernah mengendalikan kursus dan seminar sepak takraw di sini, pernah disebut-sebut menjadi jurulatih pasukan nasional pada 2000.

Berita mengenai kematian Hassan didedahkan kepada Berita Harian oleh Setiausaha Agung Perses, Abdul Halim Kader, tadi.

Media Malaysia melaporkan, bekas jurulatih itu dimasukkan ke Hospital Selayang, di Selangor, sejak Isnin lalu dan meninggal dunia pada usia 70 tahun.

Halim, yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Asia (Istaf), berkata Malaysia dan dunia sepak takraw amnya kehilangan seorang tokoh sukan warisan tradisi Melayu dengan kembalinya Hassan ke rahmatullah.

"Allahyarham telah mewarnai sukan sepak takraw baik sebagai pemain mahupun jurulatih malah cukup disegani sebagai pengkritik lantang dan berani selepas bersara.

"Sebagai jurulatih, beliau pernah membantu Malaysia memenangi dua pingat perak Sukan SEA Bangkok 1985 (berpasukan dan antara regu)," kata Halim.

Di Singapura, jasa dan pengorbanan Hassan turut tidak boleh dinafikan kerana beliau pernah memberi tunjuk ajar kepada lebih 100 jurulatih setempat menerusi kursus kejurulatihan yang dikendalikannya.

"Teknik atau strategi double killer iaitu meletakkan peranan mematikan bola kepada kedua-dua apit kiri dan kanan, tidak syak lagi telah menjadikan Allahyarham tokoh inovasi sukan sepaktakraw pada era 80-an.

"Ketika itu kedua-dua apit double killer Malaysia, Adnan Saidin dan Raziman Hassan, cukup gagah dan digeruni malah disegani kawan dan lawan di Malaysia, Singapura dan Thailand mahupun seluruh Asia," kata Abdul Halim.

Waktu Solat

Subuh
5:37
Syuruk
7:00
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:03
Isyak
8:18
3 HR PSI: 20
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.