PIALA DUNIA 2014

Brazil mara ke suku akhir, tewaskan Chile 3-2 melalui tendangan penalti

Julio Cesar muncul wira Brazil, menyelamatkan dua penalti selepas perlawanan terikat 0-0 di akhir masa tambahan.

WALAU menampilkan prestasi yang kurang menyakinkan, Brazil menjadi pasukan pertama mara ke suku akhir Piala Dunia selepas ia menundukkan Chile 3-2 menerusi tendangan penalti di Belo Horizonte, selepas permainan berkesudahan 0-0 di akhir masa tambahan.

Neymar menjaringkan penalti kemenangan Brazil, memperdayakan Claudio Bravo selepas tendangan Gonzalo Jara untuk Chile terkena tiang.

Namun wira pasukan tuan rumah ialah penjaga gawang Julio Cesar yang menyelamatkan dua penalti tendangan Mauricio Pinnila dan Alexis Sanchez. Namun kelebihan awal yang dinikmati Brazil itu disesiakan Willian dan Hulk yang gagal menyempurnakan tendangan penalti masing-masing.

David Luiz dan Marcelo menjaringkan baki dua penalti untuk Brazil. Dua penalti Chile dijaringkan oleh Marcelo Diaz dan No. 20.

Kemenangan Brazil itu bermakna ia mara setapak lagi ke arah final pada 14 Jun, dengan Uruguay atau Colombia menanti di suku akhir.

Walau tersingkir, Chile boleh pulang dengan bangga, setelah membuktikan ia mampu bersaing dengan pasukan terbaik di dunia.

Perlawanan bermula dengan rancak, walau Brazil menguasai permainan dalam 20 minit pertama.

Tekanan awal itu meraih hasil dalam minit ke-18.

Estadio Mineirao meledak dengan sorakan gembira selepas David Luiz menjaringkan gol hasil satu tendangan sudut. Bola yang dihantar ke petak penalti ditanduk Thiago Silva ke tiang belakang dan mengena lutut Luiz sebelum masuk ke dalam gawang, walau ulang tayang televisyen menunjukkan bola melantun masuk dari kaki pemain Chile.

Kerapuhan pertahanan Brazil, terutama Dani Alves dan David Luiz yang seolah-olah lebih selesa menyerang daripada bertahan membawa padah dalam minit ke-32.

Chile yang kian yakin mengatur serangan berbahaya menerusi sayap kiri mengambil kesempatan kesilapan pertahanan Brazil. Eduardo Vargas mencuri bola yang dilontar masuk oleh Brazil. Lantas, beliau embuat hantaran silang ke Alexis Sanchez yang menanti di penjuru petak penalti. Sanchez tidak mensesiakan peluang itu, menonjol bola untuk memperdayakan Julio Cesar di gawang Brazil.

Dua minit sebelum waktu rehat, Alves hampir mengembalikan kelebihan jaringan kepada pasukannya Beliau merembat bola kencang dari jarak 20 meter tetapi ia berjaya ditepis keluar melewati palang oleh jejari Bravo.

Separuh masa kedua bermula serancak permulaan permainan tetapi Chile berjaya menguasai permainan selepas meresap asakan awal Brazil.

Selang 10 minit, sorakan ria penyokong Brazil sekali lagi memenuhi angkasa walau kali ini ia tidak lama berkekalan

Pengadil Inggeris, Howard Webb mengecewakan 200 juta penyokong tuan rumah apabila beliau membatalkan gol yang dijaringkan Hulk yang didakwanya menggunakan lengannya untuk mengawal bola.

Selepas itu, giliran Chile pula mengancam gawang Brazil, dengan Charles Aranguiz merembat kencang bola yang dihantar dari sayap. Namun percubaan derasnya meluru ke arah Cesar yang berjaya menamparnya keluar.

Brazil mempunyai peluang untuk menjaringkan gol kedua enam minit sebelum permainan tamat tetapi Bravo tangkas, merebahkan tubuhnya ke kiri secara akrobatik untuk menyelamatkan percubaan Hulk.

Namun gol yang dicari-cari kededua pasukan tidak muncul dan permainan dilanjutkan ke tempoh tambahan 30 minit.

Peluang terbaik dalam masa tambahan jatuh kepada pemain gantian Chile Mauricio Pinilla, apabila bola yang dirembatnya memperdayakan Cesar tetapi hinggap di palang gawang. Bagaimanapun, tempoh tambahan berakhir tanpa jaringan dan perlawanan terpaksa disudahkan menerusi tendangan penalti.

NORMAN SAWI

Waktu Solat

Subuh
5:37
Syuruk
7:01
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:04
Isyak
8:19
3 HR PSI: 19
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.