BERSAMA

Bukan sekadar PERAK

Semangat juang serta pengorbanan wajar disanjung

Kata orang, hanya sang juara yang dijulang dan dikenang. Sebaliknya, gelaran naib juara sering dilupakan. Namun, bagi lima atlit negara yang beradu di Sukan SEA yang berakhir baru-baru ini, detik kejayaan memenangi pingat perak begitu bermakna dan manis sekali, seolah-olah ‘dikalung’ pingat emas. Selepas lama berkorban – mengetepikan pendidikan, pekerjaan serta masa berharga bersama keluarga tersayang – kejayaan menggenggam pingat perak sememangnya detik membanggakan. Sekalipun langkah mereka ‘tersandung’ di halangan terakhir, Berita Minggu tabik semangat dan pengorbanan mereka dalam usaha mengharumkan nama negara.

MOHAMED HANURDEEN HAMID (tinju)

MATA kirinya sukar ‘dibuka’ gara-gara luka dan bengkak menyusuli kemenangannya di separuh akhir. Namun, pantang menyerah sebelum bertempur, Mohamed Hanurdeen Hamid tidak mengendahkan nasihat doktor supaya menarik diri daripada final kelas fly (52 kilogram) menentang pencabarnya dari Filipina, Bautista Ian Clark.

Dengan hanya ‘sebelah mata’, petinju berusia 22 tahun ini berjuang hebat dan memberikan segalanya untuk mengheret pertarungan sehingga tiga pusingan sebelum tewas melalui kiraan mata.

Berbanding prestasinya yang tewas di pusingan awal semasa beraksi di Sukan SEA Myanmar dua tahun lalu, Hanurdeen mempamerkan peningkatan cemerlang untuk melangkah sehingga ke final di temasya Sukan SEA Singapura ini. Mungkin pingat emas menantinya di temasya Sukan SEA 2017 di Malaysia kelak...

MUHAMMAD HASEEF SALIM (hoki)

PERAK lagi tetapi berbeza daripada perak yang dimenangi di Sukan SEA Myanmar dua tahun lalu, perak yang digenggam di Sukan SEA Singapura yang berakhir baru-baru ini rasanya seperti emas.

“Kami berjuang hebat dalam final itu dan sekalipun ketinggalan dua gol, setiap pemain tidak menyerah dan menunjukkan semangat juang tinggi untuk menyamakan kedudukan. Hanya babak penalti ‘shoot-out’ yang membezakan kededua pasukan di akhir perjuangan. Sebab itu saya katakan sekalipun kami terpaksa berpuas hati dengan pingat perak, kepuasannya seperti menang emas,” ujar pemain muda hoki berbakat, Muhammad Haseef Salim, mengenai kekalahan kepada ‘musuh tradisi’, Malaysia, dalam final hoki.

Dengan reputasinya sebagai antara pasukan handalan dunia dalam hoki, Malaysia menguasai emas sukan itu di setiap edisi Sukan SEA kecuali pada temasya 1973. Skuad muda yang ditampilkan di Sukan SEA kali ini meneruskan tradisi bangga itu tetapi hanya selepas mendapat saingan hebat daripada Haseef dan rakan-rakannya.

Haseef, yang menangguhkan peperiksaan akhir pengajian tahun pertamanya di Universiti Western Australia (UWA) ini semata-mata untuk menyertai skuad nasional di Sukan SEA, berkata pengalaman di perlawanan akhir dengan Malaysia itu antara yang paling hebat dan menjadi dorongan kepadanya terus aktif dalam sukan kesayangannya itu.

ABDUL HADI UDA (golf)
CITA-CITANYA ialah mengikut jejak jaguh golf negara, Mardan Mamat. Pemain muda berbakat, Abdul Hadi Uda, mendapat suntikan semangat dalam usaha mencontohi jejak pemain golf nombor satu Singapura itu apabila membantu rakan-rakannya lain memenangi pingat perak golf berpasukan di Sukan SEA yang berakhir baru-baru ini.

Berbanding pengalaman pulang dengan tangan kosong daripada temasya Sukan SEA Myanmar dua tahun lalu, kejayaan perak kali ini – hanya di belakang Thailand – tentunya satu pencapaian manis bagi Hadi yang turut melakukan pelbagai pengorbanan sebagai persiapan beraksi di Sukan SEA ini.

Persiapan itu, termasuk menyertai pelbagai kejohanan di luar negara, turut menyaksikan anak sulung empat beradik itu ‘menganjakkan’ beberapa modul kursus diploma yang didudukinya bagi kursus Pengurusan Sukan dan Riadah yang ditawarkan secara bersama oleh Politeknik Republic (RP) dan Sekolah Sukan Singapura (SSP).

Ini bermakna Hadi akan hanya menamatkan kursus diplomanya tahun depan – dan bukan tarikh asal iaitu pada Mac lalu tetapi kejayaan menggenggam pingat perak ini tentunya menjadikan segala pengorbanan itu sesuatu yang berbaloi sekali bagi anak muda berusia 20 tahun ini.

ANUAR ABDULLAH (menembak)

NAMANYA mungkin tidak sehebat jaguh menembak negara, Mohd Zain Amat, tetapi beraksi dalam acara yang julung-julung kali diperkenalkan di Sukan SEA ini – acara menembak pistol kepersisan (precision pistol competition atau PPC) – Anuar Abdullah, 46 tahun, tidak mahu ketinggalan menyumbangkan pingat kepada Team Singapore.

Sayangnya, pingat perak yang dimenangi pada sebelah pagi dalam acara berpasukan gagal ‘menukar’ warna apabila beliau beraksi dalam acara perseorangan pada sebelah petang. Bapa tiga anak dewasa yang berusia antara 16 dengan 24 tahun itu terpaksa berpuas hati dengan perak kedua, sekalipun melangkah ke pusingan akhir dengan pungutan mata yang sama dengan pencabar utamanya dari Thailand, Thanawut Thammawai.

Namun, nasib tidak menyebelahi Anuar apabila beliau ditimpa ‘malang’ – kartrij panas daripada peluru tembakannya mendarat di atas tangannya, menyebabkannya tersentak seketika dan hilang fokus. Ia turut menghancurkan impian emasnya tetapi Anuar, seorang pegawai penjara, bersyukur dengan dua pingat peraknya yang menurutnya “menjadi bukti semangat juangnya” di Sukan SEA ini.

NORIZAN MUSTAFA (menembak)

RAKAN Anuar Abdullah yang beraksi dalam acara menembak pistol kepersisan (precision pistol competition atau PPC) wanita – Norizan Mustafa – turut melihat pingat emas yang hampir-hampir dalam genggaman ‘dirampas’ pesaingnya dari Filipina.

Anak sulung tiga beradik berusia 34 tahun itu tiba di pusingan akhir sebagai penembak yang mencatatkan mata yang paling tinggi.

Malangnya, skrip ‘fairytale’ yang diharap-harapkan Team Singapore tidak menjadi kenyataan apabila mata yang dicatatkannya itu hanya dua mata di belakang pemenang pingat emas, Elvie Baldivino.

Norizan akui jangkaan tinggi serta suasana (pertandingan) akhir mungkin membuatnya gementar sedikit, sekali gus menjejas prestasinya di pusingan akhir tetapi pujian yang dihamburkannya kepada seterunya itu – sekalipun berada di ambang kekecewaan – menjadi kebanggaan Team Singapore.

“Beberapa peluru tembakan saya gagal menemui sasaran yang diharapkan tetapi hakikatnya, saya tewas kepada pencabar saya yang lebih konsisten dan orangnya juga begitu rendah hati,” ujar Norizan ketika ditemui di akhir acaranya itu baru-baru ini.

 

Waktu Solat

Subuh
5:33
Syuruk
6:57
Zuhur
12:59
Asar
4:23
Maghrib
7:00
Isyak
8:15
3 HR PSI: 35
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.