Buku panduan bola sepak akar umbi dilancarkan dalam usaha Sablon terapkan permainan 'gaya Singapura'

LUPAKAN gaya permainan samba Brazil atau 'tika-taka' Sepanyol.

Sebaliknya, Michel Sablon - Pengarah Teknikal yang dilantik Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) sejak Jun lalu - melahirkan harapan melihat permainan 'gaya Singapura' diterapkan di setiap pasukan daripada pelbagai peringkat umur sehinggalah ke skuad nasional Singa.

Usaha ke arah mewujudkan permainan 'gaya Singapura' itulah juga yang menyaksikan buku panduan bola sepak akar umbi yang dipertingkatkan - diilhamkan dan disusun oleh Sablon - dilancarkan petang tadi (13 Ogos) yang bertujuan menjadikan sukan ini lebih seronok di kalangan pemain-pemain cilik berusia antara enam dengan sembilan tahun.

Matlamat jangka panjang ialah melihat lebih ramai pemain aktif dalam sukan ini demi meningkatkan mutu bola sepak Singapura.

"Visi saya ialah untuk melahirkan generasi akan datang pemain-pemain bola sepak Singapura.

"Dalam beberapa tahun lagi, saya berharap kita dapat menyajikan permainan 'gaya Singapura... bola sepak menarik dan ofensif.

"Untuk mencapainya kami perlu bermula di peringkat asas... ini bermakna membawa sukan ini di peringkat akar umbi," ujar Sablon di sidang media di FAS petang tadi.

Sebagai permulaan, 'buku panduan' bola sepak ini akan diterapkan dalam sesi latihan Program Cub yang diterajui FAS. Program latihan perintis ini - bagi pelajar sekolah rendah - sudah pun bermula di Sekolah Rendah Sembawang pada April lalu.

Kini lima pusat latihan dibuka sejauh ini, program ini akan diperluaskan lagi di 28 pusat milik Persatuan Rakyat (PA) sebaik kededua pihak memeterai satu Memorandum Persefahaman (MOU) dalam masa terdekat ini.

"Matlamatnya ialah mengendalikan 33 pusat dengan sekitar 2,000 kanak-kanak bermain bola sepak setiap hujung minggu."

Bekas Pengarah Teknikal di Persatuan Bola Sepak Belgium pada 2001-2010 itu - di mana beliau melakar pelan induk 10 tahun yang mengubah wajah bola sepak negara itu bagi melahirkan 'generasi emas' seperti Vincent Kompany (Manchester City) dan Eden Hazard (Chelsea) - berharap buku panduan itu kemudian dapat diperluaskan dan diterapkan di peringkat sekolah-sekolah dan setiap skuad pembangunan belia pelbagai peringkat umur bagi mendapatkan hasil yang diharap-harapkan - bola sepak "gaya Singapura" yang bermain secara ofensif dan menarik.

Mengulas mengenai usaha menebarkan sukan itu lebih luas, Presiden FAS, Encik Zainudin Nordin, pula berkata:

"Pelantikan beliau sebagai Pengarah Teknikal FAS awal tahun ini adalah sebahagian daripada pelan jangka panjang untuk pertingkat dan perbaiki lagi platform pembangunan belia yang sedia ada.

"Antara tugas beliau juga termasuk membangun dan mempertingkat ilmu para jurulatih setempat. Buku panduan akar umbi ini adalah inisiatif pertama daripada beberapa lagi yang beliau rancangkan ke arah mencapai matlamat itu."

Waktu Solat

Subuh
5:36
Syuruk
6:59
Zuhur
1:02
Asar
4:26
Maghrib
7:02
Isyak
8:17
3 HR PSI: 56
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.