Topic followed successfully
Go to BHkuDe Zerbi tekad kekal bersama Spurs musim depan ‘tidak kira apa pun yang berlaku’
De Zerbi tekad kekal bersama Spurs musim depan ‘tidak kira apa pun yang berlaku’
De Zerbi tekad kekal bersama Spurs musim depan ‘tidak kira apa pun yang berlaku’
LONDON: Pengurus baru Tottenham Hotspur, Roberto De Zerbi, menegaskan bahawa beliau akan tetap mengendalikan pasukan itu pada musim depan tanpa mengira keputusan mereka.
Beliau berkata demikian sambil menyifatkan tugasan tersebut sebagai cabaran terbesar dalam kerjayanya selepas menandatangani kontrak jangka panjang dengan kelab Liga Perdana England itu yang kini sedang bergelut di zon penyingkiran.
Bekas pengurus Brighton & Hove Albion, De Zerbi, dilantik bagi mengambil alih peranan jurulatih asal Croatia, Igor Tudor, ketika Spurs sedang bergelut untuk mengelak daripada tersingkir daripada saingan liga utama buat kali pertama sejak 1977.
Jurulatih berusia 46 tahun itu mempunyai baki tujuh perlawanan dalam usaha menarik Spurs keluar daripada zon bahaya, dengan kelab London Utara itu kini menduduki tangga ke-17.
Spurs telah mengumpul 30 mata dalam EPL sejauh ini – hanya satu mata dan satu anak tangga di atas zon penyingkiran selepas 31 perlawanan, malah pasukannya belum mencatatkan sebarang kemenangan liga sejak Disember.
“Saya menandatangani kontrak lima tahun kerana bagi saya ini adalah satu cabaran besar,” kata De Zerbi dalam temu bual pertamanya melalui saluran YouTube rasmi kelab tersebut.
“Saya akan tetap menjadi jurulatih Tottenham musim depan, tidak kira apa pun yang berlaku.”
De Zerbi dijadual mengendali perlawanan pertamanya di padang lawan menentang Sunderland pada 12 April.
Pengurus kelahiran Italy itu mengakui Spurs sedang mengharungi “detik sukar” namun berkata skuad tersebut mempunyai semangat untuk keluar daripada kemelut berkenaan.
“Kami perlu beri tumpuan kepada perlawanan menentang Sunderland. Saya tidak mahu bercakap tentang jadual perlawanan.
“Kami perlu mempersiapkan pemain untuk menang dari satu perlawanan ke satu perlawanan,” katanya.
“Selepas tamat fasa musim ini, saya percaya kami mampu menjadi pasukan yang hebat pada masa akan datang.” – Reuters.

