JAGUH badminton negara, Derek Wong, serta perenang kurang upaya, Yip Pin Xiu, mendapat penghormatan apabila kededuanya dinamakan sebagai pembawa bendera kontinjen Singapura yang akan beradu tenaga di Sukan Olimpik dan Paralimpik Rio yang bermula tidak lama lagi.
Pemilihan kededua atlit itu diumumkan di satu majlis rasmi penyerahan bendera negara yang berlangsung di platform terapung The Float di Marina Bay, pada hujung minggu lalu - acara yang turut menyaksikan pelancaran rasmi kempen sokongan 'One Team Singapore' yang bertujuan memukul canang di kalangan warga setempat supaya menghulurkan sokongan padu kepada atlit negara yang bakal beraksi di Rio nanti.