Subuh
5:53
Syuruk
7:09
Zuhur
1:14
Asar
4:15
Maghrib
7:17
Isyak
8:25
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

MENJELANG SUKAN KOMANWEL 2018

Doktor muda, penembak negara

Mastura diambang bertanding di temasya sukan terbesarnya apabila dipilih dalam pasukan menembak negara yang akan beraksi di Sukan Komanwel Gold Coast bulan depan
Mar 11, 2018 | 05:30 AM



APA kaitan antara stetoskop dengan senapang? Atau antara sukan menembak dengan kerjaya sebagai seorang doktor?



Perbezaannya ibarat langit dengan bumi - jauh berbeza.



Namun, kededuanya mempunyai tempat yang unik dalam hati Siti Mastura Rahim sejak sekitar lapan tahun lalu.



Malah, sebaik sahaja beliau mula 'memegang' senapang sejak pengajiannya dalam fakulti perubatan di Universiti Nasional Singapura (NUS) pada 2010, sukan menembak terus melekat dalam hati doktor muda ini.



Kini seorang doktor 'junior resident' di jabatan pembedahan ortopedik bersama SingHealth - laluan yang perlu dilaluinya selama enam tahun dalam usaha menjadi seorang pakar ortopedik - Mastura kini berada di ambang mewakili negara di temasya sukan terbesarnya sejauh ini.



Doktor berusia 28 tahun ini satu-satunya penembak wanita bagi acara 'trap' yang dipilih bagi mewakili Singapura di temasya Sukan Komanwel yang akan berlangsung di Gold Coast, Australia, pada 4-15 April ini.



Beliau dijangka turut mengambil bahagian dalam acara 'trap' berganda dan akan disertai dua rakan senegara - Choo Choon Seng dan Lin Hejun - yang akan beraksi dalam bahagian lelaki acara menembak menggunakan senapang patah itu.



Mereka bertiga antara 17 atlit menembak yang memenuhi kriteria pemilihan yang dijalankan Persatuan Menembak Singapura (SSA) sejak Disember lalu.



Bagi Mastura, ia tentu sekali bakal menjadi antara pengalaman terhebatnya sejauh ini - mungkin hampir sama perasaannya semasa pertama kali merawat pesakit ketika menjalani housemanship-nya di Hospital Besar Singapura (SGH) dan Hospital Besar Changi (CGH) tidak lama dulu.



"Tidak syak lagi, ini adalah medan kejohanan terbesar bagi saya, jadi perasaan gementar tidak dapat dielak," ujar Mastura semasa ditemui sebelum sesi latihannya di Pusat Menembak Nasional (NSC) di Old Choa Chu Kang Road awal minggu ini.



"Tetapi saya juga begitu ghairah sekali mahu mewakili negara... saya berharap dapat menunjukkan prestasi terbaik dan cuba mengatasi skor terbaik peribadi yang dicatatkan sebelum ini iaitu 68 mata daripada 75 mata penuh.



"Harapan utama tentu sekali mahu cuba membawa pulang sebutir pingat tetapi saya akur taraf kejohanan di peringkat Sukan Komanwel adalah sengit.



"Peserta-peserta dari Australia dan Britain secara tradisi menguasai acara 'trap' wanita tetapi yang pasti, saya akan berusaha memberikan 100 peratus... mudah-mudahan ia cukup untuk membantu saya menang sesuatu," tambah anak sulung keluarga tiga beradik ini yang kejayaan terbesar dalam sukan ini ialah semasa memenangi pingat emas di Terbuka Thailand pada 2015.



Beliau bagaimanapun tidak pernah tampil di pentas Sukan SEA kerana di kededua edisi sukan serantau berprestij ini ketika beliau gigih menjalankan latihan - Sukan SEA Singapura 2015 dan Sukan SEA Kuala Lumpur tahun lalu - acara 'trap' wanita tidak dipertandingkan.



Bakatnya dalam menembak bagaimanapun tidak perlu diragukan sekalipun pembabitan awalnya dalam sukan ini sesuatu yang mengejutkan.



Apatah lagi bekas pelajar Sekolah Perempuan Tanjong Katong (TKGS) dan Maktab Rendah Raffles (RJC) ini menunjukkan bakat besar dalam arena badminton - sehingga mendapat tempat dalam skuad belia nasional kendalian Persatuan Badminton Singapura (SBA) semasa berusia 15 tahun.



Apabila melangkahkan kaki ke menara gading, beliau turut aktif dalam badminton sehinggalah pertama kali 'memegang' senapang semasa menghadiri satu sesi mencungkil bakat yang dijalankan oleh SSA di NUS sekitar 2010.



"Itulah kali pertama saya memetik picu senapang... seronok rasanya dan sejak itu, saya makin bersemangat mengikuti sesi latihan sukan ini," ujarya.



Mengimbangi kerjaya sebagai doktor dengan minatnya dalam sukan ini juga bukanlah sesuatu yang mudah.



Bekerja waktu pejabat dan kekadang perlu menjalani syif malam di hospital mengehadkan masa latihannya di lapangan menembak kepada setiap hujung minggu.



Namun, sejak awal bulan ini, Mastura berpeluang memberikan tumpuan sepenuhnya pada latihan selepas mendapat sokongan majikannya untuk berlatih sepenuh masa dan memanfaatkan geran latihan yang disediakan oleh agensi sukan negara, Sport Singapore (SportSG).



"Mudah-mudahan pengalaman di Sukan Komanwel ini akan menjadi platform bagi saya tampil di lebih banyak kejohanan berprestij lain seperti di Piala Dunia (Menembak) dan Sukan Asia," kata Mastura yang tidak lupa jasa dan sumbangan yang dihulurkan Choo dan seorang lagi bekas jaguh menembak negara, Mohd Zain Amat, yang banyak memberikan tunjuk ajar.



Mengulas pemilihan Mastura ke Sukan Komanwel, pengurus prestasi tinggi SSA, Jeanine Heng, berkata:



"Kelebihan Siti ialah kesediaannya mendapat bimbingan daripada penembak lain yang lebih berpengalaman... beliau juga rajin berlatih dan menunjukkan peningkatan pesat sejak setahun lalu.



"Sukan Komanwel ini adalah kali pertama baginya... satu pengalaman yang baru baginya, jadi kami hanya berharap beliau akan memberikan yang terbaik."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >