Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:08
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

Dulu ‘kecut’ kini berani lepas sertai program Tasek Sailors

Inisiatif bersama Tasek Jurong, Lion City Sailors guna bola sepak pertingkat hidup belia kurang bernasib baik
Jun 25, 2023 | 05:30 AM



Bola sepak telah mengubah hidup pelajar Nurfadillahwatie Murad.

Tidak lama dahulu, remaja berumur 15 tahun yang menyifatkan dirinya sebagai seorang introvert, atau tidak suka bergaul, dan pemalu itu sering “kecut” dalam suasana sosial.

Tetapi sejak menyertai Akademi Bola Sepak Tasek di bawah Tasek Jurong (Tasek) – sebuah agensi perkhidmatan sosial bebas yang mengendalikan program pembangunan untuk kanak-kanak, belia dan keluarga daripada latar belakang kurang bernasib baik – Watie kini lebih berani dan terbuka untuk berinteraksi dengan rakan sebayanya.

Watie, yang telah bersama Tasek sejak 2021, menyertai akademi itu setahun lalu.

Beliau berminat dalam bola sepak – meskipun tiada pengalaman dalam sukan itu – setelah melihat perkembangan abangnya, yang menyertai akademi tersebut juga.

“Selepas saya masuk akademi ini, saya belajar cara berkomunikasi dan mula berani bercakap dengan orang. Dahulunya saya seorang yang introvert,” kata pelajar Sekolah Menengah Yuan Ching itu.

Akademi Bola Sepak Tasek, yang sebelumnya dinamakan Beacon of Life Academy (Bola), ditubuhkan kira-kira 10 tahun lalu dan merupakan salah satu program utama di Tasek. 

Baru-baru ini, Watie terpilih menyertai pasukan nasional bawah 15 tahun selepas menjalani percubaan pasukan peringkat usia Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS).

“Saya ingin bermain dalam pasukan (senior) nasional dan menjadi pemain yang dikenali suatu hari nanti,” ujar Watie, mengenai cita-cita bola sepaknya.

Aspirasi Watie dan belia lain dalam Akademi Bola Sepak Tasek dapat menjadi nyata menerusi perkongsian antara akademi itu dan Lion City Sailors, satu-satunya kelab bola sepak swasta di Singapura.

Pada 12 Jun, satu daya usaha – Tasek Sailors – dimulakan oleh dua pertubuhan itu dengan tujuan menggunakan bola sepak sebagai wadah meningkatkan kehidupan belia kurang bernasib baik dan membangunkan mereka secara holistik.

Di bawah usaha itu, pemain, baik lelaki mahupun perempuan, dapat didedahkan kepada latihan bola sepak peringkat tinggi sambil memanfaatkan program bimbingan peribadi secara menyeluruh.

Lion City Sailors mula bekerjasama dengan Akademi Bola Sepak Tasek, yang terletak di bahagian barat Singapura, pada 2022. Kini, terdapat rancangan untuk memperluas program itu ke pusat baru Tasek di kawasan timur. 

Tasek Sailors akan menyediakan peluang kepada pemain untuk bersaing dalam kejohanan bola sepak belia setempat dan laluan jelas untuk mereka memburu cita-cita sebagai pemain profesional.

Mereka yang berbakat juga berpeluang bermain di kelab profesional serata Asia dan Eropah.

Salah seorang pemain Akademi Bola Sepak Tasek, Muhammad Hulikah Rezal, 16 tahun, gembira dapat menimba pengalaman baru di bawah bimbingan jurulatih profesional daripada Lion City Sailors. 

Pada Mei, pasukan Hulikah daripada Tasek FC menjuarai kejohanan Divisyen 2 Bawah 16 Tahun Lelaki JSSL.

“Kami belajar banyak kemahiran baru dan dapat memahami lebih mendalam cara bermain bola sepak dengan baik daripada jurulatih profesional, dan ini membantu meningkatkan prestasi kami,” kata pelajar Sekolah Menengah Yuan Ching itu, yang menyertai Tasek pada 2015.

Seorang lagi pemain yang bakatnya dicungkil ialah Sarrvin Raj, 15 tahun. Remaja ini lulus daripada Akademi Bola Sepak Tasek dan kini berlatih bersama skuad elit bawah 17 tahun Akademi Sailors.

Inisiatif Tasek Sailors akan juga membangunkan satu tonggak yang tertumpu pada perkembangan permainan bola sepak wanita di Singapura, terdorong oleh bilangan pemain wanita yang bertambah dalam akademi itu.

Pengurus kanan Tasek Jurong, Dr ‘Ain Azman, berkata: 

“Kami kini mempunyai hampir 100 pemain belia perempuan – setiap seorang membawa visi unik mengenai apa makna sukan itu kepada mereka dan masyarakat. Kerjasama Sailors ini dapat mengembangkan impian kita.”

Hari ini (25 Jun), acara Pengumpulan Dana Bola Sepak Amal Tasek Sailors diadakan di Pusat Latihan Lion City Sailors di Mattar Road untuk menghimpunkan syarikat korporat dan fraterniti bola sepak bagi menyokong usaha ini.

Ia akan dihadiri Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, Encik Tharman Shanmugaratnam.

Pengurus besar Akademi Sailors, Tan Li Yu, pula berkata:

“Dengan kepakaran mereka (Tasek) dalam bimbingan belia dan tumpuan kami terhadap pembangunan belia dalam bola sepak, kami yakin bahawa visi bersama kami untuk membantu pertumbuhan peribadi anak muda Singapura dan memacu impian bola sepak akan membuahkan hasil.”




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >