Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

Fandi cabar skuad muda teruskan prestasi baik

Apr 22, 2018 | 05:30 AM



Sinar harapan mengiringi skuad Singa Muda pimpinan Fandi Ahmad yang membuka tirai Liga Perdana Singapura (SPL) dengan baik baru-baru ini. Pasukan muda Fandi bagaimanapun tewas kepada skuad sebaya Indonesia dalam satu perlawanan persahabatan di Stadium Negara bulan lalu. Kini Singa Muda berpeluang terus menimba pengalaman dan mengasah lagi kecekapan apabila beraksi di kejohanan merebut Trofi Hassanal Bolkiah. ANWAR YAHYA (anwar@sph.com.sg) menanyakan Fandi mengenai matlamat yang ditetapkannya ke atas anak didiknya di kejohanan di Brunei ini di samping mewawancara dua pemain yang dijangka menjadi tunggak kekuatan Singa Muda musim ini. Persembahan cemerlang akan cerahkan peluang Singa Muda dapat 'tiket' beraksi di Sukan Asia Indonesia



TUMPUAN utamanya mungkin memburu pingat di temasya Sukan SEA Filipina tahun depan tetapi ketua jurulatih belia Singapura, Fandi Ahmad, telah mencabar pasukan mudanya supaya meneruskan permulaan baik awal musim ini apabila mereka membuka tirai kejohanan Bawah 21 Tahun bagi merebut Trofi Hassanal Bolkiah pada Rabu ini.



Keputusan yang baik juga, kata legenda bola sepak negara itu, akan dapat membantu "diri mereka sendiri" dalam usaha mencerahkan peluang mendapat 'tiket' bertanding di Sukan Asia Indonesia yang akan berlangsung pada 18 Ogos hingga 2 September ini.



Singa Muda diundi dalam Kumpulan B di kejohanan kumpulan umur di Brunei ini bersama-sama Laos dan Kemboja manakala Kumpulan A pula terdiri daripada Myanmar, Timor Leste, Thailand dan pasukan tuan rumah.



"Kami berharap dapat mencatatkan kejutan... meneruskan langkah ke pusingan selanjutnya dan moga-moga dapat ke final," ujar Fandi yang ditemui di padang latihan pasukannya dekat Lorong 12 Geylang baru-baru ini.



"Bagi saya adalah penting kami dapat mencatatkan keputusan yang baik sekalipun akur rata-rata pemain kami kurang pengalaman di peringkat antarabangsa.



"Sebahagian besar pemain beraksi dalam Liga Prime sebelum ini... beberapa daripada mereka diturunkan dalam Liga-S (musim lalu) tetapi rata-rata mereka tidak memiliki pengalaman di peringkat antarabangsa.



"Ini, bagi saya, adalah kunci utama (mengapa bola sepak Singapura kini tercicir di belakang pasukan-pasukan serantau lain), jadi adalah penting untuk pemain-pemain kami diberikan peluang menimba pengalaman di peringkat lebih tinggi.



"Bagi saya, adalah penting bagi kami mencatatkan keputusan baik di Brunei. Jika bagus, ia akan membuka peluang menimba lebih banyak pengalaman di peringkat antarabangsa jika kami diberi lampu hijau untuk menyertai Sukan Asia nanti," tambah jurulatih berusia 55 tahun itu.



Menggendalikan skuad yang sebahagian besarnya terdiri daripada mereka yang masih bersekolah atau sedang menjalani perkhidmatan negara (NS), Fandi turut memuji semangat dan komitmen yang ditunjukkan Singa Muda (Young Lions) sejak mula berkumpul bagi persiapan musim baru ini pada Januari lalu.



Malah, Singa Muda, yang kerap menjadi pasukan belasahan sejak beberapa musim lalu, mengejutkan ramai dengan permulaan memberangsangkan dalam Liga Perdana Singapura (SPL) musim ini yang bermula pada hujung bulan lalu.



Di bawah pimpinan Fandi, barisan pemain mudanya itu memenangi dua daripada tiga perlawanan awalnya - mengejutkan Hougang United 2-0 dan Warriors FC 1-0 - sebelum tewas kepada Balestier Khalsa 1-3.



Pencapaian itu sudah pun boleh dianggap satu peningkatan memandangkan Singa Muda hanya menang sekali sepanjang 24 perlawanan yang dilalui mereka musim lalu.



"Saya gembira melihat mereka memberikan reaksi positif semasa di padang latihan... mereka ghairah mahu berlatih dan terus tunjuk peningkatan dari segi disiplin, komitmen dan semangat berpasukan.



"Kakitangan kejurulatihan juga banyak menghulurkan bimbingan... contohnya memberi nasihat kepada mereka supaya meninggalkan tabiat lama seperti merokok.



"Hasilnya ialah skuad yang memiliki mentaliti dan disiplin yang lebih baik dan segala ini telah membantu kami semasa berjuang di tengah padang.



"Ditambah tahap kecergasan yang lebih baik, kami berjaya memulakan saingan musim baru ini dengan langkah positif.



"Jadi, saya berharap kami dapat mengekalkan prestasi baik itu apabila bertanding di Brunei nanti... ini akan dapat meningkatkan lagi keyakinan mereka.



"Projek (skuad pemain muda) ini juga penting kerana ia bukan sekadar mengenai Sukan Asia atau Sukan SEA... kami mahu membantu meningkatkan keupayaan kumpulan pemain muda ini agar lebih ramai daripada mereka dapat disalurkan kepada skuad nasional," ujar Fandi lagi yang sebelum ini pernah memimpin skuad muda LionsXII menjuarai Piala FA Malaysia pada 2015 sebelum pasukan itu dibubarkan.



Pusingan separuh akhir Trofi Hassanal Bolkiah ini pula akan diadakan pada 2 Mei dengan final berlangsung pada 5 Mei.



"Saya gembira melihat mereka memberikan reaksi positif semasa di padang latihan... mereka ghairah mahu berlatih dan terus tunjuk peningkatan dari segi disiplin, komitmen dan semangat berpasukan. Kakitangan kejurulatihan juga banyak menghulurkan bimbingan... contohnya memberi nasihat kepada mereka supaya meninggalkan tabiat lama seperti merokok. Hasilnya ialah skuad yang mempunyai mentaliti dan disiplin yang lebih baik dan segala ini telah membantu kami semasa berjuang di tengah padang.
- Ketua jurulatih Singa Muda, Fandi Ahmad.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >