Gagal kembalikan zaman kegemilangan

DALAM kebanyakan sukan lain, juara atau bekas juara biasanya tahu bila hendak berundur.

Apabila mata mulai kabur, otot semakin kendur, ketangkasan kian menghilang, kecergasan bertukar menjadi kelesuan dan kekuatan diganti dengan kelemahan, itulah masanya untuk mengucapkan selamat tinggal.

Tetapi dalam sukan tinju, sering tuntutan semula jadi tidak dihiraukan. Ego menjadi lebih penting - kalau tidak pun yang terpenting - berbanding dengan kemampuan.

Sering dilihat bekas juara kembali ke gelanggang untuk cuba memutarkan balik jarum masa dan mengembalikan kegemilangan masa lampau.

Ramai yang tersungkur.

MUHAMMAD ALI: Siapa yang tidak kenal dengan 'super star' tinju ini? Siapa yang tidak kenal ikon tinju yang mencipta rekod menjadi juara heavy dunia sebanyak tiga kali?

Sayangnya, perlawanan Ali yang terakhir adalah satu kisah sedih sekali. Ali cuba menari, tetapi beliau tidak lagi terbang serperti kupu-kupu dan tumbukannya tidak lagi menyengat seperti tebuan.

Tervor Berbick diumumkan sebagai pemenang sebulat suara dengan kiraan mata. Ali telah dinasihatkan agar bersara tetapi beliau mahu satu perlawanan terakhir menentang Berbick pada Disember 1981.

Sebelum itu, Ali yang meninggal dunia pada awal bulan lalu, kalah kepada Larry Holmes, bekas rakan latihannya.

Ramai yang menganggap perlawanan dengan Holmes itulah yang meninggalkan kesan sehingga Ali mengidap penyakit Parkinson.

LARRY HOLMES: Holmes telah memenangi 48 perlawanan profesional beliau, termasuk ke atas Muhammad Ali, Earnie Shavers, Ken Norton, Mike Weaver, Gerry Cooney, Tim Witherspoon, Carl Williams dan Marvis Frazier.

Pada 1985, Holmes tewas di tangan Michael Spinks dan bersara selepas kalah dalam perlawanan ulangan dengan Spinks. Beberapa kali beliau cuba kembali ke gelanggang, tetapi gagal di tangan Mike Tyson, Evander Holyfield dan Oliver McCall.

Pertemuannya dengan Tyson menyaksikan satu senario yang amat menyedihkan bagi bekas juara dunia itu.

GEORGE FOREMAN: Beliau disifatkan sebagai mempunyai tumbukan yang antara terkuat dalam sejarah tinju kelas heavy. Beliau menjadi juara dunia selepas menumbangkan Joe Frazier pada 1972.

Dua tahun kemudian, Foreman sendiri ditumbangkan oleh Ali di Zaire. Tetapi pada usia 45 tahun, Foremen berjaya kembali menjadi juara kelas heavy dunia untuk kali kedua selepas menjatuhkan Michael Moorer pada pusingan ke-10.

Namun cubaannya menentang beberapa petinju muda kurang berjaya. Melihat perlawanannya menentang Evander Holyfield, ia seperti seorang tua yang kena buli dan hanya keberaniannya sahaja yang membuat beliau bertahan 12 pusingan.

MIKE TYSON: Juara kelas heavy dunia yang termuda - satu rekod yang masih kekal ke hari ini - Tyson tidak mendapat gelaran "Iron Mike Tyson" tanpa sebab.

Beliau memenangi 19 perlawanan profesionalnya yang pertama melakui 'KO' - 12 daripadanya dalam pusingan pertama.

Pada 1986, beliau mengalahkan Trevor Berbick melalui 'TKO' untuk gelaran Majlis Tinju Dunia (WBC). Pada 1987, Tyson menambah gelaran Persatuan Tinju Dunia (WBA) dan Persekutuan Tinju Antarabangsa (IBF) selepas mengalahkan James Smith dan Tony Tucker.

Ini menjadikan beliau petinju kelas heavy yang pertama memenangi gelaran WBA, WBC dan IBF dan satu-satunya petinju kelas heavy yang berjaya menyatukannya.

Tetapi beliau kalah mengejut kepada James 'Buster' Douglas pada 1990.

Cubaannya kembali selepas menjalani hukuman penjara kerana merogol menghasilkan keputusan yang bercampur-campur.

Pada 2002 pada usia 35 tahun, Tyson masuk lagi ke gelanggang untuk gelaran kelas heavy, tetapi ditumbangkan oleh Lenox Lewis pada pusingan kelapan.

Tyson bersara pada 2006 selepas dua kali dijatuhkan oleh Danny Williams dan Kevin McBride. 

Waktu Solat

Subuh
5:33
Syuruk
6:57
Zuhur
12:59
Asar
4:23
Maghrib
7:00
Isyak
8:15
3 HR PSI: 43
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.