PEMAIN Romania, Simona Halep, memulakan kempennya di kejohanan BNP Paribas WTA Finals di Stadium Tertutup Singapura dengan kemenangan mudah 6-0, 6-3, ke atas juara Terbuka Amerika, Flavia Pennetta, semalam.
Halep, pemain nombor dua dunia, merupakan pemain yang mempunyai ranking tertinggi di kejohanan penutup musim tersebut selepas pemain nombor satu dunia, Serena Williams, yang memenangi kejohanan itu tahun lalu, menarik diri dengan memberi alasan beliau perlukan rehat selepas setahun bermain dalam kecederaan.