Kejohanan futsal Asean: S'pura terkeluar saingan

BANGKOK (Thailand): Singapura menduduki tangga tercorot Kumpulan 'A' sekaligus terkeluar daripada saingan dalam Kejohanan Futsal Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF).

Ini setelah ia tewas tiga perlawanan; Timor Leste (3-6); Thailand (0-8); dan, Brunei (1-2), dalam kejohanan yang akan berakhir 16 Oktober ini.

Thailand mendahului kumpulan 'A' dengan sembilan mata, berbanding pesaing terdekat, Malaysia dan Timor Leste, yang masing-masing memungut enam mata, setelah kedua-duanya tewas satu perlawanan.

Dua perlawanan terakhir kumpulan 'A' akan menyaksikan Singapura mengakhiri kempennya dengan berdepan dengan Malaysia, hari ini.

Timor Leste pula bakal berdepan dengan gergasi Asia Tenggara, Thailand.

Sejauh ini pasukan Singa hanya mampu menjaringkan empat gol sedang gawang negara dibolosi sebanyak 16 kali.

Dalam pada itu, Vietnam mendahului Kumpulan 'B' dengan kelebihan jaringan gol, 34 berbanding 31 yang disumbatkan Australia sedang kedua-duanya berkongsi sembilan mata, hasil tiga kemenangan.

Tiga pasukan - Thailand, Vietnam dan Australia - telah melayakkan diri ke peringkat separuh akhir manakala Malaysia dan Timor Leste kini terikat dan perlawanan terakhir masing-masing hari ini bakal menentukan siapakah di antara mereka akan mengikut jejak tiga pasukan teratas.

Dua perlawanan terakhir kumpulan 'B', juga berlangsung hari ini, akan menyaksikan Myanmar menentang Laos, dan Vietnam berdepan Australia.

Peringkat separuh akhir kejohanan futsal AFF akan diadakan lusa.

Peringkat akhir akan berlangsung pada Jumaat ini.

Sementara itu, empat pasukan yang melayakkan diri ke peringkat separuh akhir layak menyertai Kejohanan Futsal Asia di Uzbekistan pada tahun hadapan.

Waktu Solat

Subuh
5:37
Syuruk
7:00
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:03
Isyak
8:18
3 HR PSI: 22
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.