Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

Keluarga ragbi

Ketiga-tiga anak harumkan nama negara; anak sulung ingin kejar pula 'cintanya' yang satu lagi...
Oct 19, 2017 | 05:30 AM



DIBESARKAN dalam 'keluarga ragbi', Marah Fahmy Hoessein semestinya mempunyai pelbagai kenangan manis dalam sukan itu, baik sebagai pemain atau sebagai pengadil.



Ini seperti peluang menyarungi jersi nasional bersama-sama adik bongsunya, Marah Ishraf, semasa mewakili Singapura dalam satu perlawanan penentuan atau play-off kejohanan Lima Negara Asia (AFN) menentang Amiriah Arab Bersatu (UAE) tiga tahun lalu.



Atau semasa kerjayanya pula sebagai pengadil sukan itu - yang diceburinya sejak 2015 - dengan kenangan paling menarik tentunya apabila terpilih bagi mengadili kejohanan Undangan Dubai Tujuh Sepasuk (7s) pada Disember tahun lalu.



Namun, segala kenangan indah dalam sukan itu - yang diceburi sejak berada di bangku Sekolah Rendah St Andrew's atas dorongan ayahnya yang juga bekas pemain ragbi peringkat kelab, Encik Marah Hoessein Salim - terpaksa diketepikan sementara apabila beliau mengejar pula 'cintanya' yang lagi satu.



Memiliki lesen juruterbang privet (PPL) sejak 2009, Fahmy dijadualkan berlepas ke UAE hari ini bagi mengikuti program lesen pilot komersial di negara itu dalam usaha memenuhi cita-cita yang terpendam sejak kecil.



Ini sekalipun beliau merupakan lulusan ijazah kejuruteraan mekanikal dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU) pada 2013 dan pernah membina kerjaya sebagai seorang jurutera desain di sebuah syarikat gas dan minyak.



"Sejak kecil lagi... sebaik saya menjejakkan kaki ke sekolah menengah, saya sudah pun memendam cita-cita mahu menjadi seorang juruterbang," ujar Fahmy semasa dihubungi awal minggu ini.



"Jadi sekalipun saya pernah bekerja dalam sektor kejuruteraan dan kemudian sebagai pendidik... ia bukanlah sesuatu yang benar-benar memberikan saya kepuasan.



"Di lubuk hati ini masih menyala impian menjadi seorang pilot... sesuatu yang saya minati sejak kecil lagi.



"Jadi sebaik mendapat restu dan sokongan kededua ibu bapa yang menggalakkan saya agar terus mengejar impian saya itu... ia menguatkan lagi semangat untuk menyahut cabaran ini.



"Keseluruhan program bagi mendapatkan lesen pesawat komersial di UAE ini dijangka mengambil masa sekitar dua tahun... moga laluan saya ini tidak terhalang," tambah Fahmy.



Tatkala meneroka cabaran terbarunya itu, anak sulung keluarga tiga beradik ini tentunya akan tersenyum setiap kali menyingkap pelbagai kenangan di padang ragbi - sukan yang turut diceburi kededua adiknya, Marah Rifqi, 25 tahun dan Marah Ishraf, 23 tahun.



Semasa di kejohanan AFN tiga tahun lalu itu, kededua Fahmy dan Ishraf turut memainkan peranan penting dalam pasukan negara - si abang berperanan sebagai 'fly-half' pasukan manakala si adik diserahkan tugas sebagai 'scrum-half' - kali pertama pasukan Singapura diwakili dua pemain bersaudara sejak Rong Jing Xiang dan Rong Jing Xing pada awal tahun 2000-an.



Kededua Fahmy dan Ishraf juga beraksi bagi kelab yang sama - Oldham RC - manakala Rifqi, yang pernah mengikuti latihan skuad Bawah 23 Tahun Nasional, mewakili Saints RFC di peringkat kelab.



Secebis lagi kenangan yang mungkin sukar dilupakan Fahmy tentunya kejayaannya sebagai kapten NTU yang mengakhir kemarau panjang untuk menjulang trofi kejuaraan kejohanan Quad University Rugby 2010.



Dan sekalipun kini sudah menutup tirainya sebagai pemain, Fahmy masih tidak dapat berjauhan daripada sukan itu selepas memperolehi pula sijil pengadilan daripada badan dunia, World Rugby (sebelum ini dikenali sebagai Lembaga Ragbi Antarabangsa atau IRB), pada 2015.



Ia turut membuka pelbagai peluang kepadanya termasuk undangan bertugas di Dubai selain mengadili final berprestij Sekolah-Sekolah Nasional Peringkat 'B' awal tahun ini.



Ishraf, yang kini menuntut di tahun terakhir di Universiti SIM Global (Stirling Universiti, United Kingdom), turut mengukir nama tersendiri terutama sejak menumpukan perhatian kepada versi tujuh sepasuk sukan ini.



Baru-baru ini, beliau tampil sebagai antara pemain termuda dilantik kapten pasukan skuad 7s negara yang memenangi pingat perak di Sukan SEA Kuala Lumpur.



Ini adalah satu peningkatan daripada kejayaan pingat gangsa yang dimenangi Ishraf dalam penampilan sulungnya di Sukan SEA Singapura dua tahun lalu.



Malah dalam kejohanan Asia Tenggara (SEA) yang berlangsung pada April lalu - sempena penganjuran Ragbi Tujuh Sepasuk Dunia HSBC di Stadium Negara - Ishraf dan rakan-rakannya berjaya menggondol pingat emas.



Sejak bulan lalu pula, Ishraf berada di Scotland bagi mengikuti program pertukaran di Universiti Stirling sehingga Januari depan. Beliau dijangka menamatkan pengajiannya pada Mei tahun depan.



Jadi, dari mana tiga beradik ini - Fahmy, Rifqi dan Ishraf - mendapat inspirasi di padang ragbi?



Tentunya daripada si bapa - yang kerap berseloroh dengan anak-anaknya bahawa beliau mula menceburkan diri dalam sukan itu demi 'mengelakkan' diri daripada masuk ke kelas seni yang tidak digemarinya semasa di sekolah dulu.



Encik Hoessein, 60 tahun, mantan Pengurus Besar Taman Warisan Melayu, juga merupakan 'old boys' St Andrew's Junior, Sekolah Menengah St Andrew's dan Maktab Rendah St Andrew's - yang mungkin menjelaskan betapa sukan ini begitu dekat sekali dengan hatinya.



"Saya sering mengingatkan anak-anak bahawa ragbi adalah satu sukan lasak yang dimainkan 'gentlemen'. Di dalam padang, pemain digeruni tetapi di luar padang mereka beradab tertib dan penuh kesopanan.



"Saya juga sering menyebut contoh legenda All Blacks, Sonny Bill William, yang memiliki perwatakan yang hebat sekali selain menjadi Muslim yang baik.



"Jadi, ragbi bukan sekadar sukan, sebaliknya ia ibarat satu kehidupan... malah ia melebihi sekadar membentuk perwatakan kita... ia membina keyakinan dan sikap saling hormat-menghormati pemain lawan... ciri-ciri yang perlu ada untuk berjaya dalam kehidupan ini," tambah Encik Hoessein, yang juga mantan Suruhanjaya Dagangan dan Pelaburan Queensland (Australia).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >