PIALA DUNIA 2014

Kumpulan A, C, E, F dan H

KUMPULAN A

Siapa iringi Brazil?

SUKAR membayangkan keadaan 'huruhara' yang bakal tercetus di Brazil jika pasukan tuan rumah gagal mara dari Kumpulan A.

Skuad muda pimpinan Luis Felipe Scolari ini bukan sahaja pilihan ramai menjuarai kumpulan A, malah disifatkan sebagai bakal juara Piala Dunia musim ini.

Keyakinan pemain Brazil sedang memuncak, terutama selepas mereka menjulang Piala Konfederasi tahun lalu.

Sebab itulah, ada pengamat bola sepak percaya Croatia, Mexico dan Cameroon hanya berpeluang bersaing baki satu tempat kelayakan dari Kumpuan A, dengan tempat Brazil di persada kumpulan 'terjamin'.

Namun, Mexico dan Croatia masing-masing dibelenggu masalah, walaupun negara Amerika Utara itu berada dalam keadaan lebih buruk.

Jurulatih Mexico, Miguel Herrera, yang dilantik Oktober lalu ialah jurulatihnya yang keempat dalam tempoh enam minggu. Walah sejarah mencadangkan Mexico akan mara ke pusingan kalah mati seperti yang dilakukannya di lima pertandingan sebelum ini, masa yang singkat bagi pasukan menyesuaikan diri dengan falsafah bola sepak Herrera boleh membawa padah.

Sementara itu, Nico Kovac, yang memimpin Croatia mencapai kemenangan dalam playoff menentang Iceland, menunjukkan bahawa beliau mampu meraih keputusan walau pemainnya kurang berbakat berbanding pasukan Croatia tahun 1990-an, tetapi dengan cara permainan fizikal. Ketidaktentuan yang membelenggu Croatia dan Mexico boleh mendatangkan ganjaran kepda Cameroon.

Walau Cameroon versi 2014 kurang kreatif dan terpaksa bergantung pada Alex Song (Barcelona) sebagai jentera penggerak serangan dari midfield, ia perkasa sebagai satu unit dan boleh membuat kejutan, asalkan tumpuan pasukan tidak terganggu dek masalah dengan persatuan bola sepak negaranya seperti dahulu.


KUMPULAN C

Pasukan sama handal

KEPUTUSAN Jose Pekerman menggugurkan bintang AS Monaco Radamel Falcao dari skuad Piala Dunia Colombia bukan sahaja mengejutkan malah mengalihkan beban memburu gol ke bahu penyerang kurang dikenali seperti Victor Ibarbo (Cagliari), Jackson Martinez (Porto) dan Carlos Bacca (Sevilla).

Peluang Colombia mara dari Kumpulan C kini terjejas setelah kehilangan Falcao yang tidak beraksi sejak Januari lalu selepas mengalami kecederaan ligamen krusiat arterior.

Sebaliknya, ketiadaan Falcao yang menjaringkan sembilan gol dalam 13 perlawanan kelayakan, mencerahkan peluang negara lain dalam kumpulan ini.

Wakil Asia, Jepun, boleh mengambil kesempatan. Walau pasukan yang berbakat tetapi rapuh di barisan pertahanan ini tersingkir dari Piala Konfederasi setelah mengalami tiga kekalahan, kemenangan ke atas Belgium dan keputusan seri dengan Belanda tahun lalu telah mengembalikan keyakinannya dan jika jentera serangan di midfield Keisuke Honda bersinar, pasukan samurai boleh menyerlah.

Satu lagi pasukan yang berharap mencapai potensinya di Brazil ialah Ivory Coast.

Ramai yang kurang percaya pasukan yang ditaburi bintang ini belum pernah menjulang Piala Negara-Negara Afrika dan Piala Dunia ini ialah peluang terakhir generasi emas yang diketuai Didier Drogba, Yaya Toure dan Kolo Toure membuktikan ia mampu bersaing dengn pasukan terbaik di pentas dunia.

Sementara itu, Greece yang digelar sebagai pasukan Eropah paling lemah di Brazil juga mampu membuat kejutan.

Namun, peminat bola sepak yang lebih dewasa pasti ingat bagaimana Otto Rehhagel memimpin pasukan yang tandus bintang itu ke arah kejuaraan Piala Eropah dalam 2004.

Ia juga menewaskan Russia mara ke pusingan suku akhir Piala Eropah 2012.


KUMPULAN E

Perancis, Swiss boleh lepas

BEKAS juara dunia, Perancis dan Switzerland, tentunya menjadi pilihan utama dalam Kumpulan E yang turut menampilkan Ecuador dan Honduras.

Dan di antara kededua wakil Eropah itu, Switzerland telah diletakkan sebagai pilihan berbanding Perancis yang hanya menjamin tempatnya ke Piala Dunia Brazil ini selepas mengatasi Ukraine dalam perlawanan penentuan lewat tahun lalu.

Di bawah pimpinan jurulatih asal Jerman, Ottmar Hitzfeld, peningkatan Switzerland tidak dianggapkan sebagai sesuatu yang memeranjatkan.

Kejayaan mengekalkan rekod gawang tidak dibolosi dalam sembilan daripada 15 perlawanan terakhirnya termasuk kemenangan 1-0 ke atas Brazil dalam perlawanan perhabatan menjadi bukti potensi Switzerland melangkah jauh daripada kumpulannya.

Skuad Hitzfeld diperkuat beberapa pemain muda berbakat yang muncul daripada pasukannya yang memenangi Piala Dunia Bawah 17 Tahun pada 2007. di samping skuad yang mara ke final Kejohanan Eropah Bawah 21 Tahun pada 2011.

Saingan utama mereka tentunya Perancis yang menjulang mahkota Piala Dunia pada 1998. Namun, pasukan berbakat itu sering dicengkam pelbagai kemelut termasuk perbalahan di kalangan pemain yang menjejas harmoni pasukan.

Dalam dua edisi Piala Dunia pada 2002 dan 2010, mereka gagal memenangi satu pun perlawanan mereka. Jadi, penyokong mereka tentunya mengharapkan nasib berbeza daripada skuad kali ini.

Pemain seperti Paul Pogba yang dianggap antara pemain hebat midfield sejak menyertai Juventus di samping Blaise Matuidi (Paris Saint Germain), Karim Benzema (Real Madrid), Olivier Giroud (Arsenal) dan Franck Ribery (Bayern Munich), pasti dicemburui pasukan-pasukan lain.


KUMPULAN F

Argentina dijangka mara

DENGAN menjadi juara dunia dua kali, Argentina (Piala Dunia 1978 dan 1996) yang menampilkan bintang handalannya, Lionel Messi, menjadi pilihan menjuarai Kumpulan F.

Ketiga-tiga seterunya lain - Bosnia-Herzegovina, Iran dan Nigeria - dijangka bersaing sesama sendiri merebut tangga kedua menyertai Argentina di pusingan kedua Piala Dunia Brazil.

Bergerak di belakang dua rakan penyerang, Sergio Aguero (Manchester City) dan Gonzalo Higuain (Napoli), di samping sokongan daripada barisan midfield yang termasuk Angel Di Maria (Real Madrid), inilah detik keemasan bagi Messi benar-benar meledakkan kehebatan di pentas terbesar bola sepak dunia.

Jika kerap dituduh kurang komited kepada perjuangan pasukan negaranya, pentas Piala Dunia Brazil ini menyajikan peluang Messi membuktikan bahawa beliau adalah pemain terbaik dunia mengatasi jaguh Portugal, Cristiano Ronaldo.

Namun, jurulatih Argentina, Alejandro Sabella, yang dilantik pada 2011, perlu juga memberi tumpuan kepada benteng pasukan demi mewujudkan keseimbangan antara menyerang dengan bertahan.

Sekalipun tampil buat pertama kali di Piala Dunia, Bosnia disebut-sebut sebagai pasukan yang mampu melangkah jauh di Brazil nanti berdasarkan skuad berbakat serta ketajaman barisan serangan yang menghasilkan 30 gol di pusingan kelayakan - 18 daripada gol itu daripada Edin Dzeko (Manchester City) dan Vedad Ibisevic (Stuttgart).

Namun, usah memperkecilkan kemampuan dua pasukan lain dalam kumpulan itu - Nigeria dan Iran.

Pengalaman yang dimiliki Super Eagles (gelaran Nigeria) melangkah ke pusingan 16 pasukan terbaik di Piala Dunia 1994 dan 1998 tentunya menjadi pendorong bagi mereka mencatatkan kejutan kejohanan kali ini.


KUMPULAN H

Belgium pilihan langkah jauh

BELGIUM antara pasukan yang mendapat perhatian dalam pusingan akhir Piala Dunia ini.

Dengan dibarisi sebilangan besar pemain yang beraksi dalam Liga Perdana England, tidak hairan mereka layak ke Brazil dengan kelebihan sembilan mata dalam pusingan kelayakan.

Dengan bimbingan bekas penjaring terbanyak mereka, Marc Wilmots, Belgium mempunyai pemain berbakat dan berpengalaman.

Perhatian utama pastinya tertumpu pada bintangnya, Eden Hazard, daripada Chelsea yang pada usia 23 tahun disifatkan pemain muda terbaik dunia.

Di antara tiang gawang, mereka mempunyai Simon Mignolet yang dibentengi Vincent Kompany, Thomas Vermaelen dan Jan Vertonghen.

Di midfield, mereka boleh menurunkan pemain muda Adnan Januzaj yang akan dibantu Kevin Mirallas dan Romelu Lukaku di sayap dan Christan Benteke sebagai penyerang.

Satu lagi tempat untuk mara perlu direbut oleh Russia, Korea Selatan dan Algeria.

Meskipun tidak mempunyai pemain terkenal di peringkat dunia, Russia di bawah bimbingan bekas jurulatih England Fabio Capello, pasukan yang menitikberatkan permainan sebagai satu pasukan dan kekuatan, membolehkan mereka menjuarai kumpulan yang turut terdiri daripada Portugal dalam pusingan kelayakan.

Korea Selatan kali ini tidak mempunyai seperti Park Ji Sung, Lee Woon Jae dan Lee Young-Pyo tetapi jurlatih Hong Myungbo, bekas kaptennya dari era pemain seperti itu, mempunyai barisan pemain muda yang bersemangat menjadi wira negara.

Sebuah lagi pasukan yang mampu mencatat kejutan adalah Algeria yang pernah membuat dunia tergamam apabila mengalahkan Jerman dalam Piala Dunia 1982.

Meskipun layak ke Brazil menerusi kelebihan jaringan gol, Algeria mempunyai rekod membanggakan dalam Piala Dunia dan pada 2010 pernah menyekat England dengan keputusan seri.

Waktu Solat

Subuh
5:36
Syuruk
6:59
Zuhur
1:02
Asar
4:26
Maghrib
7:02
Isyak
8:17
3 HR PSI: 47
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.