Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

Lee Chong Wei hampir putus asa dengan badminton M’sia

Feb 21, 2024 | 04:35 PM



KUALA LUMPUR: Bintang badminton Malaysia, Lee Chong Wei, berkata beliau “rasa seperti berputus asa” terhadap keadaan sukan badminton dan memberi amaran menjelang Sukan Olimpik Paris 2024 bahawa perubahan “drastik” diperlukan untuk menyelamatkan sukan itu di Malaysia.


Pemain handalan badminton Malaysia itu bersuara selepas negaranya tewas 3-0 kepada China pada perlawanan akhir pertandingan lelaki di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Shah Alam pada 18 Februari.

China jauh lebih hebat walaupun tidak menurunkan pasukan terkuat mereka.

India menjulang kejuaraan untuk wanita, dengan tuan rumah Malaysia, gagal melepasi suku akhir.

Kejohanan tersebut menawarkan mata bagi kedudukan ke Sukan Olimpik dari 26 Julai hingga 11 Ogos.

“Saya tahu perkara benar adalah menyakitkan, tetapi saya fikir badminton Malaysia akan terus merosot dari sini, jika tiada apa-apa dilakukan,” ujar Lee, seperti dipetik akhbar, The Star.


“Sekarang, saya rasa seperti berputus asa dengan badminton Malaysia,” tambah pemain berusia 41 tahun itu, yang bersara pada 2019 selepas melalui kerjaya cerah dengan memenangi tiga pingat perak Olimpik dan tiga pingat perak pada kejohanan dunia.

“... Kita tidak boleh hanya berkata semuanya baik, ketika jelas ada beberapa perkara yang tidak betul,” tambahnya.

Bekas pemain nombor satu dunia itu berkata pihak berkuasa badminton Malaysia perlu melakukan lebih banyak lagi untuk membangunkan pemain muda berbakat.

Beliau berkata beberapa pemain mempunyai kurang disiplin dan komitmen.

“Kita perlu membuat beberapa perubahan drastik,” tambahnya.

“Lihat semua negara lain, mereka terus hantar pemain muda mereka ke kejohanan. Walaupun mereka kalah kepada pemain dengan ranking lebih tinggi, mereka tetap hantar pemain ke (kejohanan) luar negara. Itulah cara anda membina keyakinan mereka.

“Di sini, jika pemain muda kalah, mereka tidak diutamakan lagi. Bagaimana (bakat) mereka akan berkembang?” ujarnya.

Mengenai perlunya melakukan perubahan drastik itu, beliau menambah: “Jika tidak, kita akan ketinggalan jauh, dan badminton tidak lagi menjadi sukan utama di negara ini. Saya tidak sanggup menghadapinya.”

Sukan Malaysia mencatat prestasi buruk dalam tempoh seminggu.

Minggu lalu, ratu terjun Pandelela Rinong terpaksa menjelaskan isu “entiti”, dengan menyatakan kata-katanya telah disalah tafsir oleh media, sehingga menimbulkan spekulasi dan salah faham.

Skuad terjun negara Malaysia gagal beraksi cemerlang sewaktu Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar, dan membuat mereka gagal layak ke Sukan Olimpik Paris.

“Isu ini berkaitan latihan. Bagaimanapun, ia telah diterjemahkan kepada istilah seperti ‘entiti’ dan ‘pihak ketiga,’ yang mengelirukan orang ramai,” jelas beliau. – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >