Topic followed successfully
Go to BHkuLeeds buru kejuaraan Piala FA sejak 1972
Leeds buru kejuaraan Piala FA sejak 1972
Layak ke separuh akhir, pertama kali dalam hampir 4 dekad; bakal menentang Chelsea
Leeds buru kejuaraan Piala FA sejak 1972
LONDON: Selepas 39 tahun menanti untuk kembali beraksi di peringkat separuh akhir Piala FA, penyokong Leeds United kini mula memasang impian melihat pasukan mereka menjulang trofi itu buat kali pertama sejak 1972.
Pemain kelab itu mengharungi aksi suku akhir yang mendebarkan ketika menentang West Ham United di Stadium London.
Skuad kendalian Daniel Farke itu pada mulanya selesa mendahului 2-0 melalui gol oleh Ao Tanaka dan Dominic Calvert-Lewin, sehingga minit ketiga masa kecederaan.
Namun, dalam tempoh 11 minit tambahan, West Ham yang turut dikenali sebagai The Hammers itu berjaya menjaringkan dua gol, sekali gus mengheret perlawanan ke masa tambahan.
West Ham hampir meraikan kemenangan sebanyak dua kali melalui jaringan gol, namun kededuanya dibatalkan pengadil kerana ofsaid.
Leeds juga berdepan detik cemas apabila gagal menyempurnakan sepakan penalti pertama mereka.
Penjaga gol simpanan West Ham berusia 20 tahun, Finlay Herrick – yang membuat penampilan sulung menggantikan Alphonse Areola yang cedera – berjaya menepis sepakan Joel Piroe.
Penjaga gol Leeds asal Brazil, Lucas Perri, tidak kurang hebat, apabila beliau berjaya menyelamatkan sepakan Jarrod Bowen dan Pablo.
Pascal Struijk kemudian kekal tenang menyempurnakan penalti terakhir untuk membantu Leeds menang 4-2 dalam penentuan penalti itu.
Kemenangan tersebut mengesahkan tempat Leeds di Wembley untuk aksi separuh akhir menentang Chelsea.
“Ia perlawanan yang agak gila, penuh keterujaan, dan dalam aksi suku akhir, kededua pasukan bertarung habis-habisan untuk mencipta sejarah bagi kelab masing-masing,” kata Farke.
Ketua jurulatih itu hanya berusia 10 tahun ketika Leeds tewas 2-3 kepada Coventry City dalam aksi separuh akhir sengit pada 1987, yang juga ditentukan melalui masa tambahan.
“Saya sangat bangga dengan pemain saya, dengan cara kami mampu menangani pelbagai rintangan – bukan sekadar dua gol saat akhir itu, tetapi juga masalah kecederaan.
“Meskipun gagal menyempurnakan penalti pertama, kami tetap bersatu dan bersemangat untuk menang.
“Kami telah membalas sokongan luar biasa peminat dengan kejayaan ke separuh akhir buat kali pertama dalam tempoh berpuluh tahun, ini sememangnya malam hebat buat Leeds United.”
Leeds hanya pernah menjulang trofi Piala FA sekali dalam sejarah pada 1972, apabila mereka menewaskan Arsenal 1-0 di Wembley menerusi tandukan Allan Clarke.
Mereka juga pernah tewas dalam final sebanyak tiga kali, termasuk kalah kepada Chelsea dalam perlawanan semula (replay) di Old Trafford pada 1970.
Selain itu, Leeds turut mencatatkan kekalahan di peringkat separuh akhir kepada Manchester United (1977) dan Coventry (1987), selain pernah tersingkir di pusingan suku akhir pada 1996, 1998, dan 2003.
Dalam satu lagi aksi separuh akhir di Wembley, Manchester City akan berdepan Southampton.
Manakala, Leeds berdepan tugas berat untuk menumbangkan juara lapan kali Piala FA, Chelsea, pada hujung minggu tersebut.
Namun, skuad kendalian Farke itu tidak mempunyai sebab untuk merasa gentar dengan kelab yang dikenali sebagai The Blues itu berdasarkan rekod pertemuan mereka dalam Liga Perdana musim ini.
Leeds berjaya menewaskan Chelsea 3-1 di Elland Road pada Disember 2025, selain mencatatkan keputusan seri 2-2 di Stamford Bridge, pada Februari.
Farke menyifatkan perlawanan yang dijadualkan pada hujung minggu 25-26 April itu sebagai satu acara yang sangat istimewa.
“Saya rasa cukup rendah hati apabila melihat betapa besarnya makna kejayaan ini kepada penyokong kami selepas penantian selama berpuluh tahun – kelab ini telah melalui detik sukar sebelum ini,” kata ketua jurulatih asal Jerman itu.
“Anda boleh melihatnya melalui sinar mata peminat, saya tahu betapa bermaknanya (detik) ini buat mereka.
“Kami sedar kami bukan pasukan pilihan. Chelsea adalah nama besar dan mempunyai barisan pemain terbaik, tetapi kami telah mencipta sejarah.
“Tiada siapa menjangkakan kami akan mara sejauh ini, dan sudah tentu kami kini ingin melangkah ke tahap seterusnya.
“Sekarang, misi kami adalah untuk mengambil alih ibu kota (London) bersama 30,000 penyokong kami.” – Agensi berita.

