Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

Legenda Jerman Franz Beckenbauer abadi sebagai tokoh bola sepak dunia

‘Der Kaiser’ dinobat bintang handalan masa depan semasa umur 20 tahun apabila beliau bermain bagi negaranya menentang England dalam final Piala Dunia di Wembley pada 1966
Jan 15, 2024 | 05:30 AM



Franz Beckenbauer, yang meninggal dunia pada usia 78 tahun, boleh dibandingkan dengan sembarang legenda bola sepak, baik sebagai pemain mahupun pengurus.

Der Kaiser – Maharaja – itu, rakan yang juga pesaing pasangan pemain England yang memenangi Piala Dunia 1966, Sir Bobby Moore dan Sir Bobby Charlton, serta Pele dari Brazil, sebahagian daripada generasi emas pemain bertaraf dunia – termasuk bintang Belanda yang hebat Johan Cruyff – yang mengungguli pentas bola sepak dunia pada 1960-an dan 1970-an.


Beckenbauer menjadi kapten Jerman Barat dan memenangi Piala Dunia di negara asalnya pada 1974 apabila mereka menewaskan Belanda pada perlawanan akhir di Munich.

Beliau mengulangi kejayaan itu sebagai pengurus apabila Jerman mengalahkan Argentina pada perlawanan akhir 1990 di Stadio Olimpico Rom, menebus kekecewaan tewas kepada pasukan yang diterajui Diego Maradona pada final di Mexico empat tahun sebelumnya.

Ia menjadikan beliau salah seorang daripada hanya tiga individu, bersama Didier Deschamps dari Perancis dan Mario Zagallo dari Brazil, yang memenangi Piala Dunia sebagai pemain dan pengurus.

Seorang pemain hebat yang bertukar daripada pemain midfield cemerlang kepada pemain pertahanan tengah, atau sweeper, Beckenbauer juga merupakan kapten pasukan Bayern Munich yang memenangi Piala Eropah tiga musim berturut-turut pada 1974, 1975 – apabila Leeds United ditewaskan secara kontroversial di Paris – dan 1976.


Malah, Beckenbauer dinobat sebagai superstar atau bintang handalan masa depan apabila beliau beraksi menentang England dalam perlawanan akhir Piala Dunia di Wembley pada 1966. Ketika itu beliau berusia 20 tahun.


Jurulatih England waktu itu, Sir Alf Ramsey, mengarahkan Charlton mengawalnya di padang.

Jurulatih Jerman Barat, Helmut Schoen, memberi arahan yang sama kepada Beckenbauer, justeru dua bakat hebat menumpulkan satu sama lain ketika England menang 4-2.

Laluan mereka bertembung semula apabila Jerman Barat membalas dendam empat tahun kemudian di Mexico, apabila Beckenbauer dan Charlton menjadi tokoh penting dalam suku akhir Piala Dunia.

Detik kegemilangan Beckenbauer berlaku pada Piala Dunia 1974 apabila beliau berdepan kapten Belanda, Johann Cruyff, seorang pemain yang disifatkan sebagai genius, pada perlawanan akhir.


Belanda menjadi pilihan dalam era Total Football itu tetapi Jerman Barat bangkit daripada ketinggalan akibat gol penalti Johan Neeskens selepas hanya dua minit untuk menang 2-1.


Kehebatan Beckenbauer sebagai seorang pemain dilengkapi dengan auranya bak seorang negarawan, menjadikan beliau salah seorang tokoh bola sepak unik lagi unggul.

Kejayaan Piala Dunia disusuli penguasaan Bayern dalam pertandingan Eropah bersama rakan sepasukan kelab lain, seperti penjaga gol Sepp Maier, Berti Vogts, Hans-Georg Schwarzenbeck, Paul Breitner, Uli Hoeness, dan penyerang Gerd Muller.

Terdapat kekecewaan yang jarang berlaku menjelang penghujung kerjaya antarabangsa Beckenbauer apabila Jerman Barat tewas secara mengejut menerusi sepakan penalti kepada Czechoslovakia pada perlawanan akhir Kejohanan Eropah 1976.

Beckenbauer membuat penampilan sulungnya bersama pasukan Jerman pada September 1965, dan kemudian mewakili negaranya sebanyak 103 kali serta menjaringkan 14 gol.

Nama beliau sebati dengan kejayaan pasukannya.

Pada tahun-tahun pertamanya, Beckenbauer beroperasi sebagai penyerang dan pemain sayap kiri pada peringkat kelab.

Tetapi mutunya sebagai pemain dan ciri-ciri kepimpinannya bermakna beliau beralih selaku pemain midfield secara semula jadi, dan kemudiannya sebagai salah seorang sweeper terulung dunia.


Beckenbauer dinamakan kapten Bayern bagi musim 1968-69, yang juga kejuaraan Bundesliga pertama kelab itu.

Piala Pemenang Piala Eropah telah pun dimenangi mereka dengan menewaskan Glasgow Rangers pada perlawanan akhir 1967 di Nuremberg.

Ia adalah permulaan bagi satu kisah kejayaan gemilang, yang mengikuti Beckenbauer sepanjang kerjayanya.

Beliau juga berperanan besar sebagai pelopor populariti bola sepak di Amerika Syarikat selepas meninggalkan Bayern dan bersara daripada bola sepak antarabangsa.

Beckenbauer menyertai Pele dan Moore di Amerika untuk beraksi bagi pasukan New York Cosmos.

Beliau menjulang kejuaraan Liga Bola Sepak Amerika Utara (NASL) pada 1977, 1978 dan 1980.

Kejurulatihan kemudian datang memanggil dan Beckenbauer menerima tawaran yang tidak boleh ditolak untuk memimpin negaranya Jerman bagi Piala Dunia di Italy pada 1990.

Di pertandingan itu, siapa boleh melupakan kemenangan dramatik separuh akhir Jerman pimpinannya ke atas England menerusi tendangan penalti di Turin, menewaskan sahabat karibnya Sir Bobby Robson, yang memimpin pasukan Three Lions.

Beliau turut dilantik sebagai jurulatih Marseille bagi satu tempoh singkat, tetapi sudah tertulis bahawa Beckenbauer akan memimpin kelab kesayangannya, Bayern Munich, untuk memenangi Bundesliga pada 1993-94 dan Piala UEFA pada 1996.

Sumbangan Beckenbauer dalam dunia bola sepak terus mekar sebagai presiden Bayern dan juga naib presiden Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB).

Beliau memainkan peranan penting bagi membawa Piala Dunia 2006 ke Jerman.

Bagaimanapun, tercetus kontroversi apabila Beckenbauer menjadi salah seorang daripada empat individu yang disiasat berkaitan rasuah yang dikaitkan dengan kejohanan tersebut.

Pada 2020, perbicaraan berakhir tanpa sembarang keputusan.

Beckenbauer membangunkan reputasinya sebagai pemain dan jurulatih, dan dalam arena itulah legasi beliau akan abadi sebagai tokoh penting bola sepak sejagat. – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >