Leicester kembali di landasan kemenangan untuk terus bersaing bagi mahkota musim ini

LONDON: Pemain gantian, Leonardo Ulloa, menyumbatkan gol lewat minit ke-89 bagi membantu Leicester City meneruskan saingannya yang penuh menakjubkan musim ini sebagai pesaing utama untuk menjulang kejuaraan Liga Perdana selepas menewaskan Norwich City 1-0 lewat malam tadi (27 Februari).

Dua minggu selepas dilanda tamparan tewas melalui gol minit akhir kepada Arsenal, pasukan pimpinan Claudio Ranieri berada di ambang tercicir mata lagi tetapi Ulloa muncul pada masa yang tepat untuk menyambar gol kemenangan yang melebarkan jurang 'The Foxes' dengan pesaing terdekatnya kepada lima mata.

Gol kemenangan itu - hanya gol ketiga bagi penyerang asal Argentina itu - sekali gus meningkatkan tekanan ke atas dua pencabar terdekat, Tottenham Hotspur dan Arsenal, yang tidak mampu tewas apabila beraksi hari ini.

"Ia satu perlawanan yang sukar," akur Ranieri kepada BBC.

"Norwich bermain dengan baik dan tidak memberikan kami sebarang ruang tetapi kami tidak hilang semangat sehingga detik penghujung permainan.

"Ia kemenangan baik bagi menyemarakkan semula (saingan) kami selepas kekalahan kepada Arsenal," tambah pengurus asal Italy itu.

Chelsea meneruskan kebangkitan di bawah pengurus sementara, Guus Hiddink, apabila menewaskan pasukan 'in-form' sekarang, Southampton, 2-1. Kemenangan itu melanjutkan prestasi tanpa kalah 'The Blues' kepada 11 perlawanan liga.

Southampton membuka tirai melalui Shane Long pada minit ke-42 tetapi Chelsea menyamakan kedudukan apabila hantaran tinggi Cesc Fabregas berjaya memperdayakan penjaga gawang 'The Saints', Fraser Forster, pada minit ke-75. Branislav Ivanovic, yang dilantik kapten bagi perlawanan itu, kemudian muncul dengan gol kemenangan Chelsea pada minit ke-89, membantu pasukannya melompat ke tangga ke-11 liga.

West Ham pula naik ke tangga kelima menyusuli kemenangan 1-0 ke atas pasukan yang terkial-kial di zon relegasi, Sunderland. - AFP.

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:58
Zuhur
1:00
Asar
4:24
Maghrib
7:01
Isyak
8:16
3 HR PSI: 41
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.