LionsXII atasi Sime Darby 2-1, kemenangan pertama di padang lawan musim ini

DUA gol cantik percubaan - pertama melalui Firdaus Kasman dan kemudian rembatan Gabriel Quak - sejurus selepas rehat memberikan LionsXII kemenangan pertama di padang lawan musim ini apabila menewaskan Sime Darby 2-1 dalam satu pertemuan Liga Super Malaysia (MSL) di Stadium Selayang yang berakhir baru tadi (2 Mei).

Kemenangan itu turut memberikan pasukan pimpinan Fandi Ahmad tiga mata berharga dalam usaha memperbaiki kedudukan mereka dalam liga, selain mengekalkan momentum kemenangan menyusuli kejayaan 1-0 ke atas Sarawak hujung minggu lalu.

Lebih penting lagi tentunya ia ibarat tonik perangsang sebelum LionsXII turun berjuang dalam perlawanan pertama peringkat separuh akhir Piala FA Malaysia menentang Terengganu pada 9 Mei nanti.

Namun sebelum kecemerlangan Firdaus dan Gabriel yang berjaya mengubah haluan permainan, LionsXII kelihatan terkial-kial terutama dalam separuh masa pertama permainan menentang pasukan yang belum lagi menang sejauh musim ini dan menduduki tangga corot liga.

Mungkin juga anak didik Fandi agak bertuah hanya ketinggalan satu gol semasa rehat - juga melalui percubaan cemerlang dari jarak jauh oleh pemain Sime Darby, Fahrul Razi Kamaruddin, pada minit ke-24.

Sekalipun menguasai babak pertama, pasukan tuan rumah gagal menambah jaringan terutama kegagalan penyerang importnya, Reinaldo Elias da Costa, memanfaatkan beberapa peluang yang tersaji.

Ia terbukti memakan diri sendiri apabila LionsXII bangkit dengan permainan lebih bersemangat dalam separuh masa kedua dengan gol-gol Firdaus dan Gabriel membantu pasukan pelawat pulang dengan tiga mata kemenangan.

Perlawanan ini turut menyaksikan penampilan semula tunggak midfield, Shahdan Sulaiman - kali pertama sejak mengalami kecederaan serius keretakan pada tulang kakinya semasa menyarungi jersi skuad nasional di Piala AFF Suzuki tahun lalu - yang dimasukkan pada detik-detik terakhir perlawanan.

Ini juga adalah perlawanan terakhir LionsXII sebelum MSL 'direhatkan' lebih sebulan setengah. LionsXII akan menyambung kempen liga dengan menentang pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 20 Jun nanti sekalipun tumpuan mereka kini tentunya pada usaha menyempurnakan matlamat melayakkan diri ke final Piala FA, bermula dengan pertemuan dengan Terengganu pada Sabtu depan.

Waktu Solat

Subuh
5:35
Syuruk
6:58
Zuhur
1:01
Asar
4:25
Maghrib
7:01
Isyak
8:16
3 HR PSI: 48
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.