Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:27
Maghrib
7:08
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

Luton mula bangkit

Strategi tekanan dan bola sepak ‘direct’ yang dipelopori Rob Edwards kurang manis dipandang, tetapi tampak kian berkesan
Dec 04, 2023 | 05:30 AM



LONDON: Selepas tewas sembilan kali dalam 14 perlawanan pertama,  Luton Town dianggap sebagai antara calon utama untuk tersingkir dari Liga Perdana England pada akhir musim ini. 


Kelab yang berpangkalan di Bedfordshire itu, di stadium yang mampu menampung sekitar 11,000 penonton, kini terkandas di bahagian bawah liga.

Namun, tidak ramai yang sedar di bawah kepimpinan pengurus Rob Edwards, Luton telah menunjukkan corak permainan yang memberangsangkan dan beberapa kali kalah mungkin kerana kurang pengalaman beraksi dalam divisyen terunggul di England ini.

Mungkin Luton bergelut memenangi perlawanan dalam separuh pertama musim ini, tetapi lima daripada lapan kekalahan yang dialami itu berakhir dengan jaringan kurang satu gol semata-mata. 

Menyusuli itu, Luton berjaya mengikat Liverpool 1-1 di Kenilworth Road sebelum meraih kemenangan pertama di depan penyokong sendiri pada 25 November, apabila menewaskan Crystal Palace 2-1. 

Keputusan itu mengheret Luton keluar dari zon bahaya dalam liga.

Meskipun Luton meraih kedudukan ini selepas Everton didenda oleh Persatuan Bola Sepak (FA) England dengan potongan 10 mata, ia kini boleh berdiri setanding dengan beberapa kelab lain yang mempunyai kewangan lebih mantap dan memperuntuk bajet lebih besar bagi membeli pemain. 

Sebelum berpindah ke Luton, Edwards dikenali sebagai pengurus yang menggemari pendekatan hantaran pendek dan memberi tekanan ke atas lawan, berdasarkan pengalaman di Forest Green Rovers dan Watford.

Sebaliknya, beliau mewarisi Luton Town pada 2022 yang lebih berjaya apabila mendekati perlawanan dengan strategi lebih ‘direct’ iaitu mengatur serangan dengan menendang bola ke arah gawang lawan. 

Namun, Edwards bukan sahaja tidak memutuskan untuk mengubah strategi yang membantu Luton bersaing di puncak liga Championship pada 2022, malah memperhalusi taktik itu. 

Menurut laporan Forbes, hasilnya ialah Edwards telah menyusun pasukan yang boleh membuat lawan rasa kurang selesa sepanjang perlawanan.


Ini termasuk dengan cara bermain yang membuka peluang bagi Luton beraksi di tahap lebih tinggi daripada yang dijangka oleh penonton.

Bercakap kepada wartawan selepas pasukannya nyaris tewas di Kenilworth Road, pengurus Liverpool, Juergen Klopp berkata: 

“Tiada pasukan yang berkunjung ke tempat ini dan menang besar… saya tahu apa sebabnya. Tapi kini, saya sendiri telah mengalaminya. Mereka bermain dengan begitu baik.”

Pendekatan Luton Town bercanggah dengan cara permainan pasukan ‘kerdil’ lain yang mendaki ke EPL dari divisyen lebih rendah.

Sebagai contoh, Burnley, yang memenangi divisyen Championship dengan mudah pada 2022 memulakan hidup dalam EPL menggunakan taktik dan cara permainan yang lebih serupa dengan Manchester City dan Arsenal daripada Sheffield United atau Luton. 

Namun, Burnley kini terperuk di tangga ke-19 dengan hanya tujuh mata daripada 14 perlawanan dengan sebahagian besar perlawanan itu berakhir dengan kekalahan besar baginya. Namun, ia membelasah Sheffield United 5-0 pada 2 Disember untuk bangkit dari tangga corot.

Luton juga mengalami kekalahan ke-sembilan pada hari yang sama, apabila ia tewas 3-1 kepada Brentford. Namun, jaringan itu tidak menunjukkan apa yang sebenar-benarnya berlaku dalam perlawanan, dengan Luton bersaing dengan kelab itu sehingga wisel penamat.

Juruanalisis bola sepak, Micah Richards berkata:

“Luton mempunyai pendekatan yang betul. Kita semua berharap Burnley beraksi dengan cara bola sepak yang menarik, tetapi cara itu tidak mendatangkan hasil yang diingini.

Sebaliknya, Luton beraksi dengan cara lebih ‘direct’ dan mereka berkemampuan menggunakan cara ini.

“Mereka bukan semata-mata mencukupkan bilangan kelab dalam EPL dan mereka mampu meraih keputusan yang diingini dan mereka mengatur tendangan percuma dengan baik,” ujar Richards lagi, bekas pemain City.

Satu ‘rahsia’ kejayaan Luton setakat ini ialah sikap rendah hati yang dipelopori Edwards.

Menyusuli kemenangan pertama di Kenilworth Road, Edwards berkata beliau gembira, tetapi enggan meraikan kemenangan itu secara keterlaluan.

“Kemenangan itu berasa begitu hebat,” kata beliau.

“Saya berasa lega dan bak semua tenaga saya sudah hilang. Ia adalah perlawanan paling lama dalam sejarah kerjaya saya. Saya begitu gembira bagi penyokong, bagi orang lain yang terhubung dengan kelab.

“Kami telah mengambil masa yang lama untuk tiba di saat ini. Sejujurnya, saya rasa kami layak menerima ganjaran lebih baik berbanding apa yang berlaku di sini dalam beberapa perlawanan yang sudah.

“Kami hampir-hampir menewaskan Liverpool, Wolves dan Burnley. Tapi akhirnya penantian itu berakhir.

“Justeru, saya beritahu pemain saya supaya menikmati kemenangan ini dan selepas itu melupakannya dan kembali berlatih gigih bagi perlawanan akan datang. 

Luton berdepan dengan jadual  perlawanan yang sukar Disember ini. 

Selepas kecewa menentang Brentford, ia kini bakal berdepan dengan  Arsenal pada Rabu ini dan selanjutnya, City.

Mata yang diraih atau tercicir dalam perlawanan-perlawanan itu boleh terus memincangkan atau memberinya rangsangan bagi baki musim.

“Kami menganggap setiap perlawanan sama dan akan membuat persiapan seperti biasa,” kata Edwards lagi. – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >