LIGA PERDANA ENGLAND

Manchester City juara Liga Perdana England

Tottenham Hotspur merebut tempat terakhir Liga Europa selepas menundukkan Aston Villa 3-0 dan Manchester United diikat 1-1 oleh Southampton

LIVERPOOL bangkit selepas ketinggalan satu gol untuk menundukkan Newcastle 2-1, tetapi gagal menghalang Manchester City menjadi juara Liga Perdana England (EPL) - kejuaraannya yang kedua dalam tiga tahun - selepas ia menewaskan West Ham 2-0 di Stadium Etihad pada hari terakhir musim ini.

City membuka tirai jaringan sejurus sebelum waktu rehat menerusi percubaan jauh Samir Nasri sejurus, sementara kapten Vincent Kompany menggandakan jaringan di pertengahan separuh masa kedua, dalam perlawanan yang dikuasai oleh City dari mula hingga akhir.

City mengakhiri musim dengan 86 mata dan jaringan 102 gol.

Sebaliknya, Liverpool yang menjamin tempat kedua dengan 84 mata, terpaksa berhempas pulas untuk mengatasi Newcastle yang mendahului permainan seawal minit ke-20 hasil gol jaringan sendiri oleh pemain pertahanan Liverpool Martin Skrtel.

Rakan pertahanannya Daniel Agger menyamakan kedudukan dalam minit ke-63, sebelum penyerang England Daniel Sturridge memberi kelebihan kepada Liverpool selang seminit kemudian

Turut menang walau ketinggalan di awal permainan, Chelsea menamatkan musim di tempat ketiga dalam liga selepas menundukkan Cardiff City 2-1 dan menyertai City dan Liverpool di Liga Juara-juara Eropah musim depan.

Arsenal yang menewaskan Norwich City 2-0 juga melayakkan diri ke pusingan kelayakan Liga Juara-juara sebagai pasukan keempat terbaik England.

Turut meraih tempat dalam pertandingan Eropah musim depan ialah Tottenham Hotspur yang menundukkan Aston Villa 3-0 untuk menyertai Everton dalam Liga Europa. Sebaliknya, bekas juara bertahan liga Manchester United tidak akan beraksi di Eropah buat pertama kali sejak era EPL moden bermula selepas ia diikat 1-1 oleh Southampton.

Seperti dijangka, Norwich yang perlu meraih kemenangan besar ke atas Arsenal untuk kekal dalam EPL tersingkir dari liga dan menyertai Fulham dan Cardiff City di Liga Championship musim depan.

Keputusan penuh:

Manchester City 2 - 0 West Ham

Liverpool 2 - 1 Newcastle

Chelsea 2 - 1 Cardiff City

Norwich 0 - 2 Arsenal

Hull City 0 - 2 Everton

Tottenham 3 - 0 Aston Villa

Southampton 1 - 1 Manchester United

West Brom 1 - 2 Stoke City

Fulham 2 - 2 Crystal Palace

Sunderland 1 - 3 Swansea

 

Waktu Solat

Subuh
5:35
Syuruk
6:58
Zuhur
1:01
Asar
4:25
Maghrib
7:01
Isyak
8:16
3 HR PSI: 41
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.