LIGA PERDANA ENGLAND

Mourinho minta penyokong bersabar dengan pemain terbaru Man United

LONDON: Pengurus Manchester United, Jose Mourinho, menggesa penyokong kelab tersebut agar bersabar dengan pemain baru mereka, Eric Bailly, dengan berkata pemain pertahanan itu perlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan di England ekoran pemindahannya dari Sepanyol.

Bailly, pemain pertama yang diambil Mourinho sejak beliau menggantikan Louis van Gaal, menunjukkan persembahan cemerlang bagi United apabila pasukan pelawat itu mengalahkan Wigan 2-0 dalam satu perlawanan persahabatan kelmarin.

Berusia 22 tahun, Bailly merupakan sebahagian daripada barisan pertahanan Villarreal yang hanya melepaskan 35 gol dalam 38 perlawanan liga pada musim lalu.

"Beliau masih muda dan datang dari sekitaran yang berbeza, tetapi anda boleh lihat kemampuannya ketika ini," kata Mourinho kepada media Britain.

"Inilah kali pertama beliau menyarung jersi Manchester United. Beliau tidak boleh bertutur dalam bahasa Inggeris dan hanya dapat berhubungan dengan mereka yang dapat bertutur dalam bahasa Perancis atau Sepanyol.

"Saya mahu memberikannya lebih banyak masa kerana beliau perlu lebih banyak bermain daripada yang lain. Beliau perlu merasainya dan mula berhubungan."

Bekas pengurus Chelsea itu juga membandingkan pemain antarabangsa Ivory Coast itu dengan pemain pertahanan Raphael Varane yang dilatihnya di Real Madrid.

"Saya akan memberikan segala-galanya untuk menjadikan beliau lebih baik, seperti yang saya lakukan dengan para pemain pertahanan tengah yang pernah saya miliki," tambah Mourinho.

Sementara itu, pemain tengah Leicester City, Danny Drinkwater, mengaku bahawa beliau masih menunggu tawaran kontrak baru daripada juara Liga Perdana itu sekalipun kelab tersebut telah mengambil langkah memastikan masa depan bintang-bintang lain.

Pemain antarabangsa England berusia 26 tahun itu, yang memainkan peranan penting dalam kejayaan mereka musim lalu, telah melihat Leicester menawarkan kontrak kepada tiga pemain utama mereka, Jamie Vardy, N'Golo Kante dan Riyad Mahrez.

Vardy telah pun menandatangani kontrak empat tahun selepas menolak lamaran Arsenal.

Drinkwater berkata beliau juga ingin mengikat masa depannya dengan kelab tersebut.

"Saya tidak akan mengejar kelab itu," katanya.

"Terpulanglah kepada mereka untuk menemui saya. Saya suka membuat komitmen tetapi saya cuma mahu bermain bola. Saya masih mempunyai kontrak dua tahun, jadi semuanya tidak akan berakhir jika saya tidak menandatangani kontrak baru dalam beberapa minggu ini.

"Saya masih terikat dengan kontrak jadi saya tidak boleh bercakap terlalu banyak, tetapi saya masih seorang pemain Leicester City." - Reuters, AFP.

Waktu Solat

Subuh
5:36
Syuruk
7:00
Zuhur
1:02
Asar
4:26
Maghrib
7:03
Isyak
8:18
3 HR PSI: 17
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.