Mourinho mungkin hadapi larangan lebih lama, hilang pekerjaan

LONDON: Masalah Jose Mourinho di Chelsea semakin meruncing apabila pengurus itu dikenakan dakwaan mengeluarkan kata-kata kasar lucah terhadap para pegawai di West Ham United pada Sabtu (24 Okt), yang boleh menyebabkan dia dilarang berada di tepi padang, malah stadium.

Warga Portugis itu, yang pekerjaannya terancam selepas permulaan teruk Chelsea dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, boleh dikenakan denda dan penggantungan hingga lima perlawanan selepas enam kali dikenakan tuduhan oleh Persatuan Bola Sepak dalam dua tahun.

Dia mungkin tidak dibenarkan berada dalam bangku Chelsea apabila pasukan itu menentang Liverpool Sabtu ini. Malah, Mourinho mungkin dipecat jika Chelsea kalah.

Menurut ESPN, Chelsea telah mula membuat rancangan luar jangka sekiranya Mourinho dibuang kerja, dengan wakilnya memulakan perbincangan dengan Paris Saint-Germain dan Inter Milan.

Pemilik Chelsea, Roman Abramovich, pula dilaporkan berminat mendapatkan Diego Simeone, ketua jurulatih Atletico Madrid, atau Pep Guardiola, ketua jurulatih Bayern Munich, mengambil alih di Stamford Bridge.

Tetapi kedua-duanya besar kemungkinan tidak boleh didapatkan hingga akhir musim ini.

Carlo Ancelotti atau Guus Hiddink, kedua-duanya bekas pengurus Chelsea, mungkin dapat dipujuk kembali ke pasukan itu buat sementara.

Mourinho, yang telah memfailkan rayuan terhadap hukuman denda £50,000 ($106,800) dan larangan berada di stadium bagi satu perlawanan kerana kesalahan menggambar pegawai "takut" memberi keputusan yang berpihak kepada pasukannya berikutan kekalahan kepada Southampton pada 3 Oktober, diperintah duduk di tempat duduk penonton selepas perbalahan dengan pengadil Jonathan Moss semasa perlawanan menentang West Ham.

Dakwaan terhadapnya berkaitan bahasa dan kelakuannya dan difahamkan tertumpu pada keengganannya meninggalkan bilik pengadil.

Mourinho diberi masa hingga 6 petang pada Khamis untuk respons terhadap dakwaan tersebut sebelum siasatan dijalankan.

Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda, atau dilarang berada dekat padang semasa perlawanan, atau dikenakan kedua-dua hukuman. - Agensi

Waktu Solat

Subuh
5:37
Syuruk
7:00
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:03
Isyak
8:18
3 HR PSI: 19
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.