TINJU

'Pacman' dah gatal nak masuk gelanggang

Desas-desus menyebut nama Floyd Mayweather sebagai lawannya

APABILA petinju Filipina, Manny Pacquiao, mengumumkan bahawa pertemuannya dengan Timothy Bradley adalah yang terakhir sebelum beliau menggantung 'glove'nya, mungkin tidak ramai yang akan percaya.

Ini kerana ramai juga petinju sebelum beliau yang keluar masuk gelanggang selepas mengumumkan persaraan.

Ramai pemerhati sukan tersebut berpendapat, ego seseorang petinju itu terlalu tinggi untuk mengucapkan selamat tinggal pada sukan yang telah memberikan mereka kemahsyuran dan akaun bank yang tebal.

Allahyarham Muhammad Ali, George Foreman, Larry Holmes dan Mike Tyson adalah antara nama-nama besar yang cuba kembali selepas bersara, dikalahkan atau pada usia lanjut.

Dan tidak seorang pun berjaya.

Mungkin semangatnya masih ada, tetapi kepantasan sudah lama pergi dan badan juga sudah tidak larat lagi.

Lantas apabila Pacquiao berkata beliau mahu kembali ke gelanggang, tidak ramai yang terkejut. Malah ada juga yang sudah menjangkakannya.

Selepas menang sebulat suara ke atas Bradley pada April lalu, Pacquiao berkata: "Buat masa ini saya akan bersara."

Beliau menambah bahawa beliau "akan pulang dan memikirkan mengenainy,"

Itu memberikan ramai pemerhati bayangan bahawa seperti ramai juara tinju sebelum beliau, "cubaan" pertama beliau untuk bersara tidak akan kekal.

Dan memang betullah sangkaan ramai, persaraannya hanya sementara.

Namun apakah yang mendorong Pacquiao masuk semula ke gelanggang? Dan apakah itu satu langkah bijak atau sebaliknya?

Apakah beliau memerlukan wang? Saya tidak fikir begitu. Dengan jutaan dolar Amerika yang dikaupnya pada setiap kali bertarung - tidak kira kalah atau menang - Pacquiao lebih daripada mampu untuk hidup seperti raja di negaranya di Filipina.

Apakah beliau dahagakan kemasyhuran? Tidak juga. Bekas juara dunia dalam lapan divisyen itu adalah ikon besar di negaranya dan tidak perlu dikenalkan di luar negara.

Mungkin sebagai seorang petinju yang hidupnya berlegar pada keluar masuk gelanggang, jika sudah lama tidak bertinju, tangan akan berasa gatal. Mungkin.

Sebagai seorang senator di Filipina, kerja yang lebih banyak berhujah, melibatkan diri dalam belanjawan dan berjabat tangan, barangkali itu tidak dapat memenuhi Pacquiao yang sudah biasa dengan kehidupan di gym, menumbuk lawan dan ditumbuk juga. Barangkali.

Sebelum ini, Pacquiao sudah pun menjadi anggota dewan kongres Filipina, tetapi perlantikannya ke dewan senat akan memerlukan beliau lebih selalu terlibat dalam urusan seharian negara.

Keprihatinan dan kewajipan utama Pacquiao ialah memenuhi tugasnya sebagai seorang senator, kata seorang penasihat beliau, Michael Koncz.

"Tetapi beliau rindukan bertinju. Beliau rindukan latihan. Beliau rindu untuk berada di gim. Anda boleh lihat apabila beliau berlatih, ia seperti menghilangkan stres baginya.

"'Mood'nya berubah. Ia seperti beliau berada di 'happy land'. Jadi saya sedang bekerjasama dengan Bob dan Manny pula bekerjasama dengan presiden dewan senat untuk memastikan tarikhnya O.K. "Kami melakukan ini semua dengan betul," kata Koncz.

Pada Februari lalu, Pacquiao telah memohon maaf kerana ditukil sebagai berkata bahawa orang-orang homoseksual atau gay "lebih buruk daripada binatang".

Komen tersebut mengundang bidasan dan kecaman yang meluas, termasuk daripada Magic Johnson, sementara pengeluar pakaian sukan, Nike, menggugurkannya daripada tajaan mereka.

Kali terakhir Pacquiao turun ke gelanggang sebelum mengalahkan Bradley ialah menentang Floyd Mayweather pada tahun lalu.

Perlawanan itu yang dimenangi Mayweather mencipta rekod sebagai perlawanan yang mendapat bayaran paling tinggi dalam sejarah.

Mayweather turut berlawan sekali lagi sebelum bersara dengan rekod 49-0.

Menurut Arum, semasa membincangkan lawan untuk Pacquiao, nama Mayweather turut disebut-sebutkan.

Mungkinkah takdir akan menemukan kededuanya untuk satu pertarungan terakhir yang akan memastikan salah seorang - atau kededuanya sekali - bersara untuk selama-lamanya?

Sama-samalah kita tunggu wayang yang akan datang.

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:00
Asar
4:24
Maghrib
7:00
Isyak
8:15
3 HR PSI: 52
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.