Paris Saint-Germain humban Chelsea, Bayern menang bergaya

LONDON: Terpaksa bermain dengan 10 orang untuk sebahagian besar perlawanan dan ketinggalan dua kali, Paris Saint-Germain (PSG) mencatatkan kejutan besar apabila menghumban Chelsea daripada pusingan suku akhir Liga Juara-Juara Eropah dinihari semalam.

Juara Jerman, Bayern Munich, turut menempah tempatnya di suku akhir selepas memalukan juara Ukraine, Shakhtar Donetsk, 7-0 dengan pasukan lawan melihat pemain pertahanannya muncul sebagai pemain terpantas dilayangkan kad merah dalam sejarah kejohanan elit Eropah ini.

Kededua kelab itu menyertai juara bertahan, Real Madrid, dan Porto, di pusingan lapan pasukan terakhir kejohanan musim ini.

Sekalipun terpaksa bermain hampir sejam waktu perlawanan biasa dan 30 minit masa tambahan dengan kekurangan pemain - selepas bintang penyerang Zlatan Ibrahimovic dibuang padang kerana mengasari pemain pertahanan Chelsea, Oscar - PSG mempamerkan semangat juang tinggi untuk mencatatkan kemenangan manis itu, sekali gus sebagai menebus kekecewaan apabila kalah kepada Chelsea di peringkat suku akhir kejohanan ini musim lalu.

Kemenangan itu turut dialu-alukan pemilik PSG, hartawan Qatar, Nasser Al Khelaifi, yang menyifatkannya sebagai "kemenangan hebat, bersejarah".

"Ia bukti bahawa kami berada di landasan yang betul. Kami percaya dengan projek ini dan mahu melangkah sejauh yang termampu."

Waktu Solat

Subuh
5:35
Syuruk
6:59
Zuhur
1:01
Asar
4:25
Maghrib
7:02
Isyak
8:17
3 HR PSI: 28
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.