Pelajar RI catat kejayaan hatrik, terdorong sertai Sukan SEA

KERJA KERAS, disiplin dan ketekalan.

Itulah rahsia kejayaan Shohib Abdul Wahab Marican hingga pelari gigih berusia 17 tahun ini berjaya mencapai kemenangan hatrik dengan mendapat tempat pertama dalam tiga acara larian jarak jauh dan pertengahan antara sekolah-sekolah baru-baru ini.

Dalam Kejohanan Nasional Rentas Desa Antara Sekolah Mac lalu, Shohib mendahului pelari lain dalam larian 4.3 kilometer itu, manakala dia juga johan larian 5,000 meter dan 1,500 meter dalam kejohanan balapan peringkat sekolah nasional yang berakhir baru-baru ini.

Dengan kemenangan tersebut, Shohib berharap untuk meraih peluang bagi mewakili Singapura dalam Sukan Sea tahun depan.

Bahkan, pelajar Raffles Institution (RI) itu sudah pun mewakili negara dalam Sukan Belia Asia (AYG) 2013.

"Saya teramat bersyukur apabila memenangi ketiga-tiga acara larian itu. Ini kerana saya dan pelari lain dari pasukan saya telah berlatih selama setahun."

"Ini bukan sahaja kemenangan saya tetapi kemenangan pelari lain dalam pasukan saya, guru-guru, jurulatih dan keluarga saya yang telah banyak memberi sokongan," kata Shohib.

Ditanya rahsia kejayaannya, Shohib mengaku tiada jalan pintas.

"Saya memberikan yang terbaik pada setiap latihan. Saya juga berlatih dengan konsisten," tambahnya.

Tiga kali seminggu, beliau akan memulakan harinya dengan menghadiri sekolah sehingga 2 petang.

Sementara menunggu latihan pada 4 petang, Shohib akan mengulang kaji pelajarannya.

Setelah selesai berlatih selama dua jam, murid maktab rendah satu (JC1) itu akan pulang ke rumah dan menghabiskan kerja sekolahnya sehingga 10 malam.

"Saya berlatih secara berterusan untuk memperbaiki diri. Oleh itu, saya turut berlatih dalam minggu peperiksaan akhir tahun lepas," jelas anak bongsu empat beradik ini.

Guru-gurunya pula sentiasa memberikan dorongan dan bantuan bagi memastikan pelajarannya tidak merosot.

Jurulatih Shohib, Encik Steven Quek, juga memastikan anak didiknya itu dilengkapi dengan sikap saling menghormati dan bertimbang-rasa terhadap pelari-pelari lain dalam pasukannya.

"Mereka bukan sahaja melatih saya supaya menjadi pelari yang baik, mereka juga mendidik saya supaya menjadi manusia yang baik," kata Shohib.

Bercakap tentang kebolehan satu-satu anak lelakinya, Encik Abdul Wahab Marican berkata:

"Shohib memang berdisiplin. Sewaktu bulan Ramadan anak saya diberikan kelonggaran berlatih, tetapi Shohib teruskan juga latihan sepenuhnya."

"Ibu bapa harus kenal kebolehan istimewa anak mereka. Carilah sekolah yang dapat memupuk bakat mereka supaya mereka berjaya dalam pelbagai bidang bukan hanya pelajaran," tambahnya.

Bagi Shohib, dia berharap dapat memperbaiki lariannya dan memecahkan rekodnya sendiri di masa hadapan.

Waktu Solat

Subuh
5:36
Syuruk
7:00
Zuhur
1:02
Asar
4:26
Maghrib
7:03
Isyak
8:18
3 HR PSI: 35
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.