PELAN A tentunya 'melepaskan' Neymar di barisan serangan bagi memporak-perandakan pertahanan Jerman - lawan Brazil di peringkat separuh akhir Piala Dunia di Estadio Mineirao, di Belo Horizonte, hari ini (4 pagi esok waktu Singapura).
Nasib malang yang menimpa bintang penyerang berusia 22 tahun itu semasa kemenangan ke atas Colombia tempoh hari bagaimanapun akan memaksa jurulatih Luiz Felipe Scolari membentangkan pula Pelan B apabila bersemuka anak didik Joachim Loew - pencabar paling gagah sejauh ini yang merintangi laluan pasukan tuan rumah daripada menjulang mahkota Piala Dunia keenam yang bersejarah.