Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

PARALIMPIK TOKYO 2021

Pemanah No 1 dunia tetap fokus walau kurang persiapan

Apr 12, 2021 | 05:30 AM



KEKURANGAN peluang bertanding tidak akan menghalang pemanah para nombor satu dunia Nur Syahidah Alim daripada memanah pada sasarannya di Paralimpik Tokyo tahun ini.



Dengan tinggal empat bulan sebelum tirai temasya sukan dibuka, ratu memanah dari Singapura itu mungkin akan ke Tokyo Ogos ini tanpa berpeluang mengambil bahagian dalam pertandingan sebenar sebagai persiapan, gara-gara sekatan perjalanan dan langkah mematuhi jarak selamat memaksa kejohanan antarabangsa sama ada dibatalkan atau ditunda.



Kali terakhir, Nur Syahidah, 35 tahun, bertanding adalah dalam Kejohanan Ranking Dunia Memanah Para Fazza yang keenam di Dubai, Amiriah Arab Bersatu (UAE), pada Februari tahun lalu.



Beliau muncul sebagai juara acara 'compound' terbuka wanita dalam kejohanan itu.



"Ya, saya rindu bertanding. Tetapi apakan daya sebab pandemik adalah sesuatu yang di luar kawalan kita," ujarnya, ketika ditemui semasa latihan di tempat memanah dalam bangunan, SE Archery, di Changi North Crescent baru-baru ini.



Ditanya sama ada beliau akan bertanding dalam sebarang pertandingan sebelum Paralimpik Tokyo, Nur Syahidah memberitahu Berita Harian bahawa tiada pertandingan antarabangsa memanah para dianjurkan buat masa ini.



Namun, Nur Syahidah, yang sudah menerima kededua dos vaksinnya bagi Covid-19 bulan lalu, dan jurulatihnya, sentiasa menantikan peluang untuk bertanding di luar negara.



"Apapun, kami cuba lakukan sebanyak yang mungkin dalam latihan di Singapura. Kami cuba andaikannya sebagai pertandingan termasuk mengira mata ketika memanah. Di sinilah aspek mental penting semasa berlatih," kongsi beliau.



Mujur bulan lalu, Persatuan Memanah Singapura (AAS) menganjurkan percubaan terbuka untuk Sukan SEA ke-31 yang bakal diadakan di Hanoi hujung tahun ini.



Nur Syahidah merebut peluang bertanding meskipun beliau bersaing dengan individu berupaya.



"Bertanding dalam percubaan terbuka membantu latihan mental saya sebelum Paralimpik," kata penerima Biasisiwa Spex itu, yang kini berlatih lima kali seminggu, mengimbangi latihan di padang memanah dan gimnasium.



"Perkara terbaik mengenai memanah dengan atlet pemanah lain adalah ia memberikan suasana pertandingan. Ia menimbulkan nostalgia buat saya."



Sekiranya tidak dapat bersaing dalam mana-mana kejohanan sebelum beraksi di Tokyo, Nur Syahidah akan menggunakan pengalamannya bersaing di Paralimpik Rio pada 2016 sebagai rujukan mempersiapkan dirinya menjelang Ogos ini.



Paralimpik Rio merupakan penampilan sulung Nur Syahidah dalam temaysa sukan itu sejak bergelar pemanah para secara kompetitif pada 2015.



"Ada beberapa pengajaran yang saya raih (daripada Paralimpik Rio) seperti bagaimana untuk menangani gangguan, mengekalkan fokus dan bagaimana untuk pulih secepat mungkin di garisan menembak.



"Ini adalah sesuatu yang saya sedang berusaha dengan jurulatih untuk memastikan saya bersedia untuk Paralimpik Tokyo," kata Nur Syahidah, yang mencipta sejarah sebagai atlet para pertama Singapura memenangi kejuaraan Kejohanan Para Memanah Sedunia pada 2019 di Belanda.



Nur Syahidah boleh mencipta satu lagi sejarah sekiranya membawa pulang pingat Paralimpik sulung negara dalam sukan memanah para di Tokyo kelak.



Di Rio, beliau terkandas di pusingan suku akhir.



Paralimpik Tokyo, setelah setahun ditunda akibat pandemik Covid-19, dijadual berlangsung pada 24 Ogos hingga 5 September ini.



Bagaimanapun, penganjur temasya sukan tersebut mengumumkan bulan lalu bahawa penonton antarabangsa dilarang masuk ke ibu kota Jepun itu.



Akur temasya sukan kali ini unik dan tidak akan semeriah edisi sebelumnya, Nur Syahidah kekal bertekad membanggakan negara.



"Sudah tentu, ia akan menjadi berbeza disebabkan pandemik, sedangkan latihan kami pun telah berubah. Ia lebih kepada mendakap norma baru.



"Saya akan hanya nikmati setiap detik ketika bersaing...dan mudah-mudahan saya dapat mencipta lebih banyak detik kejayaan dan memberi inspirasi kepada orang lain. Tiada apa yang mustahil," tambahnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >