Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

Piala Dunia 2034 di Saudi cerminkan peralihan kuasa sukan ke Timur Tengah

Nov 05, 2023 | 05:31 AM



LONDON: Prospek Piala Dunia diadakan di Arab Saudi telah lama dijangka, dengan pelaburan besar negara itu dalam bidang sukan – pada skala yang belum pernah disaksikan sebelum ini – jelas bertujuan untuk mencapai puncaknya dengan penganjuran acara sukan tersohor dunia.


Baru-baru ini, langkah yang diambil Saudi semakin besar.

Negara Teluk itu telah mengubah dunia golf melalui Siri LIV, mendominasi penganjuran acara tinju terkemuka dunia selain mencetuskan gelombang kejutan yang dirasakan dunia melalui perpindahan ikon-ikon bola sepak dunia ke liga profesional negara itu.

Cita-cita Saudi dalam sukan semakin menyerlah dengan idea bagi Piala Dunia diadakan di negara itu hampir menjadi satu kepastian.

Dengan Australia mengundur diri, negara itu dijamin akan menganjurkan Piala Dunia dalam tempoh 11 tahun.

“Hakikatnya, ini berpotensi mengundang lebih banyak kontroversi berbanding Piala Dunia Qatar tahun lalu,” kata bekas kapten England, Gary Lineker, yang kini pengulas bola sepak.

“Qatar dibelenggu isu hak asasi manusia dari mula lagi, dan kritikan ke atas gangguan kepada kalendar bola sepak dengan mengadakan Piala Dunia pada musim sejuk.

“Saya jangkakan tumpuan ke atas Saudi akan lebih hebat,” tambah Lineker.

Malah, dengan format yang diperluas dengan 48 pasukan, skala gangguan boleh menjadi lebih besar daripada Qatar, di samping keperluan membangunkan infrastruktur dengan cepat, meningkatkan kebimbangan terhadap isu kemampanan.

Pengkritik akan menyifatkan langkah Saudi ini tidak lebih daripada sportswashing atau ‘membersihkan reputasi menerusi sukan’ – satu bentuk kuasa lembut – oleh pengeksport minyak terbesar dunia itu.


Ini kerana Saudi dilihat, terutama oleh negara Barat, sebagai sebuah negara dengan keprihatinan mendalam berhubung pencabulan hak wanita, jenayah homoseksual, sekatan kebebasan bersuara, hukuman mati, pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi pada 2018, antara lain.

Pihak berkuasa Saudi menafikan keras perkara ini.

Sebaliknya, negara itu menegaskan bidaannya dengan matlamat mendorong usaha memodenkan negara itu, mengembangkan permainan bola sepak ke rantau Teluk, memberi inspirasi kepada penduduk muda, menyemarak sektor pelancongan, mempelbagaikan ekonomi sebelum pasca minyak, dan menjadi kuasa dunia yang menggalak perpaduan.

Mereka merujuk kepada kemajuan yang dicapai dalam bola sepak wanita misalnya, dan berpendapat ini adalah langkah selanjutnya.

Sejak beberapa tahun lalu, Saudi telah berjaya menganjurkan pelbagai acara merentasi pelbagai sukan di samping menubuhkan Liga Bola Sepak Profesional Saudi; membeli gergasi bola sepak England, Newcastle United, serta beberapa acara akan datang termasuk perlawanan akhir Kelab Dunia dan Piala Asia AFC.

Walau apa pun motif sebenar kerajaan Saudi, kemunculannya sebagai pembida tunggal untuk pertandingan 2034 akan meningkatkan penelitian terhadap proses dan pemilihan Fifa, dengan beberapa pemerhati menyuarakan kebimbangan bahawa keputusan itu seolah-olah sudah dirancang sebagai penyelesaian yang berkesan dalam proses yang semakin diragui dari segi ketelusan.

Antaranya, terdapat pengumuman mengejut Fifa awal bulan ini bahawa negara yang boleh membida untuk menjadi tuan rumah bagi pertandingan 2034 itu harus datang dari rantau Asia dan Oceania, namun negara-negara yang berminat hanya diberikan 26 hari untuk mengisytiharkan minat mereka.

Ini berikutan keputusan badan itu meluluskan pertandingan 2030 dianjurkan secara bersama oleh negara dari benua Eropah, Afrika dan Amerika Selatan, sekali gus mengetepikan negara-negara rantau itu daripada membida untuk 2034 di bawah dasar Fifa yang memilih tuan rumah berdasarkan giliran.

Kemudian, tidak lama selepas itu, timbul pengumuman rasmi Saudi mengenai tawaran mereka, dengan pantas diikuti oleh sokongan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

“Keadaan diburukkan lagi dengan apa yang dilihat sesetengah pihak sebagai langkah yang diadakan untuk membantu Saudi, iaitu apabila Fifa kemudian melonggarkan peraturannya mengenai pembinaan stadium baru, dengan pembida kini hanya memerlukan empat lokasi yang telah ditetapkan,” kata seorang lagi bekas pemain England, Gary Neville.

Hakikat bahawa Australia kini telah memutuskan untuk tidak meneruskan bidaan juga akan menimbulkan keraguan sama ada mereka tahu usaha menyaingi Saudi akan menjadi sia-sia, tambah Neville.

“Justeru, cara proses pembidaan ini dilakukan – yang seolah-olah membuka jalan kepada Saudi – akan menyebabkan ramai yang tidak senang,” ujar beliau.

Contohnya, pada Mac, Forum Liga Dunia – yang mewakili liga domestik seluruh dunia – menyatakan ‘keprihatinan’ terhadap apa yang didakwanya sebagai kegagalan Fifa mengambil kira kalendar bola sepak global apabila memutuskan untuk meluaskan Piala Dunia 2026 kepada lebih banyak pasukan.

Suasana dan ketegangan itu tidak diperbaiki dengan cara keputusan terkini Fifa itu diambil.

Badan hak asasi manusia, Human Rights Watch, juga menuduh Fifa mengabaikan peraturannya sendiri.

“Kemungkinan Fifa boleh menganugerahkan Piala Dunia 2034 kepada Arab Saudi walaupun rekod hak asasi manusianya yang kurang memuaskan dan keengganannya membenarkan pemantauan mendedahkan komitmen Fifa terhadap hak asasi manusia adalah palsu.”

Fifa enggan mengulas, tetapi forum-forum tertutup menegaskan bahawa hak asasi manusia kekal sebagai sebahagian daripada proses pembidaan.

Apa yang jelas ialah senario ini menggariskan peralihan luar biasa dalam kuasa sukan ke arah Timur Tengah.

“Sehingga baru-baru ini, idea Qatar dan Saudi menjadi tuan rumah dua Piala Dunia dalam tempoh hanya 12 tahun mungkin tidak dapat difikirkan oleh kebanyakan orang,” kata Lineker.

“Jadi ini mencerminkan kekayaan yang mereka miliki dan pengaruh mereka yang semakin berkembang,” tambahnya.

Sementara itu, Saudi akan terus mempertahankan diri terhadap apa yang ia lihat sebagai standard yang berbeza dan sikap hipokrit.

Ia merujuk kepada perdagangan yang dilakukan banyak negara Barat dengannya dan menekankan orang ramai tidak harus menilai negara itu sebelum melawatnya sendiri.

Dunia kini akan membuat perbandingan dengan Qatar, yang telah menganjurkan Piala Dunia yang begitu baik, dan dianggap penyokong bola sepak yang hadir sebagai satu kejayaan, walaupun berdepan pelbagai kritikan.

Pendedahan media dan penduduk dunia, yang mengiringi penganjuran Piala Dunia, juga boleh membantu mempercepatkan pembaharuan yang diidamkan kerajaan Saudi.

Namun, akan ada yang masih tidak berpuas hati dengan prospek Saudi sebagai tuan rumah Piala Dunia 2034 dan menyimpulkannya sebagai satu lagi cerminan kuasa wang, tanpa mengendahkan isu hak asasi manusia.

Pihak berkuasa Saudi dan Fifa kini mempunyai 11 tahun untuk cuba meyakinkan pihak yang ragu-ragu itu. – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >