Realiti pahit bagi Tampines, kalah besar kepada kelab Hongkong

REALITINYA pahit sekali.
Jurulatih Tampines Rovers, Salim Moin, terpaksa akur jurang jauh yang masih wujud antara juara tiga kali berturut-turut Liga-S itu dengan pasukan rantau Asia ini selepas kekalahan besar 0-5 kepada Kitchee FC dari Hongkong dalam satu perlawanan Kumpulan H Piala AFC di Stadium Jalan Besar malam tadi.
Yang nyata, Tampines, yang baru-baru ini menjulang Trofi Sumbangsih (Charity Shield) selepas menewaskan Home United dalam pembukaan tirai liga setempat Jumaat lalu, gagal menyaingi lawannya dari segala aspek perlawanan itu.
Jika tidak kerana kecemerlangan penjaga gawangnya, Hyrulnizam Jumaat, serta kegagalan barisan penyerang Kitchee memanfaatkan peluang-peluang jaringan, kemungkinan Tampines, yang bermain tanpa pemain ‘marquee’ atau bertaraf bintang, Miljan Mrdakovic yang digantung, mengalami kekalahan lebih besar tidak dapat ditolak.
Seawal minit ketujuh permainan, Hyrulnizam dipaksa bertindak cemerlang menyelamatkan gawangnya.
Sekalipun menguasai permainan, pasukan pelawat mensesiakan banyak peluang termasuk pada minit ke-33 apabila percubaan penyerang importnya, Juan Belencoso – yang meloloskan diri daripadaR benteng Tampines dan hanya berhadapan Hyrulnizam – terkena palang gawang.
Sekuat mana kubu Tampines akhirnya roboh jua pada minit ke-39 apabila seorang lagi pemain import Kitchee, Jorge Paramo, melepaskan percubaan yang gagal diselamatkan Hyrulnizam.
Gol itu memaksa Salim menukar strategi dalam usaha mengubah haluan permainan dengan memasukkan penyerang berpengalaman, Noh Alam Shah, yang menggantikan Closa Gonzales pada minit ke-40 tetapi harapan jurulatih itu meleset apabila Kitchee yang melebarkan jaringan.
Paramo bertindak sekali lagi dalam watu kecederaan separuh masa pertama permainan dengan gol kedua pasukannya, kali ini memanfaatkan umpanan cantik Chan Man Fai.
Daripada menjadi perintis, Chan kemudian tampil sebagai penyumbang gol pasukannya selepas satu gerakan menarik seminit selepas babak kedua permainan.
 Pemain gantian, Xu Deshuai, tidak mahu ketinggalan mencatatkan namanya dalam senarai penjaring gol apabila melepaskan rembatan jauh dari luar kotak penalti pada minit ke-55 bagi gol keempat Kitchee.
Peluang terbaik Tampines hanya tiba pada minit ke-64 tetapi percubaan Alam Shah dapat diadang oleh barisan pertahanan Kitchee.
Pasukan pelawat belum berpuas hati dengan empat gol dan Belencoso menebus kegagalan awal dengan gol kelima Kitchee seminit sebelum tamat perlawanan.
Di akhir 90 minit perlawanan yang disaksikan sekitar 712 penonton itu, Tampines terpaksa akur ia masih jauh di belakang kelab-kelab utama rantau Asia ini. Keputusan perlawanan semalam menjadi bukti.

 

Waktu Solat

Subuh
5:37
Syuruk
7:00
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:03
Isyak
8:18
3 HR PSI: 43
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.