ROMBONGAN atlit dan pegawai sukan serantau bakal disajikan dengan makanan setempat yang bukan sahaja lazat, malah berkhasiat di Sukan Asia Tenggara (SEA) ke-28 bulan depan.
Lebih 120 hidangan halal - termasuk nasi ayam, mi soto dan pasta - telah dipilih dan bakal disajikan di 20 hotel yang menjadi tempat penginapan lebih 7,000 atlit dan pegawai sukan Sukan SEA.
Menu yang turut memenuhi keperluan makanan vegetarian (tanpa daging) itu dipilih hasil kajian selama dua tahun melibatkan Institut Sukan Singapura (SSI), Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA (Singsoc) dan sekumpulan cef.
Menurut Ketua NOC dan Sukan Singsoc, Encik Bob Gambardella, pihaknya prihatin bagi memilih makanan yang bukan sahaja lazat dan berkhasiat, malah memaparkan budaya Singapura demi memberikan atlit pengalaman indah dan berkekalan.
"Pemakanan memain peranan penting dari segi khasiat, tetapi ia juga satu sumber motivasi. Kami telah berusaha seberapa termampu bagi menyediakan makanan yang membantu atlit memberikan persembahan optimum," katanya.