LIGA SUPER MALAYSIA

Shahdan Sulaiman jaring gol pertama, bantu LionsXII atasi ATM FA 3-1 di JBS

Tiga mata pertama bagi anak didik Fandi Ahmad dalam jadual tiga perlawanan dalam tempoh tujuh hari

MUNGKIN keletihan memain peranan. Mungkin, waktu permulaan perlawanan yang sejam lebih lewat turut menyumbang kepada babak pertama yang hambar. Namun LionsXII bangkit di babak kedua di Stadium Jalan Besar (JBS) bagi mengatasi ATM FA 3-1 dalam perlawanan Liga Super Malaysia (MSL) pada malam 20 Jun.

Shahdan Sulaiman- yang sekian lama diketepi kecederaan - menyumbat gol pertama musim ini lima minit selepas beliau dimasukkan pada minit ke-80, bagi menjamin gol ketiga dan kemenangan 3-1 buat LionsXII.

Gol pembuka tirai diraih pasukan tuan rumah hasil gol jaringan sendiri oleh Fazly Alias pada minit ke-40, sebelum Safuwan Baharudin menggandakan jaringan sejurus selepas waktu rehat, melalui rembatan kemas dari luar petak penalti.

Bagaimanapun Fazly, yang bermain di bek tengah, menyumbat gol sagu hati bagi ATM FA pada minit ke-59, meloncat paling tinggi bagi menanduk masuk umpanan dari tendangan sudut.

Perlawanan pertama sejak MSL direhatkan bagi memberi laluan kepada Sukan Asia Tenggara (SEA) ini dimulakan pada 9 malam sempena Ramadan, bagi membenarkan pemain beragama Islam berbuka puasa.

Fandi Ahmad mengorak beberapa perubahan, dengan Safuwan menggantikan Zulfahmi Arifin di tengah pertahanan; dan pemain kreatif itu kembali ke tengah midfield. Shakir Hamzah juga kembali ke posisi bek kanan, dengan Hafiz Abu Sujad dikorbankan ke bangku simpanan. Khairul Amri dan adiknya Khairul Nizam memimpin barisan serangan.

Namun pemain kededua pasukan bak keletihan apabila wisel permulaan dibunyikan, walau LionsXII pasukan pertama menyesuaikan diri dan mula mengatur serangan. Malah, Khairul Nizam membuka peluang pertama seawal minit pertama, menerbangkan dirinya bagi melakukan percubaan akrobatik - tendangan basikal- yang tersasar.

Selang 20 minit, giliran Faris Ramli pula membuat percubaan akrobatik dari tengah petak penalti, hasil hantaran Gabriel Quak. Namun sepakannya lemah dan mudah diselamatkan penjaga gawang Syed Adney.

Dalam minit ke-29, Faris disajikan peluang keemasan bagi membuat tirai jaringan, tetapi percubaan lambung dalam keadaan satu lawan satu dengan Adney tersasar

Khairul Amri hampir memecahkan kebuntuan pada minit ke-31, tetapi tendangan percumanya dari jarak 30 meter mengena palang dan melantun keluar.

Seminit kemudian, giliran Venice Elphi pula menguji Izwan Mahbud yang sehingga detik itu 'mengganggur' di gawang LionsXII. Namun rembatan kencang pemain midfield itu berjaya ditepis keluar oleh Izwan.

LionsXII meraih gol yang diharapkan lima minit sebelum waktu rehat. Sekali lagi Faris memain peranan. Tendangan bebasnya dari jarak 25 meter cuba ditanduk keluar oleh Fazly Alias tetapi pemain bek itu hanya berjaya memperdayakan Adney dan menjaringkan gol sendiri.

Separuh masa kedua mengundang permainan lebih rancak daripada LionsXII, dengan Safuwan Baharudin yang memulakan permainan di bek tengah menggantikan Zulfahmi Arifin di tengah midfield.

Perubahan itu meraih ganjaran selang seminit babak kedua bermula.

Walau hantaran silang Quak ke tengah petak penalti gagal disambut Khairul Nizam, Izzdin mengejar bola dan mengumpannya kepada Safuwan. Pemain itu hanya memerlukan satu sentuhan untuk merembat bola kemas ke penjuru kiri gol, memberikan kelebihan 2-0 kepada LionsXII.

Bagaimanapun, kecuaian barisan pertahanan membenarkan Fazly meloloskan diri dan menanduk masuk bola bari merapat jurang selepas sejam permainan.

Fandi mula membuat beberapa pertukaran selepas saat itu, memasukkan Firdaus Kasman bagi menggantikan Faris dan Sahil Suhaimi untuk Khairul Amri.

Namun penyertaan Shahdan - kali pertama beliau beraksi di JBS musim ini - membawa ganjaran hampir serta-merta.

Beliau berlari paling pantas bagi menyambut tandukan Safuan dan meleret bola memperdayakan Adney.

Kemenangan ketiga berturut-turut bagi LionsXII itu bekal terbaik bagi LionsXII yang bertandang ke Stadium Paroi bagi bertemu ATM FA Selasa depan.

Waktu Solat

Subuh
5:35
Syuruk
6:59
Zuhur
1:01
Asar
4:25
Maghrib
7:02
Isyak
8:17
3 HR PSI: 60
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.