SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Siapa bakal sertai Coventry ke Liga Perdana England?

Siapa bakal sertai Coventry ke Liga Perdana England?

Coventry hanya perlu 4 empat mata daripada baki 5 perlawanan untuk sahkan kedudukan dua teratas
Apr 7, 2026 | 3:47 PM

Siapa bakal sertai Coventry ke Liga Perdana England?

Pemain Coventry City, Tatsuhiro Sakamoto (tengah), cuba melepasi halangan pemain Hull City, Lewie Coyle (kiri) dan Liam Millar dalam aksi Kejuaraan di Stadium MKM pada 6 April.
Pemain Coventry City, Tatsuhiro Sakamoto (tengah), cuba melepasi halangan pemain Hull City, Lewie Coyle (kiri) dan Liam Millar dalam aksi Kejuaraan di Stadium MKM pada 6 April. - Foto REUTERS

LONDON: Coventry City mungkin tidak mempamerkan aksi terbaik ketika seri 0-0 menentang Hull City pada 6 April, namun keputusan itu meletakkan mereka sangat hampir meraih promosi daripada liga Kejohanan kepada Liga Perdana England.

Hanya empat mata daripada baki lima perlawanan diperlukan untuk mengesahkan kedudukan dua teratas, sekali gus mengakhiri penantian 25 tahun mereka untuk kembali ke arena bola sepak divisyen utama.

Kelab yang juga dikenali sebagai The Sky Blues itu malah berpeluang mengesahkan promosi saingan lebih awal pada 11 April sekiranya mereka dapat menewaskan Sheffield Wednesday di stadium Arena CBS, dengan syarat pasukan pencabar lain keciciran mata.

“Kami ada baki lima perlawanan, dan untuk berada di kedudukan sekarang, apa yang penting adalah untuk tidak menghiraukan gangguan luar dan hanya beri tumpuan kepada perlawanan menentang Sheffield Wednesday,” kata pengurus pasukan, Frank Lampard.

Malah, pakar statistik Opta menganggap promosi ini sudah hampir pasti, dengan jadual ramalan mereka memberikan Coventry peluang 100 peratus untuk layak ke Liga Perdana England (EPL).

Namun, jika kedudukan Coventry sudah hampir terjamin, siapakah yang bakal menyertai mereka di tangga kedua?

Millwall yang mencatat kemenangan 2-1 ke atas pencabar terdekat, Middlesbrough, pada 3 April, menjadi pasukan pertama yang sedang mengejar promosi liga untuk turun beraksi pada 6 April menentang Norwich City.

Millwall – yang kini berada di tangga kedua hasil kemenangan dengan Middlesbrough – kelihatan selesa mengukuhkan kedudukan mereka apabila Mihailo Ivanovic menjaringkan gol pendahuluan bagi pasukan pada minit ke-56.

Namun, gol penyamaan cantik daripada Pelle Mattsson serta gol kemenangan Oscar Schwartau untuk Norwich ketika perlawanan berbaki 14 minit, kembali membuka ruang buat pencabar lain dalam kelompok atasan.

Keputusan 2-1 memihak kepada Norwich kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.

“Semua perlawanan di peringkat musim ini sangat mencabar dari segi fizikal dan emosi kerana terlalu banyak dipertaruhkan,” kata pengurus Millwall, Alex Neil.

“Walaupun hari ini mengecewakan, jika kami menang sekalipun, belum ada apa-apa yang telah diputuskan buat masa ini.”

Adakah Ipswich, yang beraksi di padang sendiri menentang Birmingham pada 6 April, mampu mengambil kesempatan di atas kegagalan Millwall?

Ipswich pada mulanya dikejutkan dengan gol awal Carlos Vicente yang meletakkan Birmingham di depan 1-0. 

Namun, Ipswich berjaya bangkit sebelum separuh masa pertama tamat menerusi jaringan Ben Johnson dan Kasey McAteer.

Kemenangan 2-1 itu membolehkan mereka memintas kedudukan Millwall untuk berada dalam tempat dua teratas. 

“Kemenangan pertama hasil kebangkitan musim ini sangat penting dan saya rasa ia memang sudah dijangka,” kata pengurus Ipswich, Kieran McKenna.

Ipswich kini mempunyai kelebihan dua perlawanan berbanding pasukan pencabar lain. 

Namun, McKenna dan skuadnya perlu berdepan cabaran getir dengan baki tujuh perlawanan yang perlu diselesaikan dalam tempoh 22 hari sebelum musim berakhir.

Middlesbrough, yang memulakan minggu perlawanan dalam tempat dua teratas, berpeluang mengekalkan kedudukan itu jika menang di tempat lawan menentang Swansea City pada 6 April.

Alex Bangura memberikan permulaan selesa buat Middlesbrough menerusi gol pada minit ke-12.

Namun, Swansea kemudian bangkit mendahului hasil dua sepakan penalti Zan Vipotnik, sebelum Tommy Conway menyamakan kedudukan buat Middlesbrough juga menerusi sepakan penalti.

Perlawanan berakhir dengan keputusan seri 2-2, sekali gus membolehkan Middlesbrough meraih satu mata. – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg