Singa atasi Kemboja 4-2 tetapi kerapuhan benteng pertahanan membimbangkan

SINGA mengakhiri persiapan menghadapi Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) Suzuki dengan kemenangan penyuntik semangat 4-2 ke atas Kemboja dalam satu perlawanan persahabatan di Stadium Yishun yang berakhir sekejab tadi (17 November) - pertarungan yang turut disaksikan 'perisik istimewa', Radojko 'Raddy' Avramovic, bekas jurulatih Singa yang kini menggendalikan Myanmar yang turut diundi bersama-sama Singapura dalam Kumpulan B.

Sedang sentuhan di barisan serangan membayangkan ketajaman di hadapan gawang lawan dengan Khairul Amri, Faris Ramli, kapten Shahril Ishak dan Safuwan Baharudin kesemuanya menemui sasaran - dengan keempat-empat gol tiba dalam babak pertama permainan - kerapuhan benteng Singa yang dibolosi dua kali tentunya membimbangkan jurulatih nasional, Bernd Stange, menjelang pertemuan pembuka tirai Piala AFF Suzuki menentang Thailand Ahad ini.

Dengan Stange menekankan peri pentingnya pasukannya mencatatkan kemenangan sebagai pembakar semangat sebelum menghadapi Piala AFF Suzuki, kesebelasan Singa yang diturunkan menunjukkan permainan bertenaga dan membuka tirai jaringan seawal minit kelapan apabila Amri menyambut hantaran Shahril dengan rembatan kencang yang menewaskan penjaga gawang Kemboja, Sou Yati.

Pasukan pelawat, yang sebelum ini banyak bertahan, mengejutkan Singa dengan gol penyamaan melalui serangan pertamanya ke kubu pasukan tuan rumah apabila percubaan Khuon Laburavy menewaskan Hassan Sunny pada minit ke-26.

Faris kemudian muncul dengan gol pertamanya bagi negara pada minit ke-28 tetapi sekali lagi kesilapan benteng pertahanan yang tercegat membiarkan bola daripada tendangan bebas jatuh ke kaki Laburavy yang menjadikan kedudukan 2-2 selang dua minit kemudian.

Mujur dua gol kilat dalam empat minit - melalui Shahril dan Safuwan - meletakkan Singa semula dalam kedudukan selesa dan memberikan pasukan bekalan kemenangan sebelum pertemuan dengan Thailand nanti, dan tentunya memberikan Raddy sesuatu untuk difikirkan sebelum pertemuan dengan pasukan yang pernah dipimpinnya dengan berjaya - memenangi piala AFF Suzuki ini tiga kali.

Di kejohanan Piala AFF Suzuki kali ini, Singa akan membuka tirai kempennya dengan menentang Thailand pada Ahad ini, Myanmar (26 November) dan Malaysia (29 November).

Singapura, pasukan paling berjaya dalam sejarah Piala AFF Suzuki ini dengan menjulang empat kejuaraan sebelum ini, akan berusaha memburu mahkota kelima di edisi kali ini, yang dianjurkannya secara bersama dengan Vietnam.

Kesebelasan Singapura: Hassan Sunny, Shaiful Esah (Shakir Hamzah), Baihakki Khaizan, Shahdan Sulaiman (Zulfahmi , Faris Ramli, Ismadi Mukhtar, Hariss Harun, Shahril Ishak (kapten), Khairul Amri (Sahil Suhaimi), Safuwan Baharudin (Amirul Adli), Shahfiq Ghani .

Kesebelasan Kemboja: Sou Yati, Soeuy Visal, Hong Pheng (Say Piseth), Touch Pancharong, Prak Mony Udom, Khuon Laburavy, Kouch Sokumpheak (kapten), Sos Suhana, Ngoy Srin, Rous Samoeun, Chhin Chheoun.

Waktu Solat

Subuh
5:33
Syuruk
6:57
Zuhur
12:59
Asar
4:23
Maghrib
7:00
Isyak
8:15
3 HR PSI: 56
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.