KELAYAKAN PIALA DUNIA 2018

Singa kembalikan senyuman bola sepak negara apabila seri 0-0 dengan Jepun

Singa raih satu mata berharga, ikat Samurai Biru di Stadium Saitama, dalam perlawanan kelayakan Kumpulan E

PADA waktu bola sepak negara dirundung kekecewaan melihat skuad Bawah 23 Tahun tersingkir di peringkat kumpulan Sukan SEA minggu lalu, pasukan nasional pimpinan Bernd Stange mencatatkan keputusan penuh harapan apabila mengikat pasukan gergasi Asia, Jepun, 0-0 dalam pertemuan kelayakan Piala Dunia 2018 yang berakhir sebentar tadi (16 Jun).

Penjaga gawang, Izwan Mahbud, muncul wira Singa apabila beraksi cemerlang dan menafikan beberapa percubaan pasti Jepun terutama daripada penyerang handalannya yang menyarungi jersi AC Milan, Keisuke Honda.

Sekalipun berhadapan ujian getir bertandang di Stadium Saitama yang sarat dengan hampir 60,000 penyokong tuan rumah, di samping beraksi tanpa tunggak pasukan, Safuwan Baharudin, yang tidak menyertai rombongan pasukan, Izwan muncul dengan persembahan pemain terbaik perlawanan untuk menafikan Honda dan rakan-rakannya.

Penjaga gawang muda LionsXII itu mempamerkan aksi terbaik apabila menolak bola daripada melintasi garisan gol hasil tandukan kencang Shinji Okazaki pada minit ke-55 sebelum menampar bola keluar melalui satu lagi tandukan dari jarak dekat yang dilakukan Honda pada minit ke-68.

Kejayaan berkongsi mata itu memastikan momentum baik Singapura yang memulakan kelayakan Piala Dunia 2018 Kumpulan E dengan kemenangan hebat 4-0 ke atas Kemboja di Phnom Penh minggu lalu.

Dua lagi pasukan dalam Kumpulan E ini ialah Afghanistan dan Syria.

Kejayaan mencatatkan keputusan seri itu tentunya mengembalikan senyuman kepada arena bola sepak negara yang dilanda kekecewaan terbaru apabila melihat pasukan Bawah 23 Tahun gagal memenuhi harapan memenangi pingat emas pertama bola sepak di Sukan SEA yang berakhir malam tadi. Lebih mengecewakan apabila melihat anak didik Aide Iskandar terkeluar di peringkat kumpulan minggu lalu.

Tahun lalu, skuad nasional turut diaibkan di padang sendiri apabila gagal mempertahankan mahkota Piala AFF Suzuki dengan langkah anak didik Stange tersandung di peringkat kumpulan.

Waktu Solat

Subuh
5:37
Syuruk
7:00
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:03
Isyak
8:18
3 HR PSI: 46
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.